Kami mendarat di Lapangan Terbang Sofia sekitar jam 12 tengahari. Kami bergerak ke Skopje, Macedonia sekitar jam 6 petang. Jadi sebab itulah tajuk posting ini sebegitu. 6 jam di Sofia, Bulgaria.
NOTA: Posting ini adalah bahagian pertama dari beberapa bahagian Kembara ke Balkan pada musim bunga pada tahun 2019.
Sofia adalah ibu kota dan kota terbesar di Republik Bulgaria. Negara ini terletak di Eropah selatan dan adalah ahli pakatan tentera NATO. Jiran Bulgaria termasuklah Turki, Romania dan Greece.
Hampir 10% atau lebih dari 8 juta penduduk Bulgaria adalah keturunan Turki yang beragama Islam. Pengaruh dan peninggalan Kerajaan Othmaniyah Turki (Ottoman Empire) di Bulgaria dan lain2 negara Balkan agak ketara sebab negara ini pernah dijajah oleh Kerajaan Othmaniyah selama 500 tahun.
Pemeriksaan imigresen dan kastam berjalan lancar di Sofia International Airport. Cuma ada sedikit masalah di baggage reclaim. Sebuah bagasi kepunyaan keluarga Dr Nora tidak sampai. Hilang entah di mana. Aduan dibuat. Tak ramai boleh bercakap English di sini. Kami tidak boleh tunggu lama di Sofia. Akhir sekali syarikat penerbangan kata mereka akan cuba uruskan bagasi tersebut dihantar ke Tirana Airport di Albania dalam masa 2-3 hari. Pada waktu itu kami dijangka sampai ke Tirana. So the timing is just nice.
Lunch time. Semua lapar. Bas dan pemandu yang menunggu rombongan kami di lapangan terbang terus bergerak laju menuju ke pusat bandar Sofia. Perut berbunyi. Hati bertanya. Siapakah Sofia ini?
Destinasi pertama kami di Sofia ialah restoran Olive berdekatan dengan Masjid Banya Bashi. Hanya 150 meter dari masjid. Di sini menunya ialah makanan Turkish. Bismillah. Perut penuh dan semua gembira. Alhamdulillah.
Destinasi kedua kami di Sofia ialah Masjid Banya Bashi, sebuah masjid lama sejak kurun ke 16 yang dibina oleh kerajaan Othmaniyah. Terdapat sebuah taman yang besar di belakang masjid ini. Kami solat zuhur dan asar di masjid ini. Ramai muslim dari keturunan Turki di masjid ini. Mereka gembira berjumpa saudara seugama dari Tanah Melayu. Masjid ini besar dan luas dan dijaga dengan baik.
Sejarah menunjukkan selepas kejatuhan kerajaan Othmaniyah Turki, Islam ditindas dan bangunan2 peninggalan kerajaan Othmaniyah ditukar menjadi gereja. Dikatakan pernah terdapat lebih 70 masjid di sekitar Sofia di zaman kegemilangan Islam dahulu dan sekarang hanya Masjid Banya Bashi satu-satunya masjid yang masih berfungsi.
Satu lagi keistimewaan masjid ini ialah ianya dibina di atas kolam air panas semulajadi. Kami turun ke kawasan tandas dan wuduk di basement masjid dan memang ada paip air panas semulajadi yang mengalirkan air panas dari bawah tanah. Di musim sejuk dan bunga di mana cuaca sejuk, air panas memberi keselesaan kepada jemaah yang datang untuk solat di masjid.
Seterusnya kami ronda-ronda di sekitar pusat bandar Sofia melihat bangunan-bangunan bersejarah dan pusat tarikan pelancong. Jika anda tak suka sejarah, Sofia is not for you. Antara misi peribadi saya di sini ialah untuk mengkaji pengaruh dan kesan empayar Othmaniyah Turki di Balkan. Bila kita sampai ke Bosnia nanti, pengaruh empayar Islam ini sangat ketara. Di Sofia hanya terdapat sebuah masjid dan 100 gereja. Bulgaria ialah antara negara terkebelakang di seluruh Eropah dari segi ekonomi. Index rasuahnya juga tinggi.
Ini antara yang sempat saya rakam sepanjang beberapa jam di Sofia. Enjoy…
Menjelang petang bas kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Skopje di Macedonia. Jarak perjalanan lebih kurang 250 km mengambil masa 3-4 jam. Cara sebutan Skopje yang betul ialah Skopiey (huruf j diganti dengan huruf y). Macedonia ialah negara kedua di Balkan yang kami lawati dalam kembara ini.
Leave a Reply