Sudah banyak blog dan laman web yang menceritakan pasal keindahan Taman Negara Simalajau dekat Bintulu di Sarawak. Jadi dalam posting ini, saya tidak bercadang menulis dengan terperinci kecuali secara ringkas dan foto-foto menarik, juga petua-petua melalui beberapa trail jika anda berminat untuk jungle trekking. Kita menggunakan BM kali ini — bahasa jiwa bangsa. Saya ke sini pada bulan November 2012.
Beberapa insiden kemalangan dan orang hilang juga pernah didengar dan dibualkan oleh orang tempatan. Betul tu, tempat ini agak keras apatah lagi agak terpencil dari jalan utama Bintulu-Miri. Nak tahu cerita-cerita misteri mengenai tempat ini, tanyalah pekerja di sini di waktu santai mereka. Jika ditanya secara rasmi atau semasa waktu kerja — semua baik-baik belaka. Jika ditanya kepada staf ABF dan MLNG di Bintulu yang pernah membuat teambuilding di sini, cerita mereka pun boleh tahan jugak. Saya tidak bercadang mengupas isu itu di sini kerana blog ini bukanlah majalah Mestika.
Kami tiba ke sini dari Miri melalui jalan pantai Miri-Bintulu pada hari Sabtu 15 November 2012. Sebelum anda sampai Bintulu (Tanjung Kidurong), ada sebuah papan tanda menunjukkan simpang ke kanan menuju ke Taman Negara Simalajau. Walaupun hari Sabtu, pusat khidmat pelanggan Taman Negara dibuka. Di sini, anda boleh membeli pas sekali masuk (single entry pass) dengan harga RM10 untuk seorang dewasa dan RM3 untuk seorang kanak-kanak berusia 6-18 tahun. Keratan tiket perlu disimpan dan mesti ditunjuk jika diminta oleh pegawai Taman. Dewan, kafetaria, chalet dan fasiliti lain terletak di belakang pusat khidmat pelanggan ini. Jika anda ingin bermalam, buat tempahan dan bayaran di pusat khidmat pelanggan ini. Terdapat banyak tempat penginapan berbagai saiz di sini — hostel, chalet kembar dua chalet VIP semuanya ada. Boleh pilih samada nak kipas atau penghawa dingin. Harga sangat berpatutan. Tempahan awal digalakkan, tetapi semasa kami ke sini, bilik banyak kosong.
Tempat ini memang menarik. Satu bahagian anda melihat chalet dan hostel menghadap pantai berpasir halus dengan latarbelakang Laut China Selatan. Satu lagi bahagian ialah hutan tebal menghala ke kawasan pergunungan. Pejabat Taman Negara dan kawasan riadah awam terletak di tengah-tengah. Terdapat sebuah sungai dengan jambatan gantung yang membahagikan kawasan pamtai dan kawasan hutan. Banyak aktiviti teambuilding dan hari keluarga termasuk BBQ boleh dilakukan di pantai. Tempat ini memang bersih kerana tak ramai pengunjung. Itu ironiknya — lagi terpencil dan jauh dari manusia, lagi bersih sesuatu tempat itu. Quran menyebut manusialah penyebab rosaknya muka bumi ini.
Untuk pencinta alam semulajadi dan jungle trekkers, terdapat beberapa trail di sini. Jarak perjalanan juga berbeza. Trail paling pendek ialah Education Trail, khas kpd pelajar sekolah (bukan pelajar pun boleh juga) yang mana jaraknya 600m. Trail Viewpoint sekitar 1000 meter sahaja (satu hala). Paling jauh ialah Trail Golden Beach iaitu 10km.
Jika anda kesuntukan masa atau tidak mempunyai kudrat tetapi masih berminat untuk jungle trekking, cobalah trails yang paling hampir dengan pejabat taman negara ini. Antaranya ialah View Point Trail, Circular Trail atau Education Trail. Setiap trail diberi kod warna. Contohnya, trail utama berwarna merah, education trail berwarna hijau, view point trail berwarna jalur putih dan merah, dan sebagainya. Sepanjang trail anda dapat melihat pokok-pokok ditanda dengan warna masing-masing supaya tidak akan sesat. Setiap trail akan bermula di penghujung jambatan gantung.