Soalan ini timbul sebab GOOGLE MAPS tiada maklumat ini.
Anda boleh google “MOSQUE IN BOKPYIN” tetapi jawapannya hanya beberapa masjid di pekan Bokpin sahaja. Lebih ramai masyarakat Melayu yang tinggal di luar kawasan pekan iaitu di pesisir pantai dan pulau-pulau di utara pekan Bokpyin yang mana lokasi mereka tersorok dari jalan utama oleh ladang2 getah dan kebun2 pinang, hutan dan bukit-bukau. Tetapi mereka wujud dan hidup bermasyarakat, berkeluarga, ada madrasah dan sekolah ugama. Mereka berpakaian cara Melayu, bercakap bahasa Melayu, makan makanan Melayu, berugama Islam tetapi kehidupan mereka sengaja disembunyikan dan dipinggirkan oleh kerajaan Burma yang anti-Islam.
Bokpyin ialah sebuah pekan kecil di selatan Myanmar dalam negeri Tanintharyi. Negeri ini juga dikenali sebagai Tanah Sari dalam Bahasa Melayu. Kisah negeri ini pernah dirakam dalam senuah filem arahan P Ramlee di mana seorang pendekar datang dari negeri yang jauh yang disebut Tanah Seri.
Kawasan perkampungan Melayu di Bokpyin mustahil dicari kalau berpandukan petunjuk di internet semata-mata. Tiada sebarang indikasi akan tempat ini dalam Google Maps. Anda memerlukan guide tempatan untuk sampai ke tempat ini. Kawasan ini juga off-limit kepada pelancong mungkin disebabkan mereka adalah Muslim. Kerajaan Myanmar ketika ini di bawah tekanan antarabangsa dalam cara mereka menangani isu Rohingya. Kaum Melayu menduduki kawasan ladang dan pesisir pantai Lautan Andaman (lihat peta) dan tersorok. Dari simpang jalan utama kami terpaksa melalui jalan tanah merah dan berbukit ke Kg Ulu. Jalan dari Kg Ulu ke Kg Tanjung dan Kg Cedin (mungkin ejaan Cedin tidak tepat atau ditulis dg ejaan lain – penulis) hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan 4×4.
Saya sempat membuat lakaran di bawah semasa ziarah mereka pada bulan April 2019. Selain dari papan tanda jalan (road sign) mengenai pekan Bokpyin, tiada papan tanda jalan yang kami jumpai sebagai clue utk sampai ke kampung-kampung Melayu ini. Kalau tiada local guide, memang tak akan sampai kami ke sini. Terima kasih kpd saudara Yusuf Pinang dan Yusuf Kontraktor dan Taleb yang membantu memudahkan perjalanan kami. Insyallah kami akan kembali.