life is short. do first thing first.

Month: January 2021

Road trip merentasi Montenegro (Part V)

Assalamualaikum dan salam PKP kepada semua.

PKP ni banyak hikmah kpd mereka yang positif minda. Boleh menulis. Boleh deraf wasiat dan hibah. Boleh hafal surah-surah yang masa sibuk dulu memang tak mampu. Hanya bila dikurung dalam rumah, duduk diam diam merenung kipas berpusing di siling, baru nampak jalan. Boleh muhasabah diri. Boleh pelan KPI tahun baru 2021. Boleh daftar pertubuhan. Boleh buat macam-macam musim PKP ni.

Ini adalah bahagian ke 5 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Posting lepas kita melawat Albania. Minggu ni kita singgah di Montenegro.

Hari ini kita akan melawat Budva dan Kotor, 2 bandar di Montenegro.

Dari Velipoje dan Shkoder bas PUPE meluncur laju menuju sempadan antarabangsa Albania / Montenegro.

Checkpoint di sempadan Albania/Montenegro
Bas berhenti di sebuah R&R sebelum sampai di Budva
Menuju Budva

Sebelum tu sedikit info pasal negara ini.

Negara yang bernama Montenegro ini taklah besar mana. Penduduknya tak sampai satu juta. Kurang dari 700,000 orang. Ibunegara bernama Podgorica. Kami tak singgah di Podgorica sebab tiada dalam jadual. Penduduk Islam sekitar 20% sahaja, Kristian Orthodoks 70%, lain-lain agama 10%.

Negara ini terletak di utara Albania di pinggir Laut Adriatic. Negeri memang cantik disebabkan lanskap mukabuminya yang bergunung-ganang dan pesisir pantai yang berteluk-teluk.

Pelancong yang datang ke Montenegro selalunya akan melawat 2 bandar ini di Montengro: BUDVA dan KOTOR. Tak ramai pelancong pergi ke Podgorica.

BUDVA

Budva, Montenegro terletak di tepi Laut Adriatic.
Pemandangan Sveti Stefan dari atas bas. Sveti Stefan ialah sebuah pulau kecil yang bersambung dengan tanah besar. Banyak hotel mewah yang menjadi tumpuan selebriti di musim panas. Pulau ini ialah private property.

Budva Old Town ialah penempatan terawal di pesisir Laut Adriatic berusia 2500 tahun. Ia adalah rumah-rumah dan kota lama yang dibuat dari batu, terletak di tepi laut. Warna bumbung serupa saja — oren kemerahan. Di sebelah kota lama terdapat marina di mana bot-bot dan perahu layar mewah berlabuh.

Bandar lama Budva — kredit kpd tuan punya gambar, bukan saya tau!

KOTOR YANG BERSIH

Lebih kurang 30 km ke utara Budva ialah pekan Kotor.

Satu lagi bandar yang wajib dilawati semasa di Montenegro ialah KOTOR. Bandar ini terletak di sekeliling Kotor Bay dan merupakan nadi industri pelancongan di Montenegro. Hotel-hotel dan resort percutian terletak di tepi teluk / pantai.

Sebuah kereta rakyah marhaen di Montenegro — Fiat.
Jalan utama menuju Kotor Old Town

Walking tour adalah cara terbaik melawat bandar lama Kotor. Pakai kasut sukan yang selesa dan bawa botol air. Kalau kuat dan ada masa, boleh panjat bukit / kubu San Giovanni di belakang kota lama ini. Dari situ boleh lihat pemandangan menakjubkan keseluruhan tapak bersejarah ini. Bandar purba ini dibina oleh kerajaan Rom dalam bentuk tembok dan dinding batu.

Bandar lama Kotor di Montenegro — kredit kpd tuan punya gambar.

Kami tidak lama di sini. Tempat bersejarah seperti ini tak ramai berminat. Hehe maklumlah orang kita tak suka Sejarah.

Bas bergerak dan singgah di masjid ini untuk solat Zuhur /Asar. Alhamdulillah ada juga masjid di tempat seperti ini. Tiada banyak maklumat mengenai komuniti Muslim di sini. Tiada orang tempatan untuk aku bertanya mengenai tempat ini. Masjid ini ialah sebuah bangunan yang baru siap — tak siap sepenuhnya lagi — berwarna putih.

Masjid ini terletak di tepi jalan.
Masjid berwarna putih di Kotor, Montenegro.

Lepas solat, bas bergerak menuju ke sebuah jeti. Dari sini bas kami naik feri menuju ke destinasi seterusnya di Croatia.

Semasa feri belayar menyeberangi Kotor Bay, pemandangan indah sekali dengan udara sejuk menyapa pipi dan rumah-rumah di tepi pantai yang berbalam-balam di kejauhan.

Selamat tinggal pekan Kotor yang bersih… Umur panjang jumpa lagi.

2 hari 1 malam di ALBANIA (Part IV)

Ini adalah bahagian ke 4 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan.

Bas bergerak dari bandar tepi tasik Ohrid di Macedonia menuju ke Tirana, ibu kota Albania. Jarak perjalanan lebih kurang 140 km. Kami terpaksa merentas sempadan antarabangsa Macedonia / Albania.

Sempadan antarabangsa Macedonia – Albania
Pemeriksaan imigresen di sempadan Macedonia – Albania
Bas pelancong di hadapan kami
Teksi-teksi di Albania hampir semuanya jenis Mercedes Benz. Mengapa MB popular di Albania? Nanti saya tanya pemandu pelancong Willy.
Welcome to Albania !!!

Albania? Saya rasa sayalah orang pertama dari Taman Melati yang pernah sampai ke negara ini. Jom kita belajar sejarah sikit.

Albania ialah sebuah negara di Balkan. Penduduknya tak ramai sekitar 3 juta saja di mana hampir 60% adalah Muslim aliran Sunni. Ibu negaranya ialah Tirana. Negara ini pernah di bawah pemerintahan Komunis begitu lama sejak 1944 di mana semua agama termasuk Islam ditindas. Agamawan dipenjarakan. Komunisma dan atheist menjadi ideologi rasmi kerajaaan dan dipaksakan kepada seluruh rakyat jelata.

Albania antara negara termiskin di benua Eropah. Sebaik menyeberangi sempadan memasuki Albania, kita akan perasan keadaan jalanraya yang berlubang sana sini dan kurang terjaga. Bukan itu saja. Kita juga tak dapat lari dari tak perasan yang kereta paling popular di atas jalan raya Albania ialah Mercedes Benz. Dikatakan 80% kereta di Albania ialah Mercedez — teksi, kereta polis, bas sekolah, lori , semuanya Merc. Dikatakan juga lebih banyak Merc di Albania dari di Germany.

Mengikut Mr Willy sebab utamanya ialah kereta Mercedez tahan lasak — paling sesuai dengan keadaan jalan di Albania. Sebab no. 2 ialah spare parts mudah dapat. Sebab no. 3 berkaitan dengan sejarah negara ini semasa di bawah pemerintahan komunisme.

Sepanjang perjalanan ke Tirana, kami melihat dari dalam bas kehidupan rakyat Albania. Bas berhenti di sebuah R&R dan terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak terbiar. Negara ini ketinggalan jauh dari semua aspek berbanding Malaysia, akibat kesan peperangan dan sistem ekonomi socialist.

Kesan-kesan pemerintahan komunisma sangat ketara. Masjid dan surau sunyi sepi ditinggalkan. Makanan halal susah dicari. Amalan Islam adalah hak individu.

TIRANA

Setibanya di pusat bandar Tirana, hari sudah tengahari. Kami pergi mengisi perut dulu di sebuah restoran Turki. Lepas makan baru solat. Ada sebuah masjid 10 minit dari restoran itu.

Lepas itu baru jalan-jalan melihat bangunan-bangunan dan tempat tarikan pelancong di dalam bandar Tirana. Kami singgah di pasar buah-buahan — murah dan segar.

Antara bangunan bersejarah di pusat bandar Tirana yang kami lawati secara touch & go (sebab masa yang terhad) ialah Piramid, Skanderberg Square, City Hall dan Masjid Hadji Et’hem Bey.

Sedikit mengenai Masjid Hadji Et’hem Bey.

Masjid ini siap dibina pada tahun 1821 oleh pemerintah Othmaniyyah. Ianya ditutup semasa pemerintahan komunisma dan dibuka semula pada tahun 1991. Masjid ini berdekatan dengan bangunan City Hall. Semasa lawatan kami ke sini pada tahun 2019, masjid ini sedang diubahsuai dan ditutup sementara (Lihat gambar).

Masjid Hadji Et’hem Bey. Semasa lawatan kami ke sini pada tahun 2019, masjid ini sedang diubahsuai dan ditutup sementara.

Kami tidak bermalam di Tirana. Mengikut itinerari kami akan bermalam di Velipoje, 30 km dari Shkoder. Velipoje ialah sebuah bandar resort di tepi pantai Laut Adriatic. Sebelum sampai ke Velipoje bas berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Tirana untuk pick-up bagasi Dr Rodzi yang tersangkut semasa stop-over di Doha tempohari. Bagasi yang sepatutnya tiba di Sofia bersama penumpang, tidak muncul=muncul di lapangan terbang Sofia.

Bas singgah di LTA Tirana, Albania dalam perjalanan ke Velipoje
LTA Tirana, Albania

Destinasi kami di Velipoje ialah Grand Europa Resort Waterworld di Velipoje. Ketika itu, pembinaan hotel baru siap dan akan dibuka sepenuhnya pada musim panas akan datang. Kawasan hotel sangat luas dan kamilah satu-satunya tetamu pada malam itu. Lepas check-in ramai yang turun ke pantai yang jaraknya 200m dari hotel untuk mengambil angin dan menghirup udara segar Laut Adriatic sebelum malam tiba. Kalau ikut peta negara-negara Balkan, negara Italy terletak hanya disebelah sana pantai Velipoje ini. Italy dan Albania dipisahkan oleh Laut Adriatic.

Malam itu semua tidor lena macam batang kayu disebabkan letih travel atas bas.

Kesokkannya selepas sarapan, terus check-out dari hotel. Bas bergerak ke utara menuju sempadan Montenegro melalui bandar Shkoder

SHKODER

Sedikit info mengenai Shkoder.

Shkoder atau nama lamanya Scodra terletak 100 km ke utara Tirana. Perjalanan dari Tirana dengan bas mengambil masa agak lama sebab jalan separuh highway separuh sebaliknya.

Shkoder ialah antara bandar tertua di Balkan dan kaya dengan sejarah.

Shkoder menjadi bandar penting di zaman Kerajaan Turki Othmaniyyah. Bandar ini pernah dijajah oleh Sultan Mehmet the Conqurer pada tahun 1478 selepas ditentang hebat oleh tentera-tentera Venetian.

SHEIKH ALBANI DARI SHKODER ALBANIA

Satu lagi perkata menarik mengenai Shkoder ialah ianya adalah seorang ulamak besar hadith dan fikah aliran salafi iaitu Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani atau lebih popular dengan nama kunyahnya Albani.

Kepada penuntut dan pengkaji ilmu hadith seluruh dunia, Albani adalah tokoh yang popular. Kitab-kitabnya menjadi rujukan. Antaranya Silsilah al-Ahadits as-Shahihah dan Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah, koleksi hadith-hadith sahih dan palsu. Sisi pandang dan kaedahnya dalam mengklasifikasi hadith kadang kala dipertikaikan.

Beliau lahir di pekan ini pada tahun 1914 dalam keluarga miskin. Ibubapanya membawa Albani berpindah ke Syria ketika itu di mana perang dunia pertama bermula.

Di Syria dia pernah dipenjara oleh rejim Al Assad kerana lantang menyampaikan risalah Islam dan anti-Syiah. Beliau kemudian mengajar di Universiti Madinah di Arab Saudi dan kembali ke Syria selepas itu. Dia banyak menulis buku-buku yang agak kontroversi.

Beliau wafat pada tahun 1999 di Amman, Jordan.

Itulah sedikit kisah Sheikh Albani yang dilahirkan di Shkoder, Albania, bandar yang sedang aku ziarahi ini. Cerita lanjut ulama besar ini boleh dicari dalam internet.

Kita kembali ke kembara Balkan ini.

Kita sambung kisah kembara Balkan ini di posting akan datang.

Bahagian ke 5: Menyeberangi sempadan Albania – Montenegro.

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén