Awal 2019, semasa projek jalan-jalan Balkan saya sempat singgah di Ohrid, Macedonia. Perjalanan dari Skopje ke bandar ini sekitar 2 jam dengan jarak perjalanan tak jauh, sekitar 120 km.
Terdapat beberapa masjid di Ohrid yang sempat saya perhatikan.
Rata-rata majoriti penduduk Ohrid ialah Kristian Orthodoks dari keturunan Macedonia. Penduduk Islam adalah minoriti dari keturunan Albania dan Turki yang tinggal di Ohrid. Hubungan antara kaum pernah tegang suatu masa dulu pada tahun 2001 dan ini membawa kepada tentangan non-muslim kepada ubahsuai besar-besaran Masjid Ali Pasha termasuklah membina semula minaret atau kubah setinggi 32 meter.
MASJID ALI PASHA
Masjid ini antara masjid terawal dibina di Macedonia pada tahun 1573M semasa Macedonia di bawah pemerintahan kerajaan Othmaniyyah. (Masa itu Kerajaan Melayu Melaka baru jatuh ke tangan Portugis). Masjid ini dibina atas perintah Suleiman Pahsa dan dinamakan Masjid Ali Pasha sebagai menghargai jasanya. Ali Pasha ialah seorang panglima perang Turki berpengkalan di Belgrade, pada masa itu.
Senibina masjid ini memang unik — bumbungnya segi empat atau lebih, sekali nampak macam hexagonal atau octagonal. Bahan binaannya ialah batu atau batu block yang dibakar, Semasa saya sampai di sini, kubah masjid sedang dalam pembinaan. Kubah yang runtuh diganti dengan yang baru. Terdapat 2 kubah di masjid ini. Terdapat sebuah madrasah di sebelah masjid ini pada struktur asal tetapi sekarang tidak lagi berfungsi.
Masjid ini terletak di kawasan tarikan pelancong. Jadi tiada masalah untuk cari masjid ini. Ada restoran halal Turki berdekatan masjid ini.
MASJID ZAINAL ABIDIN PASHA (ditulis sebagai ZEYNEL ABIDIN PASHA MOSQUE)
Masjid ini dibina oleh pengikut2 Sheikh Zainal Abidin Pasha, seorang ulama aliran Sufi. Oleh sebab kesuntukan masa kami tidak sempat menziarah masjid ini. Dikatakan ada kuburan Sheikh ini dan ahli keluarganya di dalam laman masjid.
Masjid ini boleh dilihat dari Old Bazar Square.
Pengaruh pemerintahan empayar Uthmaniyah di negara-negara Balkan tidak dapat disingkirkan dari buku sejarah. Mereka pernah memerintah wilayah ini lebih 500 tahun, membawa risalah Islam ke Eropah selatan.
MASJID CHARSHI di PRILEP
Kisah masjid Charshi, seperti yang dikabarkan, memang trajis. Prilep ialah sebuah bandar di Macedonia. Masjid ini dibakar oleh etnik Macedonia semasa konflik dengan penduduk Islam dari keturunan Albania pada tahun 2001. Sehingga hari ini, masjid ini dibiarkan begitu sahaja.
Cerita lanjut masjid ini ada di link ini: http://www.prilepinfo.mk/en/architecture/sacred-objects/charshi-mosque
Itulah sedikit sebanyak kisah masjid di Ohrid dan Prilep. Semoga bermanafaat untuk pencinta Islam dan sejarah.
Saya selitkan sedikit cerita pasal bandar Ohrid di bawah ini. Cerita lanjut pasal Ohrid dan Balkan boleh layari bumisepi.com search perkataan “BALKAN”.
Ohrid ialah sebuah bandar pelancongan di tepi tasik. Tasik Ohrid antara tasik air tawar paling luas dan paling dalam di seluuruh Eropah. Bila datang sini, wajib naik bot atau feri keliling tasik. Harga 20 Euro satu round. Tasik ini dikelilingi oleh gereja-gereja lama Kristian Orthodoks di atas bukit di pinggir tasik.