Ini adalah bahagian ke 3 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan.
Bas meneruskan perjalanan dari Skopje, menuju selatan. Destinasi seterusnya ialah bandar Ohrid, Macedonia. Jarak perjalanan tak jauh, sekitar 120 km.
Kami tiba di bandar ini lebih kurang 3 petang.
Perut berkeroncong. Tempat parking bas agak jauh dari pusat bandar. Turun bas terus ke sebuah restoran untuk makan tengahari.
Tarikan nombor satu di bandar Ohrid ialah tasiknya. Tasik Ohrid antara tasik air tawar paling luas dan paling dalam di seluuruh Eropah. Bila datang sini, wajib naik bot atau feri keliling tasik. Harga 20 Euro satu round. Tasik ini dikelilingi oleh gereja-gereja lama di atas bukit di pinggir tasik.
Tarikan nombor 2 ialah Old Bazar, daerah membeli belah yang bermula dari jalan utama sampailah ke jeti naik bot dan kawasan waterfront. Mutawwif kami berkata ini adalah “tempat melontar”, semua barang ada di sini darilah magnet peti ais hingga ke mutiara (pearls) dari lubuk Tasik Ohrid. Batu melontar ialah duit Euro. Kalau tak melontar tak sah tawaf di Old Bazar, katanya lagi. Siapakah dia mutawwif kami? Dialah Bro Solehin. Nanti saya tunjuk gambar dia kalau ada. Memang hensem orangnya.
MASJID ALI PASHA
Saya perasan ada beberapa buah masjid di kawasan Old Bazar. Antaranya Masjid Ali Pasha.
Masjid ini antara masjid terawal dibina di Macedonia. Sekitar kurun ke 15 semasa Macedonia di bawah pemerintahan kerajaan Othmaniyyah. Senibina masjid ini memang unik — bumbungnya segi empat atau lebih, sekali nampak macam hexagonal atau octagonal. Bahan binaannya ialah batu atau batu block yang dibakar, Semasa saya sampai di sini, kubah masjid sedang dalam pembinaan.
MASJID ZAINAL ABIDIN PASHA (ditulis sebagai ZEYNEL ABIDIN PASHA MOSQUE)
Masjid ini dibina oleh pengikut2 Sheikh Zainal Abidin Pasha, seorang ulama aliran Sufi. Oleh sebab kesuntukan masa kami tidak sempat menziarah masjid ini. Dikatakan ada kuburan Sheikh ini dan ahli keluarganya di dalam laman masjid.
Masjid ini boleh dilihat dari Old Town Square.
Selepas habis 3 aktiviti tadi — makan, naik bot keliling tasik, melontar di Old Bazar, kami keletihan. Bas datang dan bawa kami ke hotel Flamengo. Di sinilah kami tidur malam ini. Hotel 3 bintang atau kurang dari itu.
Perjalanan rentas Balkan masih jauh. Esok pagi kami akan menuju Tirana, Albania. Dr Rozi dan keluarga tak sabar nak collect bagasi di lapangan terbang Tirana. Mereka kehilangan bagasi semasa penerbangan Qatar Airways dari Qatar ke Sofia.
Makan malam? Sendirian berhad. Zzzzz,
1 Pingback