Ini adalah bahagian ke 4 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan.
Bas bergerak dari bandar tepi tasik Ohrid di Macedonia menuju ke Tirana, ibu kota Albania. Jarak perjalanan lebih kurang 140 km. Kami terpaksa merentas sempadan antarabangsa Macedonia / Albania.
Albania? Saya rasa sayalah orang pertama dari Taman Melati yang pernah sampai ke negara ini. Jom kita belajar sejarah sikit.
Albania ialah sebuah negara di Balkan. Penduduknya tak ramai sekitar 3 juta saja di mana hampir 60% adalah Muslim aliran Sunni. Ibu negaranya ialah Tirana. Negara ini pernah di bawah pemerintahan Komunis begitu lama sejak 1944 di mana semua agama termasuk Islam ditindas. Agamawan dipenjarakan. Komunisma dan atheist menjadi ideologi rasmi kerajaaan dan dipaksakan kepada seluruh rakyat jelata.
Albania antara negara termiskin di benua Eropah. Sebaik menyeberangi sempadan memasuki Albania, kita akan perasan keadaan jalanraya yang berlubang sana sini dan kurang terjaga. Bukan itu saja. Kita juga tak dapat lari dari tak perasan yang kereta paling popular di atas jalan raya Albania ialah Mercedes Benz. Dikatakan 80% kereta di Albania ialah Mercedez — teksi, kereta polis, bas sekolah, lori , semuanya Merc. Dikatakan juga lebih banyak Merc di Albania dari di Germany.
Mengikut Mr Willy sebab utamanya ialah kereta Mercedez tahan lasak — paling sesuai dengan keadaan jalan di Albania. Sebab no. 2 ialah spare parts mudah dapat. Sebab no. 3 berkaitan dengan sejarah negara ini semasa di bawah pemerintahan komunisme.
Sepanjang perjalanan ke Tirana, kami melihat dari dalam bas kehidupan rakyat Albania. Bas berhenti di sebuah R&R dan terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak terbiar. Negara ini ketinggalan jauh dari semua aspek berbanding Malaysia, akibat kesan peperangan dan sistem ekonomi socialist.
Kesan-kesan pemerintahan komunisma sangat ketara. Masjid dan surau sunyi sepi ditinggalkan. Makanan halal susah dicari. Amalan Islam adalah hak individu.
TIRANA
Setibanya di pusat bandar Tirana, hari sudah tengahari. Kami pergi mengisi perut dulu di sebuah restoran Turki. Lepas makan baru solat. Ada sebuah masjid 10 minit dari restoran itu.
Lepas itu baru jalan-jalan melihat bangunan-bangunan dan tempat tarikan pelancong di dalam bandar Tirana. Kami singgah di pasar buah-buahan — murah dan segar.
Antara bangunan bersejarah di pusat bandar Tirana yang kami lawati secara touch & go (sebab masa yang terhad) ialah Piramid, Skanderberg Square, City Hall dan Masjid Hadji Et’hem Bey.
Sedikit mengenai Masjid Hadji Et’hem Bey.
Masjid ini siap dibina pada tahun 1821 oleh pemerintah Othmaniyyah. Ianya ditutup semasa pemerintahan komunisma dan dibuka semula pada tahun 1991. Masjid ini berdekatan dengan bangunan City Hall. Semasa lawatan kami ke sini pada tahun 2019, masjid ini sedang diubahsuai dan ditutup sementara (Lihat gambar).
Kami tidak bermalam di Tirana. Mengikut itinerari kami akan bermalam di Velipoje, 30 km dari Shkoder. Velipoje ialah sebuah bandar resort di tepi pantai Laut Adriatic. Sebelum sampai ke Velipoje bas berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Tirana untuk pick-up bagasi Dr Rodzi yang tersangkut semasa stop-over di Doha tempohari. Bagasi yang sepatutnya tiba di Sofia bersama penumpang, tidak muncul=muncul di lapangan terbang Sofia.
Destinasi kami di Velipoje ialah Grand Europa Resort Waterworld di Velipoje. Ketika itu, pembinaan hotel baru siap dan akan dibuka sepenuhnya pada musim panas akan datang. Kawasan hotel sangat luas dan kamilah satu-satunya tetamu pada malam itu. Lepas check-in ramai yang turun ke pantai yang jaraknya 200m dari hotel untuk mengambil angin dan menghirup udara segar Laut Adriatic sebelum malam tiba. Kalau ikut peta negara-negara Balkan, negara Italy terletak hanya disebelah sana pantai Velipoje ini. Italy dan Albania dipisahkan oleh Laut Adriatic.
Malam itu semua tidor lena macam batang kayu disebabkan letih travel atas bas.
Kesokkannya selepas sarapan, terus check-out dari hotel. Bas bergerak ke utara menuju sempadan Montenegro melalui bandar Shkoder
SHKODER
Sedikit info mengenai Shkoder.
Shkoder atau nama lamanya Scodra terletak 100 km ke utara Tirana. Perjalanan dari Tirana dengan bas mengambil masa agak lama sebab jalan separuh highway separuh sebaliknya.
Shkoder ialah antara bandar tertua di Balkan dan kaya dengan sejarah.
Shkoder menjadi bandar penting di zaman Kerajaan Turki Othmaniyyah. Bandar ini pernah dijajah oleh Sultan Mehmet the Conqurer pada tahun 1478 selepas ditentang hebat oleh tentera-tentera Venetian.
SHEIKH ALBANI DARI SHKODER ALBANIA
Satu lagi perkata menarik mengenai Shkoder ialah ianya adalah seorang ulamak besar hadith dan fikah aliran salafi iaitu Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani atau lebih popular dengan nama kunyahnya Albani.
Kepada penuntut dan pengkaji ilmu hadith seluruh dunia, Albani adalah tokoh yang popular. Kitab-kitabnya menjadi rujukan. Antaranya Silsilah al-Ahadits as-Shahihah dan Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah, koleksi hadith-hadith sahih dan palsu. Sisi pandang dan kaedahnya dalam mengklasifikasi hadith kadang kala dipertikaikan.
Beliau lahir di pekan ini pada tahun 1914 dalam keluarga miskin. Ibubapanya membawa Albani berpindah ke Syria ketika itu di mana perang dunia pertama bermula.
Di Syria dia pernah dipenjara oleh rejim Al Assad kerana lantang menyampaikan risalah Islam dan anti-Syiah. Beliau kemudian mengajar di Universiti Madinah di Arab Saudi dan kembali ke Syria selepas itu. Dia banyak menulis buku-buku yang agak kontroversi.
Beliau wafat pada tahun 1999 di Amman, Jordan.
Itulah sedikit kisah Sheikh Albani yang dilahirkan di Shkoder, Albania, bandar yang sedang aku ziarahi ini. Cerita lanjut ulama besar ini boleh dicari dalam internet.
Kita kembali ke kembara Balkan ini.
Kita sambung kisah kembara Balkan ini di posting akan datang.
Bahagian ke 5: Menyeberangi sempadan Albania – Montenegro.
Leave a Reply