life is short. do first thing first.

Day: May 11, 2017

3 hari 2 malam di belantara (Pos Betau, Pos Lenjang, Pos Titom) – Bhg 2

Bhg 2: Pos Titom

Jika jalan dari Pos Betau ke Pos Lenjang memeningkan kepala dan perut first-timers, jalan ke Pos Titom adalah heaven. Ianya jalan diturap simen, jauh lebih baik dari pre-mixed atau tar. Walaupun begitu jalannya sempit dan curam dan gaung di kiri dan kanan.

Sebelum sampai di Pos Titom terdapat sebatang sungai yang merentasi laluan jalan simen, Sungai cetek tetapi cukup lebar dan airnya agak laju membentuk jeram. Sangat sesuai untuk mandi dan berendam menghilang stress selepas sehari suntuk memandu. Peserta mula  membina khemah masing-masing di tepi sungai namun aku dan Hj Halim hanya tidur dalam Pajero. Satu sebab kami tidak pasang khemah ialah sebab hujan lebat. Dari dashboard Pajeroku, suhu di luar turun ke 18C. Memang sejuk. Cuma cakap tak keluar asap (wap air) lagi hehe.

Kami bermalam di anak sungai ini yang terletak di jalan menuju ke Pos Titom.

Malam itu pengisian di khemah urusetia ialah solat jamak maghrib dan isyak berjemaah diikuti oleh tazkirah oleh Ustaz Zarif dari Kuala Kangsar. Sesi takruf bermula. Ukhwah terbina di kalangan peserta dari pelbagai latar belakang. Ada profesional. Ada pegawai polis. Ada budak U. Ada pensyarah. Ada yang bawa keluarga. Ada yang bujang di hutan, tinggal keluarga di bandar. Macam dia tu lah…

Makan malam ialah lebihan makan tengahari tadi di Pos Lenjang yang boleh diambil dari khemah urusetia. Nak masak sendiri pun boleh. Aku lihat ramai peserta masak sendiri di khemah masing-masing.  Biasalah masak di hutan. Kalau tidak mee segera, sardinlah jawabnya. Makan dalam hujan pulak tu. Pengalaman unik. Bonding time utk ahli keluarga atau sesama peserta.

Esok pagi, selesai solat Subuh berjemaah dan sarapan sendiri-sendiri, kami membersihkan tapak perkhemahan dan menuju ke Pos Titom, lebih kurang 1 km dari sungai kami bermalam.  Sebelum bergerak sempat lagi mandi di sungai itu tapi ini jauh ke hulu sedikit. Airnya sejuk sampai ke tulang hitam. Penuh dengan ion-ion negatif, kata Pak Kordi, walaupun tak nampak oleh mata kasar. Sambil mandi berborak dengan Abang Ali Murad, Ustaz Zarif dan lain-lain. Ustaz Zarif bercerita tentang kampungnya di Kual Kangsar yang indah permai. Pak Kiyai ketua rombongan sibuk dengan keluarganya. Tak sempat nak ber networking dengannya.

Jalan ke pos Titom curam tetapi cantik.

Simpang ke Pos Titom

Setibanya di Pos Titom, penduduk sudah menunggu. Satu team sudah bergerak awal pagi lagi ke sini untuk setup sukaneka dengan anak anak orang asli. Ternampak betul kesungguhan mereka mengambil bahagian walaupun dalam acara sukaneka. Mencari gula-gula dalam tepung. Meniup belon sampai pecah. Baling belon berisi air kepada pasangan masing-masing. Wow seronok betul.

Penonton sukaneka yang tak layak ambil bahagian

Penonton sukaneka dengan tiket grandstand.

Mujahid turut serta dalam ekspedisi ini. Ya Allah terimalah amalan kami.

Pertandingan mencari gula-gula dalam tepong menggunakan mulut. Kesian budak budak ni.

Amtara sukarelawan yang menganjurkan sukaneka.

Satu team lagi bergerak dari rumah ke rumah dengan kenderaan 4×4 memberi sumbangan barang keperluan asas ke setiap rumah ditemani dengan seorang tempatan. Terimakasih kepada sekelian penderma di mana saja anda berada. Semoga amalan diterima dan rezeki anda lebih murah.

Satu team membawa sumbangan makanan asas ke setiap rumah di Pos Titom.

Pakaian / permainan terpakai yang kami kumpul dari orang-orang kaya (berbanding orang asli) di Lembah Klang kami offload ke meja besar yang disediakan di bawah bangsal. Kaum ibu dan anak anak datang memilih apa yang berkenan di hati dan membawa pulang. Ada yang pakai baju baru di situ terus.

Team masak relaks habis di Pos Titom sebab kami tidak merancang makan tengahari di sini.

Dalam perjalanan keluar dari Pos Titom, kami singgah sebentar di  jeram kami bermalam untuk bergambar kumpulan. Sampah sarap yang tertinggal dikutip dan dicampak ke atas powil urusetia untuk dibawa keluar. Tempat perkhemahan dibersihkan. Kebersihan sebahagian dari iman. Jumpa lagi Pos Titom. Namamu yang unik tidak akan dilupakan. Tahukah anda apa itu Titom? Hahaha aku lupa nak tanya Tok Batin. Kena gi lagi ni…

Selepas belok ke kiri di persimpangan Pos Titom / Pos Lenjang kami singgah sebentar di Kg Duyuk. Terdapat sebuah surau baru di sini. Ada beberapa NGO Islam yang aktif di sini berdasarkan signboard yang ada di sini.

Surau Kg Duyuk. Mungkin program akan datang Amal 4×4 boleh dibuat di sini.

 

NGO bukan Islam pon aktif di kawasan ini. Kami terserempak dengan beberapa kenderaan 4×4 dan lori membawa peralatan mengajar seperti white boards, meja dan kerusi. Mungkin untuk gereja atau apa.

NGO bukan Islam juga aktif di kawasan ini.

Kami terserempak dengan NGO bukan Islam semasa keluar dari Pos Lenjang.

Ada jalan pintas dari Pos Titom ke pekan Ringlet tanpa melalui Pos Betau. Tetapi terpaksa melalui sebatang sungai yang agak luas dan air deras. Inilah masa yang dinantikan setiap pemandu powil. Apalagi redah je lagi.  Hujan malam tadi menyebabkan paras air meningkat mendadak.

Jalan pintas dari Pos Lenjang ke pekan Ringlet terpaksa meredah sungai.

Alhamdulillah semua powil berjaya melepasinya. Selepas sungai itu ada satu lagi perkampungan orang asli. Kami berhenti sekejap untuk mengeringkan powil kami sambil shopping. Abang Ali borong petai. Hasil hutan yg lain juga ada seperti tongkat ali, cendawan susu harimau, dll.

Abang Ali memborong petai segar. Cuba teka berapa harganya?

 

Selepas shopping spree kami berkumpul sebelum masuk ke jalan besar untuk sesi debriefing.

Hj Halim bergambar dengan sukarelawan dan budak U di empangan hidro eletrik Jelai.

Debriefing session dalam hujan.

Hujan mulai turun dalam perjalanan balik ke Ringlet.

Perserta berkumpul untuk sesi debriefing.

Empangan hidro eletrik Ulu Jelai dalam pembinaan.

Kami meneruskan perjalanan. Dari Ringlet terus turun ke Tapah. Selepas solat dan makan malam kami naik PLUS terus balik ke KL.

 

NOTA: Selepas trip ini, ada satu lagi trip ke Pos Lenjang anjuran Kelab AMAL 4×4 tetapi aku tidak ikut serta. Trip akan datang ialah sempena Ramadhan 2,3,4 Julai 2017. Berminat nak ikut serta? Like FB Kelab Amal 4×4 Malaysia.

3 hari 2 malam di belantara (Pos Betau, Pos Lenjang, Pos Titom) – Bhg 1

NOTA:

Catatan ini  mengenai program ziarah dakwah ke perkampungan orang asli di Kuala Lipis pada  bulan November 2016, anjuran AMAL 4×4, sebuah NGO Islam yang mana aku adalah ahlinya. Kami melawat Pos Betau, Pos Lenjang, Pos Titom di Kuala Lipis, Pahang. Catatan ini dipecahkan kpd 2 bahagian.

Part 1: KL – Ringlet – Pos Betau – Pos Lenjang

Kami bergerak dari port Amal 4×4 di Paya Jaras Sungai Buloh 10 malam  dengan 7 buah kenderaan pacuan 4 roda. 5 buah kenderaan lagi menunggu di Tol Rawang dan 7 buah lagi menanti di Tol Tapah.

Dari Tapah kami menuju ke Ringlet Cameron Highland. Jarak 60km itu seolah-olah 120 km kerana jalan berliku umpama ular dipalu. Kami diselimuti kegelapan malam (amboi bersastera pulak aku …) dari semua sudut  — kiri dan kanan dan atas dan bawah. Drebar saat itu ialah Haji Halim. Dia yang memandu menghayati sunyi dan gelap malam. Aku selaku co-pilot dan 2 orang penumpang di belakang di ayun mimpi indah. Aku dah tune Kool FM sejak dari KL lagi untuk menemani sepanjang perjalanan ini. Siaran itu hilang bilamana mendaki ke Ringlet diganti oleh Klasik FM. Apa pun tak kisah, asalkan keluar bunyi dari speaker Pajeroku membunuh rasa mengantuk. Bila semua siaran tak dapat dikesan, aku cucuk pendrive yang aku dah upload dengan pelbagai lagu dalam dan luar negara dan ayat-ayat Quran ke dalam port USB dalam keretaku.

Kami sampai di Ringlet jam 3 pagi dan bermalam di Masjid Annur. Kawasan parking kereta masjid itu agak sempit sebab terletak di puncak bukit dan jalan naik agak curam melalui kawasan perumahan. Cuaca sejuk menjunam turun sehingga 18 C dari 28 C semasa kami di Tapah.

Masjid Annur di pekan Ringlet, Cameron Highland.

Kami tidur sekejap di masjid itu sementara menanti azan Subuh berkumandang. Selesai solat Subuh ada satu kumpulan menyediakan sarapan dari bonet belakang Ford Ranger dan kami pun tumpang sekali. Roti dengan sardin dan kaya dan kopi panas 3 dalam 1.  Satu kumpulan budak U yang ikut serta sempat goreng mee dan masak nasi lemak menggunakan kemudahan dapur masjid. Apalagi tumpang sekakilah jawabnya. Bukan saja kami yang tumpang, yang lain pun serupa saja.

Antara 4×4 yang ikut serta

Aku dan pekan Ringlet di background. Sejuk tak gilerr.

Memunggah barang sumbangan di Masjid Annur di pekan Ringlet

Beratur untuk bergerak ke Pos Betau dari pekan Ringlet

Lebih kurang 20 kereta pacuan roda memenuhi ruang parking masjid pagi itu. Bukan semuanya dari KL / Selangor. Ada yang dari Ipoh dan utara.

Selepas sarapan dan mengisi petrol di stesen Shell berdekatan  kami berangkat ke Pos Betau. Pemanduan atas jalan bertar dari pekan Ringlet menuju ke Sungai Koyan sejauh 60 km adalah perjalanan biasa tanpa thrill  langsung. Pos Betau memang berdekatan dengan jalan utama Sg Koyan – Ringlet, rumah mereka pun tiada banyak beza dengan rumah orang Melayu di kampung pendalaman. Terdapat sebuah surau dibina kerajaan di sini. Surau Al Falah. Mengikut seorang penduduk Islam di sini (Maaf nama tak ingat walaupun dia ada sebut) aktiviti surau termasuk solat berjemaah lima waktu tak berapa nak hidup. Surau pun tidak dijaga sempurna. Tandas rosak. Rumput panjang. Ustaz yang ditugaskan KOA pun jarang datang.

Hj Halim memasuki Surau Al Falah yang tidak berapa berjaya, tidak seperti namanya – Al Falah.

Pelajar universiti tempatan diberi tugasan di Pos Betau, Kuala Lipis.

Sebuah rumah di Pos Betau, Kuala Lipis

Meninggalkan Pos Betau menuju Pos Lenjang ikut jalan dalam.

Di Pos Betau, pelajar UPM dan DRB Hicom University yang kami tolong angkut dengan powil kami menjalankan bancian dari rumah ke rumah. Aku difahamkan depa buat survey pasal pendidikan di kalangan masyarakat orang asli. DRB Hicom university? Mungkin hangpa tak pernah dengar nama universiti ni. Dimaafkan. Sebab aku pun tak pernah dengar hehe. Sebabnya universiti ini baru ditubuhkan. Nama penuhnya university automotif. Terletak di Shah Alam. Misinya melahirkan tenaga kerja terlatih untuk industri automotif tanah air iaitu Malaysiaku yang tercinta. Wow patriotiknya aku harini. (BTW jangan lupa turun BERSIH5.0 pada 19 November ni. Iklan sikit hehe.)

OK back to the trip. Tersasul sekejap tadi.

Dari Pos Betau kami ikut jalan dalam menuju Pos Lenjang. Jalan mashaallah macam naik kuda. 80% jalan tanah merah serselut. Naik bukit turun bukit. Kalau diamati sebahagian stretch memang jalan bertar yang sangat nipis yang mudah berlubang terutamanya bila hari hujan. Terpaksa membrek bila masuk lopak air sebab tak tahu kedalaman lopak. Kalau cetek OKlah. Ada yang dalam meyebabkan kereta senget dan tidak stabil. Aku terpaksa engage gear four-wheel demi keselamatan. Gear 4H sudah mencukupi utk terrain seperti ini. Pendakian pun tak securam mana.

3 jam kemudian kami sampai ke Pos Lenjang. Letih dan lesu. Dan lapar. Semua ada. Alhamdulillah tiada kereta yang tersangkut.

Team memasak diketuai Abang Bun dan Chor memulakan tugasan mereka di dewan sebelah padang bola. Menu hari ini ialah sup daging lembu dengan air asam dihidang bersama nasi panas. Aku melihat mereka menyediakan air asam. Tomato dan cili merah dihiris nipis kemudian digaul dengan kerisik, belacan, kicap dan garam. Bila dicicah dengan daging rebus, wow seperti dunia ana yang punya!!! Tapi sayang daging lembu agak liat. Kalau dibiar atas api setengah jam lagi, perfect!!! Tapi dalam keadaan begini — lapar dan tak banyak pilihan – semuanya bereh boh.  Di padang bola, pertandingan bolasepak antara kampung atau pos sedang berjalan, bermula dengan bola sepak wanita. Hujan renyai renyai mula turun dan semakin lebat. WAlaupun hujan turun, kami terpaksa mengangkat air dalam baldi untuk tujuan memasak dari anak sungai berhampiran. Tiada air paip dalam dewan itu, walaupun paip ada.

Kebetulan ada pertandingan bolasepak penduduk kampung pada hari ketibaan kami di Pos Lenjang.

Menu tengahari kami ialah air asam dan sup daging dimakan dengan nasi putih. Dap dap dap, kata Zara.

Budak perempuan sama naik dengan budak lelaki main bola sepak di Pos Lenjang.

Makanan untuk orang kampung kami bungkus dalam plastik dan mereka beratur untuk mengambilnya. Setiap set makanan mereka mengandungi nasi putih, sup daging dan air asam. Nasi tidak dicampur dengan sup dan air asam. Habis hampir 200 pek makanan tengahari diedarkan. Untung bisnes hari ini hehe. Memang betul makanan dan sukan alat perpaduan. Macam itulah menu kami bila masuk kampung orang asli. Satu menu utama, satu sayur dan nasi putih. Semasa di Pos Tuel GuaMusang awal tahun ini, Abang Bun masak kari ayam dengan ubi kentang. Rahsia makan sedap (bukan masak sedap) ialah makan bila lapar dan makanan itu sedikit. Insyallah memang sedap dan licin. Makanan seperti itu memang mewah untuk orang asli yang rata rata makan ubi kayu rebus ganti nasi jika kehabisan beras. Diet mereka memang sihat sebab banyak fiber. Diet ala palaeolithic gitu.. Macam cavemen di zaman batu. Orang bandarlah seperti kami yang merosakkan gaya hidup anak anak mereka dengan memperkenalkan mee segera, Coke, kicap dan jajan dalam diet mereka. Sebab itu warga emas di kalangan mereka masih nampak muda, kuat dan sihat berbanding orang pencen di KL.

Hujan mula turun. Permainan bolasepak liga pos-pos sekitar terus berlangsung dalam hujan. Budak budak lelaki dan perempuan sama naik.  Lepas makan dan berkemas kami bergerak ke Pos Titom dan akan bermalam di tepi sungai di sana.

Tunggu posting berikutnya. Part 2 coming soon.

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén