Mulai Jun 2013, aku telah ditukarkan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada Miri, bandaraya kedua terbesar di Sarawak, yang terkenal dengan maskot kuda laut.
Aku tak pernah kerja lama di Kuala Lumpur. Kalau datang untuk mesyuarat atau update bos sekali sekali adalah. Masa kerja di Yangon, Myanmar atau Miri, Sarawak, memang selalu turun ke KL. Masa tu duduk di hotel 5 bintang sekitar KLCC. Pernah bermalam di hampir semua hotel-hotel ternama di KL. Antaranya Hotel Traders, Mandarin Oriental, Maya, Nikko (nama baru InterContinental), Sheraton Imperial, Hilton PJ, Hilton KL Sentral, Le Meridien, Ritz Carlton, Prince Hotel, Renaissance, Shangri-la, Impiana, Crowne Plaza, Park Royal, dan lain-lain lagi. Amboi banyaknya. Timbul rasa riyak pulak. Astaghfirullah. Tapi itu semuanya atas dasar menunaikan amanah. Menjalankan tugas. Itupun syarikat yg bayar.
Berulang alik dari rumah di Taman Melati, Setapak ke KLCC, pejabat baru aku adalah sesuatu yang mencabar pada permulaan tiba di KL. Sekarang menjadi rutin harian yang suka tak suka terpaksa di lalui. Aku memilih pengangkutan awam, iaitu menaiki LRT, demi menyahut saranan kearah mesra alam sekitar. Satu lagi sebab aku naik tren ialah kesesakan lalu lintas. Banyak pembaziran, masa dan kos parking kereta.
Jadi dalam posting ini, aku ingin berkongsi pasal rutin harian baru ini.
Ini adalah tipikal stesen LRT. Tren akan tiba dan berhenti sekejap untuk mengambil dan menurun penumpang di setiap stesen. Tiada drebar dan kalendan yang aku nampak. Pintu terbuka dan tertutup dengan sendirinya apabila sampai di stesen. Semua kena cepat. Masuk dan keluar. Jika tidak, terkepit kat pintu tak leh gi kerja. Bos akan marah.
Stesen Setiawangsa
Tren bila kosong. Ha ha boleh main bola..
Tapi selalunya sepert ini.
Tren bila penuh. Senyumlah sikit bang.. Nanti stres kang
Manusia berebut nak balik rumah di stesen KLCC.
Perjalanan dari stesen Taman Melati ke stesen KLCC mengambil masa 20 minit. Tiada traffic jam semasa tren bergerak. Guaranteed. Yang ada hanyalah kesesakan di stesen-stesen tertentu semasa waktu puncak. Kesesakan yang ketara sepanjang perjalanan dari stesen Tmn Melati ke KLCC ialah :
1. Semasa menaiki tren di Tmn Melati
2. Semasa turun dari tren di KLCC
3. Semasa menaiki escalator selepas turun tren di KLCC.
4. Semasa di checkout counter
5. Semasa beratur mengambil suratkhabar percuma, The Sun
6. Semasa menaiki escalator selepas terowong ke Suria KLCC.
KAT MANA NAK DUDUK DALAM TREN?
Jarang aku dapat tempat duduk walaupun stesen Tmn Melati hanyalah stesen kedua terakhir (atau terawal? – bergantung kemana anda menghala). Kalau dapat tempat duduk pun, macam rasa bersalah saja melihat orang lain berdiri. AKu juga belajar beberapa perkara mengenai memilih spot yang baik semasa dalam tren (kalau kena berdirilah. Kalau dapat tempat duduk, selesailah masalah).
Definisi spot yang baik ialah yang mana kita tidak diganggu atau dipaksa bergerak banyak. Bayangkan tren akan berhenti di 7 atau 8 hentian lagi sebelum sampai KLCC. Dan di setiap hentian penumpang akan masuk dan keluar, walaupun sudah penuh macam tin sardine. Spot yang baik untuk berdiri semasa dalam tren ialah menghadap penumpang yang duduk, sambil memegang tali pemegang. Ada akan dapat menikmati pemandangan di luar semasa tren bergerak dan melupakan sementara ‘jiran-jiran’ anda dalam tren yang majoritinya sangat egoistic dan individualistic dan plastic. Apa taknya. Semua ‘jiran’ anda akan membelek gajet ditangan, jari menolak skrin dan selepas tu tersenyum sorang-sorang. Itu kategori pertama. Kategori kedua ialah golongan yang mendapat seat dan menutup mata menyambung mimpi yang terganggu pagi tadi. Yang baik sikit ialah ada juga yang membaca. Kategori ketiga ialah penumpang yang naik dengan kawan-kawan atau jumpa kawan yang sebulu atas tren. Golongan in akan bercakap tak habis-habis dan ketawa berdekah-dekah. Tak ramai golongan seperti ini, kalau adapun di waktu petang. Di waktu pagi, semua muka masam dan serius. Maklumlah terpaksa pergi kerja.
Kembali kepada cara memilih spot yang baik.
Spot yang perlu dielakkan semasa berdiri di atas LRT ialah:
1. Depan pintu masuk. Aku belajar sesuatu mengenai pintu ini. Pintu gelongsor (sliding doors) ini agak ganas. Mengapa aku kata begitu? Sepatutnya bila masih ada penumpang yang masih berdiri nak masuk, ianya boleh mengesan sendiri akan kehadiran badan manusia dan tidak ditutup terus begitu saja macam pintu lif. Tetapi sepanjang pemerhatianku, ia tidak begitu. Ia terus tutup selamba saja. Ianya seperti tiada sensor keselamatan. Berdiri depan pintu akan menghalang orang naik dan turun. Dan anda kena banyak bergerak. Nak texting dan wasap pun susah sebab kena himpit orang naik dan turun.
2. Berdiri di tengah ruang masuk. Ada satu tiang stainless steel di tengah tengah laman masuk, yang memang direkacipta . Kebanyakan penumpang akan berkumpul memegang tiang ini. Berdiri di sini juga menghalang penumpang keluar dan masuk.
3. Berdiri di joint antara dua gerabak. Aku banyak kali berdiri di sini. Ia agak ekslusif tetapi bila tren membelok, lantai di kawasan joint ini juga akan bergerak dan sesiapa yang duduk di sini akan terasa gerakan ini. Tempat ini juga tiada pemegang atas kepala.
4. Berdiri di penjuru pintu masuk. Tempat ini sempit dan muat untuk seorang saja. Masalahnya ialah anda tak boleh memandang keluar sebab dihadang oleh dinding tren. Anda terpaksa memandang ke dalam tren, iaitu penumpang di sebelah anda.
5. Tempat dikhaskan untuk OKU dan wanita hamil. Kalau anda sihat trang tang tang, cobalah jangan duduk di sini. Kesian kat depa.
Jarang aku nampak muka-muka yang memberi motivasi dalam tren. Kebanyakannya muka-muka sedih dan toya. Muka-muka ‘stoned’ yang terpaksa bangun awal dari tidur. Muka-muka yang macam baru lepas bergaduh dengan bini atau anak pagi tadi. Muka-muka yang takut kena marah dengan bos kalau lewat. Muka-muka yang terpaksa kerja sebab nak bayar sewa rumah, ansuran kereta dan broadband. Muka-muka terpaksa menarik kaki ke tempat kerja setiap pagi. Tak seronok langsung. Tak hairanlah ada hari hari aku salah seorang dari muka-muka itu.
Waktu berehat — kalau dapat seat lah.
APA ADA DALAM TREN?
Nothing entertaining. Tiada TV atau video player macam dalam bas ekspres KL-KB. Radio FM pun tak ada. Yang mengeluarkan bunyi adalah sistem interkom. memberitahu ketibaan ke sesuatu stesen dan pengumuman keselamatan.
Seatbelt pun sik ada.
Tempat duduk adalah terhad. Prioriti kepada penumpang istimewa seperti orang tua, OKU dan ibu mengandung. Tetapi bukan semua paham Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Maklumlah orang Nepal atau Mongolia atau Ukraine.
Aircond dalam tren memang sejuk. Jarang sekali aircond tidak berfungsi sepanjang pengalaman naik tren LRT. Aircond yang kuat dan sejuk bertujuan untuk menghilangkan bau-bauan yang pelbagai, yang terhambur keluar dari liang-liang stoma kulit badan manusia yang mortal, manusia yang makan dan berkumuh. Perjalanan di waktu pagi masih mewangikan. Perjalanan balik selepas waktu pejabat, masyaallah.
TIP NAIK ESKALATOR
Berdiri di lorong kiri. Lorong kanan ialah lorong memotong.
Lagi bagus kalau terus saja bergerak naik walaupun eskalator sedang bergerak. Cepat sampai ofis. Boleh siapkan kerja awal. Bos pun suka. Tapi lebih penting Allah suka.
KESIMPULAN
Sistem LRT di KL memang memenuhi objektifnya. Ekonomikal dan pantas. Tahniah kpd RapidKL.
Itulah pemerhatian aku semasa kerja di KLCC. AKu rasa macam nak balik semula ke tempat yang jauh dari ibu pejabat. Jauh dari KL. Satu lagi opsyen — bersara awal. Insyallah.