life is short. do first thing first.

Tag: bosnia Page 1 of 3

Satu malam di Bihac, Bosnia. (Part 16)


Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada semua.

Hari ini 8 Syawal 1442. Salam PKP seluruh negara.

Kita sambung pengembaraan kita di Bosnia Herzegovina.

NOTA: Ini adalah bahagian ke 16 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Kami meneruskan perjalanan dengan bas PUPE di lebuhraya M5 dan sampai di Bihac, sebuah bandar di sempadan Bosnia/Croatia. Penduduknya sekitar 70,000 orang dan ianya terletak 310 km ke utara Sarajevo.

Bila sebut Bosnia, terbayang di kepala kita Sarajevo dan Mostar dengan jambatannya. Jarang diperkatakan tentang Bihac. Apa yang menarik di Bihac?

Memang banyak tempat menarik di sini. Antaranya Fethija Mosque dan Una River. Cuma kami tak sempat nak explore.

Sebenarnya kami sampai di bandar ini hari sudah senja. Hujan masih turun. Keletihan dan kelaparan. Kami check-in di hotel Emporium yang agak jauh dari pusat bandar. Tiada aktiviti malam itu. Program pagi esok ialah sarapan dan terus check-out menuju sempadan Croatia.

Maaf. Tiada gambar tempat-tempat menarik di Bihac yang sempat dirakam, oleh sebab jadual yang ketat. Hanya ada gambar hotel kami bermalam dan sebuah kereta Mercedes hitam. Itulah salah satu drawback bilamana kita ikut organized tour. Kita tiada banyak pilihan. Tak boleh ikut suka hati kita tang mana nak pi. Hehe.. jangan marah Encik Solehin.

Boleh cari info tempat2 menarik di Bihac dalam internet. Link-link ini mungkin menolong, tetapi semua dalam Bahasa Inggeris.

https://www.inyourpocket.com/bihac

https://www.kathmanduandbeyond.com/bosnia-herzegovina-travel-blog/

https://www.hercegovina.ba/index.php/en/destination

Kami bermalam di Hotel Emporium di Bihac, Bosnia
Morning view of the hotel’s compound
View from hotel’s room
A black Merc parked at Hotel Emporium, Bihac, Bosnia
One of the supermarket in Bosnia

2 jam di JAJCE, BOSNIA. (Part 15). PLIVA FALL / WATERMILLS in JAJCE, BOSNIA

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada semua.

Hari ini 7 Syawal 1442. PKP seluruh negara. Tak ada benda nak buat. Nak ziarah raya tak boleh. Nak rentas daerah tak dibenarkan. Rentas negeri lagi lah tak boleh. So boleh lah update blog ini.

Kita sambung pengembaraan kita di Bosnia Herzegovina.

NOTA: Ini adalah bahagian ke 15 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Kali ini kita sampai di Jajce, sebuah bandar di kawasan pergunungan di bahagian utara Bosnia. Penduduknya sekitar 10,000 orang. Jarak Jajce sekitar 70 km dari Travnik. 160 ke utara Sarajevo melalui lebuh raya M5. M5 akan membawa kita ke Bihac di sempadan Bosnia/Croatia. Dari sempadan kita akan menuju Zagreb, ibu kota Croatia. Perjalanan kita masih jauh. Jangan ke mana-mana. Stay tuned.

Kami singgah sebentar di bandar ini, dlm perjalanan ke Bihac.

Apa yang menarik di Jajce?

Sebelum itu macam mana nak sebut Jajce? Ianya disebut yay-cher. Gantikan saja j dengan y. Contoh lain. Ajax Amsterdam disebut Ayax Amsterdam.

Apa yang menarik di Jajce? Seperti negara lain di Balkan, pelancong datang ke Bosnia atas dua aspek — sejarah dan geografi.

Dari segi sejarah Jajce pernah menjadi ibu negara kerajaan Bosnia sebelum ianya jatuh ke tangan kerajaan Othmaniyyah pada kurun ke 16. Kita dapat melihat sebuah kubu dengan tembok batu yang masih kukuh di puncak bukit yang menjadi pusat bandar Jajce.

Jajce Town, Bosnia Herzegovina Budget
Kubu di atas bukit di Jajce, Bosnia. Imej from internet. Credit goes to the owner.

Dari segi geografi, Jajce terkenal dengan air terjun setinggi 72 kaki di mana pertemuan antara dua sungai – Sungai Pliva dan Sungai XXX. Air terjun ini juga dikenali sebagai Pliva Fall. Ianya mengalami kemusnahan semasa Perang Bosnia tahun 1993 di mana sebuah empangan hidro eletrik di hulu sungai telah pecah akibat peperangan dan gelombang besar menghentam air terjun ini menyebabkan kerosakan. Kini sebahagiannya telah dibaiki.

Sila klik link ini untuk melihat video air terjun ini.

Dari stesen bas ini kami berjalan kaki 10 minit ke air terjun.
Jadual bas dari Jajce ke Sarajevo dan bandar2 lain di Bosnia dan Zagreb.
Jalan menuruni bukit ke air terjun di Jajce, Bosnia.
Pintu masuk ke air terjun. Tiket masuk 1 Euro.
Kak Zah berbangga menjadi orang pertama di kampungnya yang sampai di Jajce, Bosnia.

Satu lagi yang menarik di Jajce ialah kincir air dibuat dari kayu bersaiz kecil. Saiznya tidak sebesar kincir air di Belanda. Saiznya sebesar pondok kecil. Sangat cute. Terdapat kira-kira 20 kincir air yang terletak di jeram bertingkat di sungai Pliva. Di hulu sungai ini anda akan jumpa Tasik Pliva. Bas PUPE berhenti di Tasik Pliva dan tempat kincir air ini untuk kami turun mengambil gambar.

Wannor bergambar di hadapan kincir air mini di Jajce, Bosnia. Kincir air diguna sebagai pengisar tepung yang mengguna kuasa air deras di kurun ke 13.
Sebuah kincir air dalam pembinaan di Jajce, Bosnia
Saiz sebenar kincir air Jajce, Bosnia

Dikatakan kincir air ini dibina di zaman Empayar Othmaniyyah untuk mengisar tepung menggunakan kuasa air yang deras. Kincir air mini ini seperti blender di zaman sekarang. Hampir setiap keluarga mempunyai satu pondok kincir air untuk mengisar tepung. Ia terdapat di Jajce dan banyak tempat di Bosnia.

Klik link ini untuk melihat video kincir air ini.

Jika ke Bosnia Encik Willy kata jangan lupa singgah di tempat yang indah dan memukau ini. Encik Willy ini ialah pemandu pelancong kami. Dia berasal dari Skopje, Macedonia.

Kami meneruskan perjalanan ke Bihac, 151 km dari Jajce, Bosnia.

Travnik, BOSNIA (Part 14)

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada semua.

Hari ini 6 Syawal 1442. PKP seluruh negara. Tak ada benda nak buat. Nak ziarah raya tak boleh. Nak rentas daerah tak dibenarkan. Rentas negeri lagi lah tak boleh. So boleh lah update blog ini.

Kita sambung pengembaraan kita di Bosnia Herzegovina.

NOTA: Ini adalah bahagian ke 14 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Kali ini kita sampai di Travnik, sebuah bandar di bahagian tengah Bosnia, sekitar 90 km ke utara Sarajevo.

Travnik pernah menjadi ibu negara Bosnia selama 150 tahun dari tahun 1697 sehingga 1850. Gabenor-gabenor dari kerajaan Othmaniyyah yang pernah memerintah Bosnia menjadikan Travnik sebagai rumah mereka. Mereka mendirikan bangunan, kedai, masjid-masjid, madrasah dan sekolah mengikut senibina Turki. Mereka menjadikan Travnik sebagai “Istanbul di Eropah”. Kuburan gabenor-gabenor ini masih boleh dilawati di bandar ini. Dikatakan terdapat lebih 70 kuburan gabenor di sini.

Kami singgah di Travnik untuk makan tengahari dan solat jamak Zuhur / Asar di masjid berdekatan. Tidak banyak tempat yang sempat dilawati di Travnik. Sebelum maghrib malam ini kami perlu sampai di Bihac. Dengan masa yang singkat, antara yang sempat kami singgah ialah Madrasah Ibrahim Pasha, Stari Grad Castle dan Plava Voda.

Old Town Castle di Travnik, atau Stari Grad Castle dalam bahasa tempatan ialah istana raja Bosnia pada zaman dulu. Istana ini masih berdiri gagah di atas bukot di pusat bandar Travnik, terjaga dengan baik hingga hari ini.
Plava Voda (bermaksud air biru) ialah sebuah anak sungai (stream) yang sentiasa mengalir. Air gunung yang sangat jernih dan kebiruan. Dekat dengan Madrasah Ibrahim Pasha dan Old Town Castle.
Kak Wan mnikmati udara segar dari gunung di Plava Voda di Travnik, Bosnia.

Untuk melihat Plava Voda in motion, klik link ini.

Plava Voda di Travnik, Bosnia.
Encik Sabri dan rakan-rakan sedang berehat di Travnik, Bosnia.
Encik Azmi dan rakan-rakan menikmati makan tengahari di Travnik, Bosnia.

Banyak kafe dan kedai cenderahati di tebing sungai. Singgah seketika di sini, menikmati udara segar sambil menikmati keenakan kopi Bosnia. Di sini juga terdapat kincir air lama (memang lama pun…) dan jambatan batu  yang turut menambah seri kepada sungai Plava Voda yang sememangnya unik.

Madrasah Ibrahim Pasha di Travnik ini masih dalam fasa pembinaan ketika kami sampai di sini pada tahun 2019.
Madrasah Ibrahim Pasha di Travnik, Bosnia.
Sebuah kawasan perkuburan di Travnik, Bosnia.
Dari pusat bandar Travnik, kami naik bas dan singgah di masjid ini untuk solat jamak Zuhur / Asar. Kelihatan Encik Willy di tangga bas.
Ruang solat yang luas dan selesa. Masjid Malaysia di Travnik, Bosnia.
Masjid di Travnik ini iakah hasil sumbangan rakyat dan Kerajaan Malaysia, dirasmikan oleh mantan PM Malaysia Tun Dr Mahathir dalam tahun 2005.

Tragedi April di Ahmichi, BOSNIA (Part 13)

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada semua.

Hari ini 6 Syawal 1442. PKP seluruh negara. Tak ada benda nak buat. Nak ziarah raya tak boleh. Nak rentas daerah tak dibenarkan. Rentas negeri lagi lah tak boleh. So boleh lah update blog ini.

Kita sambung pengembaraan kita di Bosnia Herzegovina.

NOTA: Ini adalah bahagian ke 13 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Kali ini kita sampai di Ahmici, sebuah kampung di bahagian tengah Bosnia, sekitar 70 km ke utara Sarajevo.

Musim bunga di kampung Ahmichi, di Bosnia.

Apa yang menarik di kampung ini? Tiada yang menarik sebenarnya. Hanya kisah duka. Kisah manusia gila kuasa. Kisah manusia dirasuk syaitan.

Kita flashback ke tahun 1993.

Sebelum Perang Bosnia dari tahun 1992 sampai 1995 , Ahmichi ialah sebuah kampung yang aman damai. Penduduk kampung berbilang bangsa – Bosnia, Croat dan Serb — hidup dalam rukun dan damai. Jiran-jiran yang baik. Saling hormat menghormati. Anak-anak perempuan Bosnia berkahwin dengan anak-anak lelaki Croatia. Anak-anak perempuan Serb berkahwin dengan anak-anak lelaki Bosnia. Perkahwinan campur melahirkan keluarga yang besar dalam kampung itu.

Itu senario sebelum perang.

Bila Perang meletus, segalanya berubah. Taksub kepada bangsa dan ugama melebihi hubungan jiran dan keluargaan yang baru terbentuk. Dendam kesumat yang sudah lama diikat mati kini terungkai. Diapi-apikan oleh syaitan, Dan syaitan berwajah manusia — nationalist dan militant Croat yang menguasai daerah ini. Akibatnya berlakulah apa yang berlaku. Jiran menembak jiran. Anak menakan menghalau dan membakar rumah bapa menakan. Kawan sepermainan menikam kawannya. Masjid dibakar, Minaret dibom. Dan macam-macam tragedi lagi. Hanya sebab perbezaan bangsa dan agama.

Cerita seorang isteri mangsa pada hari massacre di Ahmichi.
Apa yang berlaku pada hari itu dapat dilihat dalam sebuah muzium di kampung Ahmichi, Bosnia.

Pada bulan April 1993, seramai 116 orang Bosnia telah dibunuh beramai-ramai (massacre) oleh militant Croatia. Mangsa berumur dari bayi berumur 3 bulan sehinggalah orang tua berumur 82 tahun. Dibunuh dengan kejam oleh syaitan-syaitan Croat.

Masjid di bedil dengan mortar.
Minaret masjid dibom.
Manusia dibakar.

Nama-nama mangsa diabadikan di sebuah tugu, di depan masjid yang dibina semula. Sebuah muzium menyimpan kisah sedih ini dibina di sebelah masjid, mudah-mudahan generasi millenials belajar sejarah dan tidak mengulanginya.

Tugu peringatan dengan nama-nama 116 korban di Ahmichi, Bosnia.
Nama-nama 116 korban tertulis di atas tugu termasuk bayi berusia 6 bulan.
Mereka yang masih terselamat.
Tugu peringatan di Almichi, Bosnia.
Masjid hari ini yang dibina semula. Minaretnya tegak semula. Allahuakbar!
Masjid di Ahmichi yang ada pada hari ini.

Jika anda sampai ke Sarajevo, singgahlah di kampung ini. Kampung ini tidak jauh — hanya 70 km dari Sarajevo. Belajarlah sesuatu. Hadiahkan Al Fatihah kepada mereka yang tidak berdosa ini. (Bayi 3 bulan apakah dosanya?)

Kami singgah tidak lama di kampung yang indah ini. Musim bunga baru bermula di sini. Bas PUPE bergerak menuju destinasi seterusnya. Travnik.

Apa yang menarik di Travnik? Tunggulah posting seterusnya.

SARAJEVO – View from the bus. (Part 12A)

Ini ada beberapa gambar dan klip video yang sempat dirakam dari atas bas PUPE yang menjadi rumah kami sepanjang road trip di Balkan merentas 9 buah negara, dari Bulgaria sampailah ke Itali.

Road trip merentasi Bosnia adalah satu pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Tekan link ini untuk melihat klip video dari atas bas PUPE semasa perjalanan dari Konjic ke Sarajevo.

Tempat menarik di Sarajevo — sila lihat posting Part 12.

Enjoy!

Sarajevo memang banyak masjid. Ini salah satu. Tak tau nama apa. Tak hairanlah sebab selepas Perang Bosnia banyak negara Islam termasuk Malaysia menyumbang kepada pembangunan semula negara ini.
Setanding negara Eropah lain, ekonomi Bosnia disokong oleh kemudahan infra dan logistik yang mampan. (whatever it means..)
Sebatang jalan di Sarajevo. Traffic jam ialah tanda negara itu maju. Betul ke?
Sebuah apartment yang dibedil oleh tentera Serb semasa Perang Bosnia. Sengaja dibiarkan begini supaya generasi millenials belajar dari sejarah.
Sebuah masjid lagi di Sarajevo. Memang banyak masjid di sini. Alhamdulillah.
Tram rosak di Sarajevo.
Tram ialah pengangkutan awam utama di Sarajevo.
Pusat bandar Sarajevo.
Tram kuning di hadapan bangunan City Hall, Sarajevo
Muslimat di Masjid Bey, Sarajevo. Sebab tu ramai orang nak gi Sarajevo. Patutlah.. Rupanya ramai ustazah di sini.

Page 1 of 3

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén