Satu minggu sebelum Eidul Fitri. Ketika yang lain sibuk memohon cuti untuk pulang beraya di tanah air, aku dan beberapa orang sahabat sealiran menjejaki kawasan delta di sekitar Yangon, mencari masjid-masjid yang memerlukan bantuan kewangan. Aku ditugaskan menyampaikan Tabung Ramadhan sumbangan pekerja moslem di tempat aku bekerja kepada golongan yang memerlukan. Rancangan kami ialah mencari umat Islam di luar kota Yangon kerana pada firasat kami masyarakat Islam di kota Yangon sudah banyak menerima sumbangan dari NGO Islam atau kedutaan-kedutaan negara Islam seperti Arab Saudi. Hari itu di Masjid Kokhine, aku melihat kotak-kotak buah kurma seberat 2kg satu pek di satu penjuru masjid untuk diedarkan kepada fakir miskin setempat. Tertulis di atas pek itu “A gift from the guardian of two holy lands”. Kerajaan Arab Saudi memang dermawan. Semoga Allah menerima amalan mereka dan amalan kami.
Kawasan delta (delta area) merujuk kepada kawasan tanah subur lembangan Sungai Ayeyarwaddy (juga dieja sebagai Irrawaddy) dan beberapa sungai lain seperti Sungai Yangon dan Sungai Bago. Sungai Ayeyarwaddy merupakan sungai terpanjang di Myanmar mengalir dari kawasan pergunungan di utara menuju ke kawasan delta dan seterusnya memasuki Laut Andaman di selatan. Ia merupakan nadi pengangkutan air utama. Bandar utama di kawasan delta ialah Pathein. Semasa taufan Nargis melanda pada tahun 2008, kawasan ini adalah yang paling teruk terjejas. Air melimpah hingga ketinggian 6 meter dari paras permukaan bumi dan hampir 200,000 orang menjadi mangsa.
Destinasi pertama kami ialah tiga buah masjid dalam perjalanan ke Konyangon, satu kawasan perkampungan di muara Sungai Yangon. Masjid Sanwa dan Masjid Getkone di daerah Twante, Masjid Zayagone di daerah Kaw Hmu. Jarak perjalanan lebih kurang satu jam dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Landcruiser dari bandaraya Yangon melalui jalan darat. Masyarakat Islam di sekitar 30 – 50 keluarga di sekitar kawasan ini. Kebanyakannya bekerja sendiri (petani, buruh dan peniaga). Identiti moslem tidak tidak dapat dibezakan dengan yang bukan Islam, kerana kehidupan dan budaya mereka sudah bercampur. Anak2 dan wanita2 mereka serupa saja, makanan, pakaian, bahasa pertuturan seharian, semuanya hampir sama. Syiar Islam hanya boleh dilihat di masjid-masjid dan pakaian mereka yang masih bertahan dangan pegangan aqidah — lelaki berkopiah putih dan baju putih labuh ala Pakistan, dan muslimah yang bertudung walaupun longgar. Kami diberitakan sebahagian moslem di kawasan ini dimurtadkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian yang pertama sampai menghulurkan bantuan selepas taufan Nargis melanda. Kehidupan di sini memang susah. Semuanya manual.
Kami juga sempat singgah di bandar Twante yang terkenal dengan perusahaan tembikar dari tanah liat. Dalam perjalanan balik kami melalui Dallah, sebuah perkampungan kecil ditebing Sungai Yangon. Dari Dallah kami menaiki feri menyeberangi Sungai Yangon ke kota Yangon. Feri RORO (roll out and roll in ferry) membawa kereta dan lori berserta penumpang.
Sistem jalanraya di kawasan delta dan hampir keseluruhan kawasan luar bandar di seluruh Myanmar memang ketinggalan jauh kebelakang berbanding dengan Malaysia. Jalan tidak berturap, sempit, berlubang di sana sini dan tidak terurus adalah perkara biasa. Lembu dan kambing dan khinzir berebut jalan dengan kenderaan yang lain.
Lihat galeri di atas untuk imej-imej sepanjang lawatan ini. Bawak tetikus ke atas imej untuk penjelasan. Klik dua kali untuk membesarkan imej.
Leave a Reply