31 OGOS, 2010:
Hari keramat ini tahun ini jatuh di bulan Ramadhan. Sambutan di peringkat Negeri Sarawak diadakan di stadium tertutup Miri tetapi aku tidak pergi. Malas campur tiada kawan. Kalau ada kawan yang ajak, mungkin aku pergi, kerana jiwa patriotik anti-penjajah yang sentiasa hadir dalam diri. Selepas solat Subuh di Masjid Piasau Jaya, Ustaz Nassru menyampaikan kuliah Subuh. AKu pernah jumpa dengannya beberapa hari lalu selepas diperkenalkan oleh seorang taulan semasa masjis Nuzul Quran di Masjid atTaqwa, Miri. Beliau seorang guru sekolah kerajaan yang mengajar di Miri, asalnya dari Terengganu. DI majlis yang sama bukan saja aku jumpa Ustaz Nassru ini, malahan bersalaman dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dato Taib Mahmud, Ketua Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia moden — 29 tahun, sejak 1981 — orangnya kecil dan kurus tetapi nampak karismatik. Bila dia sampai depan masjid dengan pengawal dan pengiring, rakyat Sarawak berlumba-lumba menghulur tangan dan menyambut dan mencium tangannya. Rasa hormat masih kelihatan kepada pemimpin yang menghampiri usia senja ini.
Seperti mana-mana pemimpin yang terlalu lama berkuasa, peribadi beliau agak kontroversi, seperti di link ini http://sarawakreport.org/2010/02/howtaibhasrobbedsarrawak/. Selebih dari itu — no comment.
Agak tersasar saya ini. Kembali kepad Ustaz Nassru.
Antara mesej kuliah Ustaz Nassru, beliau menyingkap bagaimana Islam memerdekakan umat Melayu di Asia Tenggara ini dari fahaman animisme dan musyrik. Dari nama-nama seperti Cempaka, Melati, Melor, Bawal, Bugil, Jerai, Jebat, Kasturi, nama-nama umat Melayu bertukar ke Abdullah, Ibrahim, Hashim, Aisyah dan seumpamanya. HAri-hari berubah menjadi Ahad, Isnin, Selasa dan sebagainya. Perkataan harian kita menjadi kertas, adil, aman, salam, masjid, sihir, umur dan banyak lagi perkataan yang asalnya dari BAhasa Arab. Negeri-negeri kita menjadi Darul Aman, Darul Iman, Darul Ehsan, dan sebagainya. menjadi Dan yang pentingnya dari menyembah pohon pokok, busut anai-anai, bintang dan binatang, umat Melayu mengesakan Allah yang satu. Itulah nikmat terbesar — iman dan Islam.
Pengaruh Islam kepada umat Melayu sangat besar. Kalau tidak ada pendagang dan pendakwah Islam yang menyampaikan dakwah kepada nenek moyang kita dahulu kala, mungkin kita masih lagi bernama pokok, bunga dan haiwan. Jadi peranan kita mempertahan dan menyebarkan risalah ini kepada generasi akan datang sampai hari Qiamat.