Assalamualaikum dan salam PKP kepada semua.
PKP ni banyak hikmah kpd mereka yang positif minda. Boleh menulis. Boleh deraf wasiat dan hibah. Boleh hafal surah-surah yang masa sibuk dulu memang tak mampu. Hanya bila dikurung dalam rumah, duduk diam diam merenung kipas berpusing di siling, baru nampak jalan. Boleh muhasabah diri. Boleh pelan KPI tahun baru 2021. Boleh daftar pertubuhan. Boleh buat macam-macam musim PKP ni.
Ini adalah bahagian ke 5 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Posting lepas kita melawat Albania. Minggu ni kita singgah di Montenegro.
Dari Velipoje dan Shkoder bas PUPE meluncur laju menuju sempadan antarabangsa Albania / Montenegro.
Sebelum tu sedikit info pasal negara ini.
Negara yang bernama Montenegro ini taklah besar mana. Penduduknya tak sampai satu juta. Kurang dari 700,000 orang. Ibunegara bernama Podgorica. Kami tak singgah di Podgorica sebab tiada dalam jadual. Penduduk Islam sekitar 20% sahaja, Kristian Orthodoks 70%, lain-lain agama 10%.
Negara ini terletak di utara Albania di pinggir Laut Adriatic. Negeri memang cantik disebabkan lanskap mukabuminya yang bergunung-ganang dan pesisir pantai yang berteluk-teluk.
Pelancong yang datang ke Montenegro selalunya akan melawat 2 bandar ini di Montengro: BUDVA dan KOTOR. Tak ramai pelancong pergi ke Podgorica.
BUDVA
Budva Old Town ialah penempatan terawal di pesisir Laut Adriatic berusia 2500 tahun. Ia adalah rumah-rumah dan kota lama yang dibuat dari batu, terletak di tepi laut. Warna bumbung serupa saja — oren kemerahan. Di sebelah kota lama terdapat marina di mana bot-bot dan perahu layar mewah berlabuh.
KOTOR YANG BERSIH
Lebih kurang 30 km ke utara Budva ialah pekan Kotor.
Satu lagi bandar yang wajib dilawati semasa di Montenegro ialah KOTOR. Bandar ini terletak di sekeliling Kotor Bay dan merupakan nadi industri pelancongan di Montenegro. Hotel-hotel dan resort percutian terletak di tepi teluk / pantai.
Kotor, Montenegro Kotor, Montenegro
Walking tour adalah cara terbaik melawat bandar lama Kotor. Pakai kasut sukan yang selesa dan bawa botol air. Kalau kuat dan ada masa, boleh panjat bukit / kubu San Giovanni di belakang kota lama ini. Dari situ boleh lihat pemandangan menakjubkan keseluruhan tapak bersejarah ini. Bandar purba ini dibina oleh kerajaan Rom dalam bentuk tembok dan dinding batu.
Kami tidak lama di sini. Tempat bersejarah seperti ini tak ramai berminat. Hehe maklumlah orang kita tak suka Sejarah.
Bas bergerak dan singgah di masjid ini untuk solat Zuhur /Asar. Alhamdulillah ada juga masjid di tempat seperti ini. Tiada banyak maklumat mengenai komuniti Muslim di sini. Tiada orang tempatan untuk aku bertanya mengenai tempat ini. Masjid ini ialah sebuah bangunan yang baru siap — tak siap sepenuhnya lagi — berwarna putih.
Lepas solat, bas bergerak menuju ke sebuah jeti. Dari sini bas kami naik feri menuju ke destinasi seterusnya di Croatia.
Semasa feri belayar menyeberangi Kotor Bay, pemandangan indah sekali dengan udara sejuk menyapa pipi dan rumah-rumah di tepi pantai yang berbalam-balam di kejauhan.
Selamat tinggal pekan Kotor yang bersih… Umur panjang jumpa lagi.
Leave a Reply