Assalamualaikum semua.
Alhamdulillah Februari 2019 saya dan beberapa orang sahabat mengembara secara backpacking ke selatan Myanmar. Antara bandar di lawati ialah Kawthoung, Bokpyin, Myeik dan Dawei. Misi kami ialah menjejaki umat Melayu di kawasan pantai Myanmar Selatan menghadap Lautan Andaman.
Kami memasuki Myanmar melalui sempadan selatan negara tersebut. Dari Ranong (Thailand) kami naik bot merentasi sempadan antarabangsa ke bandar Kawthoung di Myanmar. Dari Kawthoung (atau Pulau Dua dalam bahasa Melayu), kami menyewa van menuju ke utara ke Bokpyin, Myeik (atau Mergui) dan Dawei (nama lama Tavoy).
Sepanjang kembara ini, aku sempat merakam beberapa masjid yang kami singgah sepanjang perjalanan dan sempat berjumpa masyarakat tempatan.
Masjid di sekitar pekan Kawthoung
Dimaklumkan terdapat beberapa buah masjid yang besar di dalam kawasan bandar ini. Kawthoung ialah sebuah bandar yang besar di tepi pantai. Bayangkan ianya seperti Phuket di Thailand minus kemudahan untuk pelancong luar. Di luar bandar, terdapat satu perkampungan penduduk Melayu di Kampong Sepuluh Batu (dinamakan begitu sebab ianya terletak 10 batu dari pusat bandar Kawthoung, di sepanjang jalan utama menuju ke utara). Dalam Google Maps kampung ini ditulis sebagai Kg Tengah. Beberapa kilometer dari sini terdapat sebuah lagi perkampungan Melayu yang diberi nama Kg Tanjung Badak. Di sini terdapat madrasah / pondok dan masjid sebagai keperluan umat Islam di sini. Keadaan sangat daif berbanding di Malaysia dan mereka amat memerlukan bantuan saudara mereka yang kaya raya di Malaysia.
Madrasah dan pondok-pondok pelajar gama di kampong Tanjung Badak di Kawthoung,Myanmar.
Bersedia untuk solat Zuhur di Masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar.
Pengusung jenazah di Masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar.
Ruang solat yang agak selesa di masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, selatan Myanmar.
Pandangan dari depan Masjid Kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar. Terdapat sebuah kuburan di sebelah kanan masjid (tak kelihatan dalam gambar)
Madrasah di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Tulisan jawi digunakan sebagai medium belajar agama di sini, Ustaz import tu!!
Antara pelajar-pelajar Melayu di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Kebanyakan dari mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu pelat Kedah/Perlis.
Antara pelajar-pelajar Melayu di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Mereka hadir di sekolah agama selepas kembali dari sekolah kerajaan di sebelah pagi. Terdapat 2 orang guru di sini yang terpaksa mengajar beberapa kelas berbagai tahap. Kelas-kelas dipisahkan oleh papan hitam sahaja.
Masjid di pekan Bokpyin
Bokpyin ialah sebuah pekan kecil di selatan Myanmar dalam negeri Tanintharyi. Negeri ini juga dikenali sebagai Tanah Sari dalam Bahasa Melayu. Kisah negeri ini pernah dirakam dalam senuah filem arahan P Ramlee di mana seorang pendekar datang dari negeri yang jauh yang disebut Tanah Seri.
Terdapat sebuah masjid yang agak besar di tengah pekan Bokpyin. Berhadapan masjid ini terdapat sebuah madrasah. Kebanyakan orang Islam di sini ialah Indian Muslim. Keluarga Melayu pun ada, tapi tak ramai.
Kawasan perkampungan Melayu di Bokpyin mustahil dicari kalau berpandukan petunjuk di internet semata-mata. Tiada sebarang indikasi akan tempat ini dalam Google Maps. Anda memerlukan guide tempatan untuk sampai ke tempat ini. Kawasan ini juga off-limit kepada pelancong mungkin disebabkan mereka adalah Muslim. Kerajaan Myanmar ketika ini di bawah tekanan antarabangsa dalam cara mereka menangani isu Rohingya. Kaum Melayu menduduki kawasan ladang dan pesisir pantai Lautan Andaman (lihat peta) dan tersorok. Dari simpang jalan utama kami terpaksa melalui jalan tanah merah dan berbukit ke Kg Ulu. Jalan dari Kg Ulu ke Kg Tanjung dan Kg Cedin (mungkin ejaan Cedin tidak tepat atau ditulis dg ejaan lain – penulis) hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan 4×4.
Deretan kedai di pekan Bokpyin, Myanmar.
Masjid utama di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.
Madrasah atau kelas mengaji ugama dan Quran di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.
Masjid di Bokpyin, selatan Myanmar. Bokpyin terletak 5-6 jam perjalanan darat dari Kawthoung, bandar sempadan dengan Thailand.
Pemandangan ruang solat di masjid utama, di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.
Masjid-masjid di perkampungan Melayu dekat Bokpyin
20-30km ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah simpang ke kiri menuju perkampungan Melayu. Nama kampung-kampung di sini adalah nama-nama Melayu seperti Kg Ulu, Kg Tanjung, Kg Cedin dan lain-lain. Mereka menetap kawasan tepi pantai di pesisir Lautan Andaman. Dari simpang di jalan utama Bokpyin ke Myeik, kami terpaksa meredah jalan tanah merah dan berbukit melalui ladang getah dan kelapa sawit untuk sampai ke sini. Mujurlah musim kering ketika itu (Februari 2019). Jalan tidak licin tetapi sangat berdebu. Kampung Melayu pertama kami jumpa ialah Kg Ulu. Selepas Kg Ulu, jalan semakin teruk hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal sahaja. Kg Tanjung dan Kg Cedin hampir 10 km dari Kg Ulu dan mengambil masa 30-40 minit kerana keadaan jalan yang berlubang dan berbukit.
Laluan dan jalan ke kawasan ini sangat remote hinggakan Google Maps pon tak dapat kesan. (setakat posting ini ditulis). Kami bernasib baik ada sahabat dari kampung Tanjung turun menjemput kami di jeti Kawthoung. Sebaik saja bot yang membawa kami dari Ranong tiba di jeti Kawthoung mereka sudah sedia menunggu dengan memakai kain pelikat (loungyi dalam Bahasa Myanmar). Merekalah yang menjadi tour guide kami sepanjang di kawasan misteri ini. Jazakallahu khairan kpd Yusuf, Talib dan Yusuf seorang lagi dari Kampung Tanjung di Bokpyin, Myanmar.
Masjid di Kg Ulu, Bokpyin, selatan Myanmar. Jalan tanah merah di sebelah kanan ialah jalan menuju ke Kg Tanjung dan Kg Cedin. Orang Melayu di sini mengerjakan sawah padi, tanam getah dan buah pinang. Kelihatan ketua kampung Hj Ali sedang mengambil gambar.
Ruang solat di dalam masjid Kg Ulum di Bokpyin, Myanmar. Kelihatan Hj Zainal mengurut kaki yang lengoh lantaran perjalanan yg jauh.
Masjid usang di Kg Cedin, Bokpin, Myanmar. Masjid ini masih digunakan hingga saat ini dan terletak di pesisir pantai Laut Andaman yang airnya semakin surut. Zahirmya sangat daif tetapi inilah rumah Allah, tempat yang paling mulia di muka bumi, kalau kita mengetahui.
Bahagian serambi Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar. Sea-view yang cantik dengan angin sepoi-sepoi bahasa.
Ruang solat dalam Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar.
Bahagian serambi Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar.
Hj Taib, imam tua di masjid Kg Cedin, Myanmar bercerita sejarah kerabat Sultan Abd Hamid, Sultan Kedah di zaman itu yang datang untuk berdakwah dan berniaga ke wilayah Tanintharyi di selatan Myanmar. Kuburan lama di atas bukit ini adalah buktinya.
Perkuburan lama di atas bukit di Kg Chedin di Bokpyin. Myanmar. Dikatakan kepunyaan kerabat Sultan Abd Hamid, Sultan Kedah pd waktu itu.
Kuburan itu terletak di puncak bukit yang curam.
Masjid lama di Kg Tanjung, Status surau sekarang. Dibina pd tahun 1950?
Masjid lama di Kg Tanjung, Status surau sekarang. Dibina pd tahun 1950?
Sebuah surau di Kg Darat dekat Kg Tanjung, di Bokpyan, Myanmar
Myeik (atau Mergui atau Mareik)
3-4 jam memandu ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah bandar tepi pantai yang cantik. Kebanyakan pelancong luar datang ke sini sebab pantai dan pulau-pulau yang indah dan belum tercemar. Tempat ini seumpama Langkawi atau Karabi dan Phuket di Thailand. Terdapat ramai masyarakat Islam di sini dari keturunan Melayu dan India Muslim.
Kami singgah utk solat Subuh di masjid ini, berdekatan pekan Myeik. Terdapat madrasah tahfiz di sebelah masjid ini. Dan sebuah kedai makan Islam di simpang jalan masuk ke masjid dari jalan utama Bokpyin-Myeik.
Sebuah masjid di pekan Myeik. Ada beberapa masjid di pekan Myeik, Cuba google “masjid in myeik”. Ramai Muslims di pekan ini.
Dawei (nama lama: Tavoy)
4 hingga 5 jam memandu ke utara pekan Myeik, kami sampai ke Dawei, sebuah bandar perdagangan yang penting dan besar di bahagian Thanintaryi, selatan Myanmar. Di zaman penjajahan British di Mynmar, Dawei dikenali sebagai Tavoy. Ramai masyarakat Islam di bandar ini dan kebanyakan dari keturunan India Muslim, Nenek moyang mereka adalah askar Gurkha yang datang sekali dengan tentera British semasa Perang British-Burma. Dikatakan ada 4 masjid di pusat bandar dan lebih dari 10 di luar bandar.
Ruang solat Masjid Kaka. Bersama AJK Masjid Kaka. Mereka sangat gembira org Malaysia datang ziarah. Tapi sayang kami dok leh dok lamo.
Ustaz Faizal sedang mengambil di masjid Kaka, Dawei. Kolahnya rendah dan sangat selesa.
Masjid Jamek Sunni, masjid terbesar di pekan Dawei, Myanmar. Sedang diubahsai semasa kami sampai (Feb 2019). Mehrab kayu yang diukir dan karpet baru. Di pintu masuk terdapat banyak warung makanan halal.
Bersama makmum kecil di Masjid Jamek Sunni di pekan Dawei, Myanmar.
Sebenarnya ini bukanlah lawatan pertama saya ke sini. Semasa posting/bekerja di Yangon dulu saya pernah beberapa kali singgah di Dawei semasa transit dari offshore dan buat projek CSR dengan penduduk tempatan sekitar Dawei. Pada masa itu saya sempat melawat tempat menarik di sekitar Dawei antaranya Pantai Maungmagan dan Laung Lone. Baca kisah ini di link ini http://bumisepi.com/?p=340
Sesungguhnya ramai umat Islam di Myanmar tetapi kehidupan mereka tertindas dari semua sudut — contohnya, pergerakan mereka terbatas sebab ada yang tiada IC atau passport, prasarana untuk mendidik anak/cucu mereka dengan ilmu agama Islam sangat daif, identiti dan syiar Islam terpaksa di sembunyikan utk mengelakkan diskriminasi oleh kerajaan Myanmar yang anti-Islam.
Mereka memerlukan bantuan kewangan dan moral dari umat Islam di Malaysia yang hartawan dan dermawan. Hubungi saya di abuadam2006@gmail.com atau FB bumisepi untuk sumbangan dan pertanyaan lain.
END OF POST