life is short. do first thing first.

Tag: masjid Page 3 of 8

Mencari Melayu dan masjid di selatan Myanmar / Malay and mosques in southern Myanmar – Kawthoung. Myeik. Dawei.

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah Februari 2019 saya dan beberapa orang sahabat mengembara secara backpacking ke selatan Myanmar. Antara bandar di lawati ialah Kawthoung, Bokpyin, Myeik dan Dawei. Misi kami ialah menjejaki umat Melayu di kawasan pantai Myanmar Selatan menghadap Lautan Andaman.

Kami memasuki Myanmar melalui sempadan selatan negara tersebut. Dari Ranong (Thailand) kami naik bot merentasi sempadan antarabangsa ke bandar Kawthoung di Myanmar. Dari Kawthoung (atau Pulau Dua dalam bahasa Melayu), kami menyewa van menuju ke utara ke Bokpyin, Myeik (atau Mergui) dan Dawei (nama lama Tavoy).

Sepanjang kembara ini, aku sempat merakam beberapa masjid yang kami singgah sepanjang perjalanan dan sempat berjumpa masyarakat tempatan.

Masjid di sekitar pekan Kawthoung

Dimaklumkan terdapat beberapa buah masjid yang besar di dalam kawasan bandar ini.  Kawthoung ialah sebuah bandar yang besar di tepi pantai. Bayangkan ianya seperti Phuket di Thailand minus kemudahan untuk pelancong luar. Di luar bandar, terdapat satu perkampungan penduduk Melayu di Kampong Sepuluh Batu (dinamakan begitu sebab ianya terletak 10 batu dari pusat bandar Kawthoung, di sepanjang jalan utama menuju ke utara). Dalam Google Maps kampung ini ditulis sebagai Kg Tengah. Beberapa kilometer dari sini terdapat sebuah lagi perkampungan Melayu yang diberi nama Kg Tanjung Badak. Di sini terdapat madrasah / pondok dan masjid sebagai keperluan umat Islam di sini. Keadaan sangat daif berbanding di Malaysia dan mereka amat memerlukan bantuan saudara mereka yang kaya raya di Malaysia.

Madrasah dan pondok-pondok pelajar gama di kampong Tanjung Badak di Kawthoung,Myanmar.

Bersedia untuk solat Zuhur di Masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar.

Pengusung jenazah di Masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar.

Ruang solat yang agak selesa di masjid kampong Tanjung Badak di Kawthoung, selatan Myanmar.

Pandangan dari depan Masjid Kampong Tanjung Badak di Kawthoung, Myanmar. Terdapat sebuah kuburan di sebelah kanan masjid (tak kelihatan dalam gambar)

Madrasah di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Tulisan jawi digunakan sebagai medium belajar agama di sini, Ustaz import tu!!

Antara pelajar-pelajar Melayu di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Kebanyakan dari mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu pelat Kedah/Perlis.

Antara pelajar-pelajar Melayu di Kampong Sepuluh Batu di Kawthoung, Myanmar. Mereka hadir di sekolah agama selepas kembali dari sekolah kerajaan di sebelah pagi. Terdapat 2 orang guru di sini yang terpaksa mengajar beberapa kelas berbagai tahap. Kelas-kelas dipisahkan oleh papan hitam sahaja.

Masjid di pekan Bokpyin

Bokpyin ialah sebuah pekan kecil di selatan Myanmar dalam negeri Tanintharyi. Negeri ini juga dikenali sebagai Tanah Sari dalam Bahasa Melayu. Kisah negeri ini pernah dirakam dalam senuah filem arahan P Ramlee di mana seorang pendekar datang dari negeri yang jauh yang disebut Tanah Seri.

Terdapat sebuah masjid yang agak besar di tengah pekan Bokpyin. Berhadapan masjid ini terdapat sebuah madrasah. Kebanyakan orang Islam di sini ialah Indian Muslim. Keluarga Melayu pun ada, tapi tak ramai.

Kawasan perkampungan Melayu di Bokpyin mustahil dicari kalau berpandukan petunjuk di internet semata-mata. Tiada sebarang indikasi akan tempat ini dalam Google Maps. Anda memerlukan guide tempatan untuk sampai ke tempat ini. Kawasan ini juga off-limit kepada pelancong mungkin disebabkan mereka adalah Muslim. Kerajaan Myanmar ketika ini di bawah tekanan antarabangsa dalam cara mereka menangani isu Rohingya. Kaum Melayu menduduki kawasan ladang dan pesisir pantai Lautan Andaman (lihat peta) dan tersorok. Dari simpang jalan utama kami terpaksa melalui jalan tanah merah dan berbukit ke Kg Ulu. Jalan dari Kg Ulu ke Kg Tanjung dan Kg Cedin (mungkin ejaan Cedin tidak tepat atau ditulis dg ejaan lain – penulis) hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan 4×4.

Deretan kedai di pekan Bokpyin, Myanmar.

Masjid utama di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.

Madrasah atau kelas mengaji ugama dan Quran di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.

Masjid di Bokpyin, selatan Myanmar. Bokpyin terletak 5-6 jam perjalanan darat dari Kawthoung, bandar sempadan dengan Thailand.

Pemandangan ruang solat di masjid utama, di pekan Bokpyin, selatan Myanmar.

Masjid-masjid di perkampungan Melayu dekat Bokpyin

20-30km ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah simpang ke kiri menuju perkampungan Melayu. Nama kampung-kampung di sini  adalah nama-nama Melayu seperti Kg Ulu, Kg Tanjung, Kg Cedin dan lain-lain. Mereka menetap kawasan tepi pantai di pesisir Lautan Andaman. Dari simpang di jalan utama Bokpyin ke Myeik, kami terpaksa meredah jalan tanah merah dan berbukit melalui ladang getah dan kelapa sawit untuk sampai ke sini. Mujurlah musim kering ketika itu (Februari 2019). Jalan tidak licin tetapi sangat berdebu. Kampung Melayu pertama kami jumpa ialah Kg Ulu. Selepas Kg Ulu, jalan semakin teruk hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal sahaja. Kg Tanjung dan Kg Cedin hampir 10 km dari Kg Ulu dan mengambil masa 30-40 minit kerana keadaan jalan yang berlubang dan berbukit.

Laluan dan jalan ke kawasan ini sangat remote hinggakan Google Maps pon tak dapat kesan. (setakat posting ini ditulis). Kami bernasib baik ada sahabat dari kampung Tanjung turun menjemput kami di jeti Kawthoung. Sebaik saja bot yang membawa kami dari Ranong tiba di jeti Kawthoung mereka sudah sedia menunggu dengan memakai kain pelikat (loungyi dalam Bahasa Myanmar). Merekalah yang menjadi tour guide kami sepanjang di kawasan misteri ini. Jazakallahu khairan kpd Yusuf, Talib dan Yusuf seorang lagi dari Kampung Tanjung di Bokpyin, Myanmar.

Masjid di Kg Ulu, Bokpyin, selatan Myanmar. Jalan tanah merah di sebelah kanan ialah jalan menuju ke Kg Tanjung dan Kg Cedin. Orang Melayu di sini mengerjakan sawah padi, tanam getah dan buah pinang. Kelihatan ketua kampung Hj Ali sedang mengambil gambar.

Ruang solat di dalam masjid Kg Ulum di Bokpyin, Myanmar. Kelihatan Hj Zainal mengurut kaki yang lengoh lantaran perjalanan yg jauh.

Masjid usang di Kg Cedin, Bokpin, Myanmar. Masjid ini masih digunakan hingga saat ini dan terletak di pesisir pantai Laut Andaman yang airnya semakin surut. Zahirmya sangat daif tetapi inilah rumah Allah, tempat yang paling mulia di muka bumi, kalau kita mengetahui.

Bahagian serambi Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar. Sea-view yang cantik dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Ruang solat dalam Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar.

Bahagian serambi Masjid Kg Cedin di Bokpyin, selatan Myanmar.

Hj Taib, imam tua di masjid Kg Cedin, Myanmar bercerita sejarah kerabat Sultan Abd Hamid, Sultan Kedah di zaman itu yang datang untuk berdakwah dan berniaga ke wilayah Tanintharyi di selatan Myanmar. Kuburan lama di atas bukit ini adalah buktinya.

Perkuburan lama di atas bukit di Kg Chedin di Bokpyin. Myanmar. Dikatakan kepunyaan kerabat Sultan Abd Hamid, Sultan Kedah pd waktu itu.

Kuburan itu terletak di puncak bukit yang curam.

Masjid lama di Kg Tanjung, Status surau sekarang. Dibina pd tahun 1950?

Masjid lama di Kg Tanjung, Status surau sekarang. Dibina pd tahun 1950?

Sebuah surau di Kg Darat dekat Kg Tanjung, di Bokpyan, Myanmar

Myeik (atau Mergui atau Mareik)

3-4 jam memandu ke utara pekan Bokpyin, terdapat sebuah bandar tepi pantai yang cantik. Kebanyakan pelancong luar datang ke sini sebab pantai dan pulau-pulau yang indah dan belum tercemar. Tempat ini seumpama Langkawi atau Karabi dan Phuket di Thailand. Terdapat ramai masyarakat Islam di sini dari keturunan Melayu dan India Muslim.

Kami singgah utk solat Subuh di masjid ini, berdekatan pekan Myeik. Terdapat madrasah tahfiz di sebelah masjid ini. Dan sebuah kedai makan Islam di simpang jalan masuk ke masjid dari jalan utama Bokpyin-Myeik.

Sebuah masjid di pekan Myeik. Ada beberapa masjid di pekan Myeik, Cuba google “masjid in myeik”. Ramai Muslims di pekan ini.

Dawei (nama lama: Tavoy)

4 hingga 5 jam memandu ke utara pekan Myeik, kami sampai ke Dawei, sebuah bandar perdagangan yang penting dan besar di bahagian Thanintaryi, selatan Myanmar. Di zaman penjajahan British di Mynmar, Dawei dikenali sebagai Tavoy. Ramai masyarakat Islam di bandar ini dan kebanyakan dari keturunan India Muslim, Nenek moyang mereka adalah askar Gurkha yang datang sekali dengan tentera British semasa Perang British-Burma. Dikatakan ada 4 masjid di pusat bandar dan lebih dari 10 di luar bandar.

Ruang solat Masjid Kaka. Bersama AJK Masjid Kaka. Mereka sangat gembira org Malaysia datang ziarah. Tapi sayang kami dok leh dok lamo.

Ustaz Faizal sedang mengambil di masjid Kaka, Dawei. Kolahnya rendah dan sangat selesa.

Masjid Jamek Sunni, masjid terbesar di pekan Dawei, Myanmar. Sedang diubahsai semasa kami sampai (Feb 2019). Mehrab kayu yang diukir dan karpet baru. Di pintu masuk terdapat banyak warung makanan halal.

Bersama makmum kecil di Masjid Jamek Sunni di pekan Dawei, Myanmar.

Sebenarnya ini bukanlah lawatan pertama saya ke sini. Semasa posting/bekerja di Yangon dulu saya pernah beberapa kali singgah di Dawei semasa transit dari offshore dan buat projek CSR dengan penduduk tempatan sekitar Dawei. Pada masa itu saya sempat melawat tempat menarik di sekitar Dawei antaranya Pantai Maungmagan dan Laung Lone. Baca kisah ini di link ini http://bumisepi.com/?p=340

Sesungguhnya ramai umat Islam di Myanmar tetapi kehidupan mereka tertindas dari semua sudut — contohnya, pergerakan mereka terbatas sebab ada yang tiada IC atau passport, prasarana untuk mendidik anak/cucu mereka dengan ilmu agama Islam sangat daif, identiti dan syiar Islam terpaksa di sembunyikan utk mengelakkan diskriminasi oleh kerajaan Myanmar yang anti-Islam.

Mereka memerlukan bantuan kewangan dan moral dari umat Islam di Malaysia yang hartawan dan dermawan. Hubungi saya di abuadam2006@gmail.com atau FB bumisepi  untuk sumbangan dan pertanyaan lain.

END OF POST

 

Masjid Mukim Sungai Peria, Kuala Krai, KELANTAN

Assalamualaikum.

Jumpa lagi.

Kali ini aku nak cerita pasal sebuah masjid di antara pekan Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Masjid ini tersergam gah di sebelah kanan laluan tersebut jika kita datang dari arah Kuala Krai.

Sangat selesa utk musafir singgah sebab ruang solat yg luas. Begitu juga parkir dan bilik air. Ada wakaf dan gerai makanan ringan di tepi jalan besar.

Masjid mukim Telok Kemang Port Dickson

Assalamualaikum semua pengikut blog ini.

Jumpa lagi.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang masjid ini yg sempat saya singgah utk solat Jumaat pada 28 September 2018 semasa berkunjung ke rumah Zara di PD.

Masjid ini terletak di Batu 6 (lebih kurang, atau lebih ?) sepanjang jalan pantai dari pekan Port Dickson menuju Melaka. Dari pekan PD, masjid ini terletak di sebelah kiri jalan utama, naik ke atas bukit sedikit. Kubahnya dapat dilihat dari jalan utama.

Ruang solat dan parkir yg luas memberi keselesaan kpd musafir utk singgah utk solat dan berehat.

Mencari masjid dan makanan halal di Amsterdam / Mosque and halal food in Amsterdam

Kembara ini membawa aku ke Amsterdam di negara Belanda, juga dikenali sebagai Holland atau Netherlands. Orang Belanda dipanggil Dutch. Seingat aku masa belajar sejarah di sekolah menengah, Belanda pernah menyerang Melaka dan menakluki Tanah Melayu dari tahun 1641 sampailah …. (maap tak ingat)  dan selepas itu British mengambil alih. Sebelum Belanda, Portugis menyerang Melaka pada tahu 1511 di ketuai oleh Alfonso de Albuquerque.

Keunikan Amsterdam terusan-terusannya (canals). Sangat bersih dan sangat hidup dengan aktiviti. Ada penduduk Amsterdam tinggal dalam  rumah atas bot yang ditambat ke tebing terusan.

Seperti London dan Paris, Amsterdam juga mempunyai komuniti Islam yang besar. Pelancong yang mahu berjalan jalan di Eropah selalunya melawat 3 kota tersohor ini. Mungkin 4 kota, jika dicampur Brussel. Jarak antara kota-kota ini tidaklah terlalu jauh, boleh naik bas atau tren saja. Kami menaiki bas Eurolines dari stesen bas Victoria di London, menuju ke Paris dan seterusnya menuju ke Amsterdam.  Memang satu pengalaman yang menarik menaiki bas menyeberangi English Channel. Masa pergi Paris bas naik feri. Masa balik ke London bas naik tren yang melalui terowong bawah laut yang terkenal itu (Chunnel). Insyallah kalau aku rajin, akan ada posting mengenai pengalaman ini.

MASJID

Posting ini mengenai sebuah masjid di Amsterdam yang sempat aku singgah pada bulan Februari 2017. Masjid Al Fatih namanya.

Ini adalah pintu masuk ke masjid Fatih di Amsterdam.

Masjid Fatih tidak jauh dari Anne Frank House yang menjadi tumpuan pelancong di kota Amsterdam. Imej menunjukkan pelancong berbaris untuk membeli tiket melawat Anne Grank House. Siapakah Anne Frank ini, tanyalah En Google.

Masjid ini terletak di jalan utama yang dilewati tram. Aku menaiki tram dari Amsterdam Centraal untuk sampai ke sini, mengambil masa 15-20 minit dengan tram. Tram merupakan sistem pengangkutan awam di Amsterdam sangat convenient dan murah. Tram berkongsi jalan yang sama dengan kereta dan bas. Tetapi aku lihat penduduk Amsterdam memang suka menaiki basikal, lelaki dan perempuan, tua dan muda. Ada laluan khas untuk basikal.

Rata-rata jemaah masjid ini adalah orang-orang Turki.

Tram di kota Amsterdam. Penduduknya berbasikal di lorong basikal yang disediakan. Bangunan belakang ialah Madame Tussaud.

MAKANAN HALAL

Terdapat sebuah restoran halal di sebelah masjid. Juga ada sebuah lagi di seberang jalan, kebanyakannya menjual kebab, shawarma, grill dan makanan Timur Tengah.

Semasa berjalan menuju Amsterdam Sentraal untuk menaiki tren ke Amsterdam Arena (tempat kami menginap), aku singgah di dataran berhadapan Madame Tussauds, melihat dan merakam gelagat manusia yang bergambar dan memberi burung makan, kebanyakannya pelancong. Cuaca yang sejuk 2-3 Celcius diiringi angin kutub menyebabkan aku tak tahan lama duduk di kawasan terbuka. Aku berlari masuk ke muzium Ripley sebab tak tahan sejuk. Aku tak beli tiket masuk jadi aku berlegar di tingkat bawah saja. Di sini gratis. Di hadapan muzium di seberang jalan ini ada Nationaal Monument dan sebuah pusat membeli belah yang vogue iaitu  de Bijenkorf. Jalan ke depan sikit (dari muzium Ripley’s, aku singgah di sebuah makanan segera halal, Wok To Go. Ada logo halal di kaunter pesanan. Jalan depan lagi aku terjumpa Wok To Walk.

Incredible Hulk di muzium Ripley.

Restoran halal wok to go berdekatan Madame Tussauds di Amsterdam

Ada satu lagi restoran halal yang kami singgah yang berdekatan hotel aku menginap di Amsterdam Arena. Restoran ini menjual masakan Indonesia yang agak pedas. Tempe, tauhu, kacang panjang goreng dan sambal goreng dan lain lain. Lihat gambar di bawah. Sebenarnya pengaruh Indonesia terutamanya dalam bidang masakan memang kelihatan di Belanda. Maklumlah Indonesia adalah bekas jajahan Belanda.

Wow sedapnya. Lama tak rasa sambal pedas. Syahirah dan sepupunya Nadirah sedang menikmati hidangan di Amsterdam Arena.

Mencari masjid di Paris / Mosque in Paris

Seperti London, Paris ialah pusat tumpuan umat Islam di Eropah. Terdapat puluhan mungkin ratusan masjid termasuk musolla dan pusat Islam (Islamic center) di kota Paris. Jika di London ada Oxford Street di Paris ada Champs de Elysees, sebatang jalanraya yang wajib singgah jika anda mengembara ke Paris.

Salah satu rumah Allah yang terbesar ialah Masjid Grand (Grande Mosquee de Paris). Masjid ini agak hampir dengan Notre Dame Cathedral, satu lagi tempat tarikan pelancong di Paris.

Aku ke kota ini awal tahun 2017, dan sempat singgah di masjid ini buat kali ke 2. Kali pertama 2014.

Bagaimana untuk sampai ke masjid ini?

Ambil metro line 7 dan turun di stesen Place Monge. Dari stesen ini aku berjalan kaki 10 minit ke masjid ini. Lihat peta di bawah. Sistem metro Paris agak kompleks sebab terlalu banyak laluan.

Masjid ini sangat besar, berdiri megah di simpang jalan. Terdapat sebuah taman dengan fountain di luarnya dan sebuah dataran di dalam kompleks masjid. Oleh kerana aku sampai di musim sejuk, tiada banyak aktiviti di luar bangunan. Aku yakin kalau tiba musim panas tempat ini akan hidup dengan aktiviti. Tempat wuduk dan tandas terletak di basement dan agak jauh dari solat. Kemudahan untuk muslimat disediakan berasingan.

Dewan solat yang elegant dengan karpet tebal

Sebuah taman dengan fountain di dalam kompleks Grand Mosque, Paris

Dataran atau piazza dengan fountain di dalam Grand Mosque, Paris

Di seberang jalan terdapat sebuah taman bunga awam yang dikenali sebagai Jardin des Plantes. Malangnya di musim sejuk semua bunga dah mati. Kalau datang musim bunga atau panas pemandangan tentu cantik dengan bunga-bungaan berbagai warna.

Terdapat sebuah taman botani berhadapan masjid

Taman botani Jardin des Plantes di Paris

Syiar Islam megah berdiri di kota Paris

Muzium botani Jardin des Plantes, Paris

 

Page 3 of 8

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén