Assalamualaikum semua.
Alhamdulillah Februari 2019 saya dan beberapa orang sahabat mengembara secara backpacking ke selatan Myanmar. Antara bandar di lawati ialah Kawthoung, Bokpyin, Myeik dan Dawei. Misi kami ialah menjejaki umat Melayu di kawasan pantai Myanmar Selatan menghadap Lautan Andaman.
Kami memasuki Myanmar melalui sempadan selatan negara tersebut. Dari Ranong (Thailand) kami naik bot merentasi sempadan antarabangsa ke bandar Kawthoung di Myanmar. Dari Kawthoung (atau Pulau Dua dalam bahasa Melayu), kami menyewa van menuju ke utara ke Bokpyin, Myeik (atau Mergui) dan Dawei (nama lama Tavoy).
Sepanjang kembara ini, aku sempat merakam beberapa masjid yang kami singgah sepanjang perjalanan dan sempat berjumpa masyarakat tempatan.
Masjid di sekitar pekan Kawthoung
Dimaklumkan terdapat beberapa buah masjid yang besar di dalam kawasan bandar ini. Kawthoung ialah sebuah bandar yang besar di tepi pantai. Bayangkan ianya seperti Phuket di Thailand minus kemudahan untuk pelancong luar. Di luar bandar, terdapat satu perkampungan penduduk Melayu di Kampong Sepuluh Batu (dinamakan begitu sebab ianya terletak 10 batu dari pusat bandar Kawthoung, di sepanjang jalan utama menuju ke utara). Dalam Google Maps kampung ini ditulis sebagai Kg Tengah. Beberapa kilometer dari sini terdapat sebuah lagi perkampungan Melayu yang diberi nama Kg Tanjung Badak. Di sini terdapat madrasah / pondok dan masjid sebagai keperluan umat Islam di sini. Keadaan sangat daif berbanding di Malaysia dan mereka amat memerlukan bantuan saudara mereka yang kaya raya di Malaysia.
Masjid di pekan Bokpyin
Bokpyin ialah sebuah pekan kecil di selatan Myanmar dalam negeri Tanintharyi. Negeri ini juga dikenali sebagai Tanah Sari dalam Bahasa Melayu. Kisah negeri ini pernah dirakam dalam senuah filem arahan P Ramlee di mana seorang pendekar datang dari negeri yang jauh yang disebut Tanah Seri.
Terdapat sebuah masjid yang agak besar di tengah pekan Bokpyin. Berhadapan masjid ini terdapat sebuah madrasah. Kebanyakan orang Islam di sini ialah Indian Muslim. Keluarga Melayu pun ada, tapi tak ramai.
Masjid-masjid di perkampungan Melayu dekat Bokpyin
20-30km ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah simpang ke kiri menuju perkampungan Melayu. Nama kampung-kampung di sini adalah nama-nama Melayu seperti Kg Ulu, Kg Tanjung, Kg Cedin dan lain-lain. Mereka menetap kawasan tepi pantai di pesisir Lautan Andaman. Dari simpang di jalan utama Bokpyin ke Myeik, kami terpaksa meredah jalan tanah merah dan berbukit melalui ladang getah dan kelapa sawit untuk sampai ke sini. Mujurlah musim kering ketika itu (Februari 2019). Jalan tidak licin tetapi sangat berdebu. Kampung Melayu pertama kami jumpa ialah Kg Ulu. Selepas Kg Ulu, jalan semakin teruk hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal sahaja. Kg Tanjung dan Kg Cedin hampir 10 km dari Kg Ulu dan mengambil masa 30-40 minit kerana keadaan jalan yang berlubang dan berbukit.
Laluan dan jalan ke kawasan ini sangat remote hinggakan Google Maps pon tak dapat kesan. (setakat posting ini ditulis). Kami bernasib baik ada sahabat dari kampung Tanjung turun menjemput kami di jeti Kawthoung. Sebaik saja bot yang membawa kami dari Ranong tiba di jeti Kawthoung mereka sudah sedia menunggu dengan memakai kain pelikat (loungyi dalam Bahasa Myanmar). Merekalah yang menjadi tour guide kami sepanjang di kawasan misteri ini. Jazakallahu khairan kpd Yusuf, Talib dan Yusuf seorang lagi dari Kampung Tanjung di Bokpyin, Myanmar.
Myeik (atau Mergui atau Mareik)
3-4 jam memandu ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah bandar tepi pantai yang cantik. Kebanyakan pelancong luar datang ke sini sebab pantai dan pulau-pulau yang indah dan belum tercemar. Tempat ini seumpama Langkawi atau Karabi dan Phuket di Thailand. Terdapat ramai masyarakat Islam di sini dari keturunan Melayu dan India Muslim.
Dawei (nama lama: Tavoy)
4 hingga 5 jam memandu ke utara pekan Myeik, kami sampai ke Dawei, sebuah bandar perdagangan yang penting dan besar di bahagian Thanintaryi, selatan Myanmar. Di zaman penjajahan British di Mynmar, Dawei dikenali sebagai Tavoy. Ramai masyarakat Islam di bandar ini dan kebanyakan dari keturunan India Muslim, Nenek moyang mereka adalah askar Gurkha yang datang sekali dengan tentera British semasa Perang British-Burma. Dikatakan ada 4 masjid di pusat bandar dan lebih dari 10 di luar bandar.
Sebenarnya ini bukanlah lawatan pertama saya ke sini. Semasa posting/bekerja di Yangon dulu saya pernah beberapa kali singgah di Dawei semasa transit dari offshore dan buat projek CSR dengan penduduk tempatan sekitar Dawei. Pada masa itu saya sempat melawat tempat menarik di sekitar Dawei antaranya Pantai Maungmagan dan Laung Lone. Baca kisah ini di link ini http://bumisepi.com/?p=340
Sesungguhnya ramai umat Islam di Myanmar tetapi kehidupan mereka tertindas dari semua sudut — contohnya, pergerakan mereka terbatas sebab ada yang tiada IC atau passport, prasarana untuk mendidik anak/cucu mereka dengan ilmu agama Islam sangat daif, identiti dan syiar Islam terpaksa di sembunyikan utk mengelakkan diskriminasi oleh kerajaan Myanmar yang anti-Islam.
Mereka memerlukan bantuan kewangan dan moral dari umat Islam di Malaysia yang hartawan dan dermawan. Hubungi saya di abuadam2006@gmail.com atau FB bumisepi untuk sumbangan dan pertanyaan lain.
END OF POST
Suhaire Sulaiman
Nice berkah, ado REJEKI nok poi ziarah SITURAHMI, BISA BANTU, ALFAQIR DARI PAROI NESIMILAN DARUL KHUSUS MALAYSIA
abuadam
InsyaAllah bisa Pak. Hidup hanya sementara.
Hajah Norsenah
Assalamualaikum
Ingin tahu jika menghantar melalui post sumbangan buku, pakaian dan bahan lain dapatkah d terima d masjid orang melayu di kampong selatan myanmar?
abuadam
Waalaikumussalam. hajjah perlu hubungi local contact di sana utk barang2 keperluan semasa yg diperlukan. hajjah perlu fikir juga kos logistik penghantaran. terbaik ialah projek ekonomi jangka masa panjang. haritu mereka perlu kilang ais utk simpan ikan sebab kebanyakan mereka nelayan. kami cuba cari dana di malaysia tetapi gagal.