life is short. do first thing first.

Author: abuadam Page 15 of 64

Cara daftar Pertubuhan / NGO dengan ROS / JPPM — pengalaman saya semasa PKP.

NOTE: ARTIKEL INI DIKEMASKINI PADA OGOS 2021.

Salam PKP dan salam Jumaat. Ya .. Hari saya mula tulis posting ini ialah hari Jumaat 29 Januari 2021. Hari publish? Haha ikut saya lah. Insyaallah tak lama lagi kot. Bila siap saya publish lah. Semoga artikel ini berguna untuk semua.

Projek nak daftar NGO ini adalah projek yang sepatutnya sudah lama siap. Ini KPI saya tahun 2019 yang tak tercapai.

Kalau nak daftar syarikat, kita pergi SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Kalau kita nak daftar pertubuhan atau kelab, kita pergi JPPM (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) atau lebih glamor dengan akronim ROS (Registration of Societies Malaysia).

Disebabkan PKP semua traksaksi dijalankan secara dalam talian (online). Jadi ROS buat sistem e-ROS untuk memudahkan urusan pendaftaran ini. Hanya Setiausaha pertubuhan yang dibenarkan membuat permohonan baru.

Berikut saya nak kongsi pengalaman mendaftar pertubuhan atau persatuan atau kelab di musim PKP baru-baru ini.

Pilih nama NGO dan alamat pejabat

Nama NGO mestilah unik iaitu belum ada yang daftar nama tersebut. S/U boleh periksa dalam sistem e-ROS.

Nama mestilah dalam Bahasa Melayu dan diikuti oleh Bahasa Inggeris dalam kurungan, kalau ada. Ini adalah sebab permohonan kami ditolak kali pertama.

Alamat pejabat persatuan sangat penting kerana ia menentukan ROS negeri manakah yang akan memproses permohonan anda. Jika alamat NGO di Batu Caves, ROS Selangor di Shah Alam yang akan memproses permohonan ini.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian pada peringkat ini.

Negeri pertubuhan. Ia merujuk kepada negeri di mana alamat pejabat atau tempat urusan pertubuhan tersebut.

Taraf pertubuhan. Ini agak mengelirukan kalau S/U tak berhati-hati. Ingat S/U sahaja yang dibenarkan buat permohonan dalam e-ROS. So pastikan S/U anda seorang yang celik IT.

Taraf pertubuhan menentukan komposisi AJK. Maksudnya kalau taraf pertubuhan ialah negeri, maka setiap AJK mesti menetap dari negeri yang sama dengan negeri pertubuhan, Kalau negeri pertubuhan ialah Sarawak, maknanya semua AJK mesti dari negeri Sarawak. Maksudnya alamat dalam K/P AJK mestilah alamat di negeri tersebut.

Kalau taraf pertubuhan ialah kebangsaan, maka setiap AJK mesti datang dari 7 negeri yang berbeza. Jadi, sebelum nak lantik kawan baik anda jadi AJK dalam pertubuhan periksa dulu alamat dia dalam K/P.

Kesimpulannya planning is everything!

TIP: Bagaimana jika pertubuhan yang anda nak daftar ini hanyalah sebuah persatuan penduduk taman perumahan yang mana AJK-AJKnya memang menetap di taman perumahan tersebut tetapi alamat dalam K/P di negeri2 lain?

Dalam kes ini (mengikut seorang pembaca blog ini yang menghubungi ROS Perlis), anda boleh nyatakan taraf pertubuhan ialah NEGERI, Sebab pertama ialah pertubuhan ini tiada cawangan di negeri lain dan sebab kedua ialah semua AJK tinggal di negeri yang sama.

Bagi alamat berurusan dan surat-menyurat dalam kes ini, boleh letak alamat rumah pengerusi atau S/U dan tidak memerlukan alamat pejabat sebab pertubuhan adalah persatuan penduduk. Jika pengerusi bertukar pada masa akan datang, boleh update alamat baru selepas dipersetujui dalam AGM atau mesyuarat agong tahunan seterusnya semasa lantikan yang baru.

Terima kasih kpd Sdr Helmi Rashid yang berkongsi tip ini.

Berhati-hati mengenai taraf pertubuhan. Ia menentukan komposisi AJK yang akan dibentuk

Pilih format perlembagaan (dan sudah tentu, deraf isi perlembagaan)

Dalam e-ROS, saya kena pilih format perlembagaan untuk pertubuhan yang saya nak daftar. Perlembagaan ada 2 jenis dalam sistem e-ROS. Perlembagaan format sendiri atau perlembagaan format ROS. Contoh-contoh disediakan oleh ROS dan boleh didownload secara percuma.

TIP: Semasa Setiausaha mengisi borang online, pastikan apa yang ditulis atas skrin komputer sama dengan info dalam perlembagaan. Contohnya jika ada jawatan Penolong Bendahari dalam perlembagaan, jawatan yang sama juga mesti dicipta dalam sistem on-line. Setiap fasa dalam dalam perlembagaan mesti di copy/paste ke dalam sistem online.

Perlembagaan ialah undang-undang pertubuhan. Ia adalah garis panduan bagaimana pertubuhan beroperasi.

Pilih AJK penaja dan lantik Setiausaha dan jawatan2 lain

Bilangan minimum AJK ialah 7 orang. Yang wajib ada ialah Pengerusi, S/U, Bendahari dan AJK. Anda boleh tambah jawatan seperti Timbalan Pengerusi, Penolong S/U, Penolong Bendahari, jika perlu.

Pastikan nama jawatan dan bilangan jawatan sama seperti dalam perlembagaan pertubuhan. Periksa perlembagaan dahulu, sebab perlembagan ada format tertentu berkaitan dengan jawatan2 yang perlu diwujudkan.

Deraf lambang, bendera dan lencana pertubuhan anda.

Lambang menunjukkan identiti kepada pertubuhan. Keep it simple. Setiap warna dan bentuk membawa makna tertentu dan perlu diberi penjelasan. Cuba google dalam internet contoh-contoh lambang NGO.

Lambang, bendera dan lencana mesti diupload ke dalam e-ROS kemudian oleh S/U. Saiz imej perlu cukup besar dengan resolusi yang betul.

Contoh logo atau lambang NGO yang simple

Buat mesyuarat AJK penaja (guna applikasi zoom di musim PKP)

Di musim PKP mesyuarat fizikal tidak dibenarkan kerana melanggar SOP. Kami membuat mesyuarat atas talian menggunakan applikasi ZOOM.

Selepas mesyuarat, S/U tulis minit dan dapatkan kelulusan Pengerusi di atas setiap muka surat. Antara agenda mesyuarat ialah perlantikan AJK pertubuhan, nama dan alamat pertubuhan dan perlembagaan. Satu lagi perkara yang perlu dibincang dan dapat persetujuan dalam mesyuarat AJK Penaja ialah di mana nak buka akaun bank. Seperti minit mesyuarat yang lain, catitkan senarai kehadiran, tarikh, masa dan lokasi mesyuarat. Untuk lokasi mesyuarat, S/U tulislah mesyuarat dibuat secara online via app ZOOM (atau apa-apa apps yang digunakan).

S/U akan daftar akaun e-ROS untuk akses sistem e-ROS

Jika S/U belum ada akaun e-ROS, dia kena cipta akaun e-ROS. S/U sangat kritikal utk step ini. Ikut arahan atas skrin komputer. Pautan e-ROS di sini https://www.eroses.gov.my/ros.php

S/U isi borang permohonan online sekali dengan dokumen.

Pengalaman saya — langkah ini mengambil masa yang agak lama sebab maklumat pertubuhan seperti butiran AJK mesti di key-in dalam sistem. Perlembagaan yang ada 17 atau 18 fasa kesemuanya perlu dimasukkan dalam sistem.

Lambang, logo, lencana pertubuhan perlu diupload ke dalam sistem.

S/U buat bayaran permohonan

Bayaran proses permohonan ialah RM 30. Jika permohonan ditolak, kena bayar RM 30 lagi untuk permohonan baru. Jika ditolak lagi, kena bayar lagi. Jika Pendaftar Pertubuhan rasa kesilapan sikit sahaja, dia boleh saja minta kita buat pembetulan dalam sistem e-ROS dan hantar semula (tanpa caj).

Simpan resit pembayaran dlm bentuk softcopy pdf fomat.

S/U hantar permohonan online

Semak sekali atau dua kali atau tiga kali lagi selepas semua info dimasukkan dalam sistem e-ROS. Selepas yakin tiada lagi kesilapan, tekan butang HANTAR.

Tunggu jawapan dalam email samada lulus, ditolak atau perlu pembetulan.

Jika DITOLAK — Hantar permohonan baru (jika masih berminat)

Jika DILULUS — Alhamdulillah.

Jika perlu pembetulan / penjelasan — buat pembetulan dalam e-ROS dan SIMPAN

Jawapan akan dimaklumkan melalui e-mail dalam masa satu atau dua minggu selepas hantar (pengalaman saya dengan ROS Selangor).

Walaupun semua urusan permohonan dan kelulusan berlaku secara dalam talian, anda kena juga pergi ke pejabat ROS in person sekurang-kurangnya sekali untuk membuat carian rasmi. Maksud carian rasmi di sini ialah untuk mendapat dokumen-dokumen yang disahkan oleh ROS secara hard-copy. Dokumen-dokumen yang perlu dapat pengesahan ialah sijil pendaftaran, perlembagaan pertubuhan dan senarai AJK. Untuk buka akaun bank pertubuhan (selepas diluluskan), bank perlukan salinan dokumen2 tersebut disahkan dan dicop oleh Pendaftar Pertubuhan. Pengalaman saya dengan ROS Wilayah Persekutuan KL — perlu buat temujanji terlebih dahulu melalui email. No walk-in.

Buka akaun bank

Membuka akaun bank untuk pertubuhan memang mencabar. Terutamanya di musim PKP di mana waktu perbankan dipendekkan dan ramai staf bekerja dari rumah.

Hubungan baik dengan banker adalah kunci untuk mana-mana bisnes. Terima kasih kepada pegawai bank Bank Islam yang banyak membantu.

Lawatan ke bank tak cukup sekali. Kena pi banyak kali.. hehehe. Tapi tak jadi masalah utk saya. Saya memang suka pi bank. Selain masjid, bank membawa ketenangan kpd saya. Satu kali tu, kena saman dengan MPAJ sebab parking bukan ditempat parking. Padan muka saya. Dikompaun RM20 selepas bayar pakai app Flexi Parking.

Pengalaman saya dengan Bank Islam spt di bawah.

Pertama nak dapatkan info dan ambik borang.

Kedua nak serahkan borang dan dokumen yang diperlukan, termasuklah sijil pendaftaran pertubuhan, perlembagaan dan senarai AJK (kesemua dokumen ini mestilah disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan). Satu lagi dokumen yang diperlukan oleh bank ialah minit mesyuarat AJK Penaja yang bersetuju untuk AJK membuka akaun bank, siapa penandatangan cek, bank apa, dan cawangan mana. Maklumat dalam minit mesti sama dengan. Jangan pulak mesyurat setuju nak buka akaun di Bank Islam tetapi isi borang permohonan di bank Hong Leong. Atau mesyurat setuju nak buka akaun di Bank Islam cawangan Taman Melawati tetapi isi borang permohonan di Bank Islam cawangan Sri Gombak. Contoh saja…

Satu lagi yang penting — bank memerlukan chop bulat (rubber stamp) untuk tujuan stamping di atas borang permohonan buka akaun bank. Chop bulat ini perlu ada info nama pertubuhan dan nombor pendaftaran pertubuhan. Chop bulat ini boleh ditempah di mana-mana kedai stationery atau kedai printing kad, banner, dll. Selalunya siap dalam masa satu atau 2 hari (kalau area KL lah). Beli sekali stamp pad berwarna hitam.

Ketiga nak serahkan borang dan dokumen yang tertinggal. Step ini optional.

Keempat serahan terakhir borang dan dokumen yang lengkap. Selepas ini tunggulah pegawai bank telefon samada diluluskan atau perlukan info lain. Pengalaman saya dengan Bank Islam — pegawai bank menelefon saya beberapa kali utk dapat maklumat tambahan. Akhirnya diluluskan juga.

Kelima nak dapatkan spesimen tandatangan dan thumbprint penandatangan cek (biasanya Pengerusi, S/U, Bendahari). Mereka tak perlu datang serentak ke bank. Untuk Bank Islam, mereka kena bawa K/P dan lesen memandu. Bank lain pun sama kot.

Bank sangat berhati-hati bila ada orang nak buka akaun pertubuhan atau kelab, disebabkan pertubuhan boleh mengutip dana dari orang awam untuk menjalankan aktivitinya. Bank Islam, dalam kes kami ini, akan bertanya beberapa soalan seperti sumber kewangan pertubuhan, harta alih dan tak alih pertubuhan, anggaran wang masuk dan wang keluar. Ini adalah sebahagian dari prosedur enhanced due diligence mereka. Dalam keadaan ekonomi sekarang, banyak scammers dan risiko money laundering meningkat, prosedur buka akaun bank sangat ketat.

Saya nak mention satu perkara di sini.

Bank Islam ada satu produk e-Banker untuk urusan transaksi secara on-line untuk syarikat dan pertubuhan. Semua transaksi seperti balance enquiry, fund transfer — biasa, inter-bank. instant transfer — dan lain-lain transaksi, semua boleh dibuat online. Tahap sekuriti pon OK. Kerani syarikat atau pertubuhan akan buat data entry di dalam sistem e-Banker, kelulusan akan dilakukan oleh pegawai pertubuhan seperti Pengerusi. Kelulusan dibuat di dalam sistem yang sama menggunakan ID dan password yang berbeza, menggunakan token yang disediakan oleh pihak Bank.

e-banker login page. Bendahari, S/U, Pengerusi akan diberi ID dan password berbeza.
ENTRUST tokens diguna untuk meluluskan transaksi secara online oleh S/U dan Pengerusi. Setiap orang dapat satu token. Approval codes akan dihantar ke token ini — samalah seperti TAC dihantar ke phone semasa kita buat transaksi online banking. Approval code diperlukan untuk meluluskan mana-mana transaksi online.

Ciri-ciri sistem e-banker memang banyak dan berguna kpd pertubuhan atau NGO dalam menguruskan kewangan mereka. Anda boleh buat pertanyaan dengan pegawai bank mengenai produk e-Banker ini. Highly recommended!

Saya rasa setakat ini dulu untuk posting kali ini. Semoga perkongsian ini bermanafaat utk semua. Kalau ada apa-apa yang boleh saya bantu tinggalkan feedback dalam ruangan comment di bawah atau email abuadam2006@gmail.com. Insya Allah saya akan jawab.

END

Bila Izrail datang memanggil..

Innalillahi wainna ilaihirajiun. Allahummaghfirlahu warhamhu.

Hari Khamis lepas jiran saya meninggal dunia. Umurnya baru 45 tahun. Anak 4 orang dari 4 tahun hingga 14 tahun.

Pengajaran kpd saya — Rupanya dunia bukan tempat tinggal. Dunia tempat meninggal.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni Sdr Abdul Rahman Abbas, owner Gafoor Mart di PV8 Setapak. Saya sempat solat jenazah di MSAA, tapi tak sempat ikut ke Raudhatussakinah Tmn Ibu Kota, KL.

Yang hidup teruskan beramal. Tiada pilihan lain.

#maut

Road trip merentasi Montenegro (Part V)

Assalamualaikum dan salam PKP kepada semua.

PKP ni banyak hikmah kpd mereka yang positif minda. Boleh menulis. Boleh deraf wasiat dan hibah. Boleh hafal surah-surah yang masa sibuk dulu memang tak mampu. Hanya bila dikurung dalam rumah, duduk diam diam merenung kipas berpusing di siling, baru nampak jalan. Boleh muhasabah diri. Boleh pelan KPI tahun baru 2021. Boleh daftar pertubuhan. Boleh buat macam-macam musim PKP ni.

Ini adalah bahagian ke 5 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan. Posting lepas kita melawat Albania. Minggu ni kita singgah di Montenegro.

Hari ini kita akan melawat Budva dan Kotor, 2 bandar di Montenegro.

Dari Velipoje dan Shkoder bas PUPE meluncur laju menuju sempadan antarabangsa Albania / Montenegro.

Checkpoint di sempadan Albania/Montenegro
Bas berhenti di sebuah R&R sebelum sampai di Budva
Menuju Budva

Sebelum tu sedikit info pasal negara ini.

Negara yang bernama Montenegro ini taklah besar mana. Penduduknya tak sampai satu juta. Kurang dari 700,000 orang. Ibunegara bernama Podgorica. Kami tak singgah di Podgorica sebab tiada dalam jadual. Penduduk Islam sekitar 20% sahaja, Kristian Orthodoks 70%, lain-lain agama 10%.

Negara ini terletak di utara Albania di pinggir Laut Adriatic. Negeri memang cantik disebabkan lanskap mukabuminya yang bergunung-ganang dan pesisir pantai yang berteluk-teluk.

Pelancong yang datang ke Montenegro selalunya akan melawat 2 bandar ini di Montengro: BUDVA dan KOTOR. Tak ramai pelancong pergi ke Podgorica.

BUDVA

Budva, Montenegro terletak di tepi Laut Adriatic.
Pemandangan Sveti Stefan dari atas bas. Sveti Stefan ialah sebuah pulau kecil yang bersambung dengan tanah besar. Banyak hotel mewah yang menjadi tumpuan selebriti di musim panas. Pulau ini ialah private property.

Budva Old Town ialah penempatan terawal di pesisir Laut Adriatic berusia 2500 tahun. Ia adalah rumah-rumah dan kota lama yang dibuat dari batu, terletak di tepi laut. Warna bumbung serupa saja — oren kemerahan. Di sebelah kota lama terdapat marina di mana bot-bot dan perahu layar mewah berlabuh.

Bandar lama Budva — kredit kpd tuan punya gambar, bukan saya tau!

KOTOR YANG BERSIH

Lebih kurang 30 km ke utara Budva ialah pekan Kotor.

Satu lagi bandar yang wajib dilawati semasa di Montenegro ialah KOTOR. Bandar ini terletak di sekeliling Kotor Bay dan merupakan nadi industri pelancongan di Montenegro. Hotel-hotel dan resort percutian terletak di tepi teluk / pantai.

Sebuah kereta rakyah marhaen di Montenegro — Fiat.
Jalan utama menuju Kotor Old Town

Walking tour adalah cara terbaik melawat bandar lama Kotor. Pakai kasut sukan yang selesa dan bawa botol air. Kalau kuat dan ada masa, boleh panjat bukit / kubu San Giovanni di belakang kota lama ini. Dari situ boleh lihat pemandangan menakjubkan keseluruhan tapak bersejarah ini. Bandar purba ini dibina oleh kerajaan Rom dalam bentuk tembok dan dinding batu.

Bandar lama Kotor di Montenegro — kredit kpd tuan punya gambar.

Kami tidak lama di sini. Tempat bersejarah seperti ini tak ramai berminat. Hehe maklumlah orang kita tak suka Sejarah.

Bas bergerak dan singgah di masjid ini untuk solat Zuhur /Asar. Alhamdulillah ada juga masjid di tempat seperti ini. Tiada banyak maklumat mengenai komuniti Muslim di sini. Tiada orang tempatan untuk aku bertanya mengenai tempat ini. Masjid ini ialah sebuah bangunan yang baru siap — tak siap sepenuhnya lagi — berwarna putih.

Masjid ini terletak di tepi jalan.
Masjid berwarna putih di Kotor, Montenegro.

Lepas solat, bas bergerak menuju ke sebuah jeti. Dari sini bas kami naik feri menuju ke destinasi seterusnya di Croatia.

Semasa feri belayar menyeberangi Kotor Bay, pemandangan indah sekali dengan udara sejuk menyapa pipi dan rumah-rumah di tepi pantai yang berbalam-balam di kejauhan.

Selamat tinggal pekan Kotor yang bersih… Umur panjang jumpa lagi.

2 hari 1 malam di ALBANIA (Part IV)

Ini adalah bahagian ke 4 dalam siri kembara ke negara-negara Balkan.

Bas bergerak dari bandar tepi tasik Ohrid di Macedonia menuju ke Tirana, ibu kota Albania. Jarak perjalanan lebih kurang 140 km. Kami terpaksa merentas sempadan antarabangsa Macedonia / Albania.

Sempadan antarabangsa Macedonia – Albania
Pemeriksaan imigresen di sempadan Macedonia – Albania
Bas pelancong di hadapan kami
Teksi-teksi di Albania hampir semuanya jenis Mercedes Benz. Mengapa MB popular di Albania? Nanti saya tanya pemandu pelancong Willy.
Welcome to Albania !!!

Albania? Saya rasa sayalah orang pertama dari Taman Melati yang pernah sampai ke negara ini. Jom kita belajar sejarah sikit.

Albania ialah sebuah negara di Balkan. Penduduknya tak ramai sekitar 3 juta saja di mana hampir 60% adalah Muslim aliran Sunni. Ibu negaranya ialah Tirana. Negara ini pernah di bawah pemerintahan Komunis begitu lama sejak 1944 di mana semua agama termasuk Islam ditindas. Agamawan dipenjarakan. Komunisma dan atheist menjadi ideologi rasmi kerajaaan dan dipaksakan kepada seluruh rakyat jelata.

Albania antara negara termiskin di benua Eropah. Sebaik menyeberangi sempadan memasuki Albania, kita akan perasan keadaan jalanraya yang berlubang sana sini dan kurang terjaga. Bukan itu saja. Kita juga tak dapat lari dari tak perasan yang kereta paling popular di atas jalan raya Albania ialah Mercedes Benz. Dikatakan 80% kereta di Albania ialah Mercedez — teksi, kereta polis, bas sekolah, lori , semuanya Merc. Dikatakan juga lebih banyak Merc di Albania dari di Germany.

Mengikut Mr Willy sebab utamanya ialah kereta Mercedez tahan lasak — paling sesuai dengan keadaan jalan di Albania. Sebab no. 2 ialah spare parts mudah dapat. Sebab no. 3 berkaitan dengan sejarah negara ini semasa di bawah pemerintahan komunisme.

Sepanjang perjalanan ke Tirana, kami melihat dari dalam bas kehidupan rakyat Albania. Bas berhenti di sebuah R&R dan terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak terbiar. Negara ini ketinggalan jauh dari semua aspek berbanding Malaysia, akibat kesan peperangan dan sistem ekonomi socialist.

Kesan-kesan pemerintahan komunisma sangat ketara. Masjid dan surau sunyi sepi ditinggalkan. Makanan halal susah dicari. Amalan Islam adalah hak individu.

TIRANA

Setibanya di pusat bandar Tirana, hari sudah tengahari. Kami pergi mengisi perut dulu di sebuah restoran Turki. Lepas makan baru solat. Ada sebuah masjid 10 minit dari restoran itu.

Lepas itu baru jalan-jalan melihat bangunan-bangunan dan tempat tarikan pelancong di dalam bandar Tirana. Kami singgah di pasar buah-buahan — murah dan segar.

Antara bangunan bersejarah di pusat bandar Tirana yang kami lawati secara touch & go (sebab masa yang terhad) ialah Piramid, Skanderberg Square, City Hall dan Masjid Hadji Et’hem Bey.

Sedikit mengenai Masjid Hadji Et’hem Bey.

Masjid ini siap dibina pada tahun 1821 oleh pemerintah Othmaniyyah. Ianya ditutup semasa pemerintahan komunisma dan dibuka semula pada tahun 1991. Masjid ini berdekatan dengan bangunan City Hall. Semasa lawatan kami ke sini pada tahun 2019, masjid ini sedang diubahsuai dan ditutup sementara (Lihat gambar).

Masjid Hadji Et’hem Bey. Semasa lawatan kami ke sini pada tahun 2019, masjid ini sedang diubahsuai dan ditutup sementara.

Kami tidak bermalam di Tirana. Mengikut itinerari kami akan bermalam di Velipoje, 30 km dari Shkoder. Velipoje ialah sebuah bandar resort di tepi pantai Laut Adriatic. Sebelum sampai ke Velipoje bas berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Tirana untuk pick-up bagasi Dr Rodzi yang tersangkut semasa stop-over di Doha tempohari. Bagasi yang sepatutnya tiba di Sofia bersama penumpang, tidak muncul=muncul di lapangan terbang Sofia.

Bas singgah di LTA Tirana, Albania dalam perjalanan ke Velipoje
LTA Tirana, Albania

Destinasi kami di Velipoje ialah Grand Europa Resort Waterworld di Velipoje. Ketika itu, pembinaan hotel baru siap dan akan dibuka sepenuhnya pada musim panas akan datang. Kawasan hotel sangat luas dan kamilah satu-satunya tetamu pada malam itu. Lepas check-in ramai yang turun ke pantai yang jaraknya 200m dari hotel untuk mengambil angin dan menghirup udara segar Laut Adriatic sebelum malam tiba. Kalau ikut peta negara-negara Balkan, negara Italy terletak hanya disebelah sana pantai Velipoje ini. Italy dan Albania dipisahkan oleh Laut Adriatic.

Malam itu semua tidor lena macam batang kayu disebabkan letih travel atas bas.

Kesokkannya selepas sarapan, terus check-out dari hotel. Bas bergerak ke utara menuju sempadan Montenegro melalui bandar Shkoder

SHKODER

Sedikit info mengenai Shkoder.

Shkoder atau nama lamanya Scodra terletak 100 km ke utara Tirana. Perjalanan dari Tirana dengan bas mengambil masa agak lama sebab jalan separuh highway separuh sebaliknya.

Shkoder ialah antara bandar tertua di Balkan dan kaya dengan sejarah.

Shkoder menjadi bandar penting di zaman Kerajaan Turki Othmaniyyah. Bandar ini pernah dijajah oleh Sultan Mehmet the Conqurer pada tahun 1478 selepas ditentang hebat oleh tentera-tentera Venetian.

SHEIKH ALBANI DARI SHKODER ALBANIA

Satu lagi perkata menarik mengenai Shkoder ialah ianya adalah seorang ulamak besar hadith dan fikah aliran salafi iaitu Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani atau lebih popular dengan nama kunyahnya Albani.

Kepada penuntut dan pengkaji ilmu hadith seluruh dunia, Albani adalah tokoh yang popular. Kitab-kitabnya menjadi rujukan. Antaranya Silsilah al-Ahadits as-Shahihah dan Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah, koleksi hadith-hadith sahih dan palsu. Sisi pandang dan kaedahnya dalam mengklasifikasi hadith kadang kala dipertikaikan.

Beliau lahir di pekan ini pada tahun 1914 dalam keluarga miskin. Ibubapanya membawa Albani berpindah ke Syria ketika itu di mana perang dunia pertama bermula.

Di Syria dia pernah dipenjara oleh rejim Al Assad kerana lantang menyampaikan risalah Islam dan anti-Syiah. Beliau kemudian mengajar di Universiti Madinah di Arab Saudi dan kembali ke Syria selepas itu. Dia banyak menulis buku-buku yang agak kontroversi.

Beliau wafat pada tahun 1999 di Amman, Jordan.

Itulah sedikit kisah Sheikh Albani yang dilahirkan di Shkoder, Albania, bandar yang sedang aku ziarahi ini. Cerita lanjut ulama besar ini boleh dicari dalam internet.

Kita kembali ke kembara Balkan ini.

Kita sambung kisah kembara Balkan ini di posting akan datang.

Bahagian ke 5: Menyeberangi sempadan Albania – Montenegro.

Kuburan Bukit Jawa di Selising Kelantan

Kuburan ini terletak di jalan menuju ke Kedai Menanti dari jalan utama Pasir Puteh – Kota Bharu di pekan Selising.

Suasana aman damai dengan background yg cantik
Batu nisan hanyalah sekadar batu sungai tak bertanda. Inilah sunnah Nabi.

Page 15 of 64

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén