petikan dari buku “DIARI MAKKAH” karya Abu Naim.

 

ZIARAH MADINAH (dari mukasurat: 74)

 

Dari kejauhan sudah nampak Bukit Uhud berdiri megah dihadapan kami. Di depannya terdapat pula Bukit Rumat yang agak rendah. Bila sampai, bas kami pun masuk perkarangan letak kenderaan yang agak jauh daripada tempat tumpuan orang iaitu sekitar Bukit Rumat. Mak kata mak nak tunggu saja kat situ dengan kawan-kawan mak sebab nak pergi ke situ agak jauh. Tepi tu ada masjid. Jadi aku pun pergilah ke tempat tumpuan orang iaitu kawasan makam syuhada’. Kami ramai-ramai ikut ustaz tadi. Ustaz ni bagi aku buku doa dan hailer untuk aku ketuai bacaan doa untuk para syuhada’. Kami berkumpul depan tempat maqam, aku dan ustaz tu paling depan. Aku pun bacalah doa, sambil mereka lain ikut.

 

Doa tu sebut kesejahteraan untuk semua syuhada’ Uhud khususnya untuk Saidina Hamzah, Mus’ab bin Umair dan sebagainya. Lepas baca doa tu, aku pergi seorang diri ke depan pagar maqam. Aku menyelitkan diri dicelah-celah orang ramai (kebanyakannya wanita India/Paksitan) dan sampailah depan pagarnya. Kat sini ada satu palang dan dalamnya tu ada 2 orang penjaga maqam dok berdiri disitu. Aku tanya polis ni (dalam bahasa Arab) boleh tak ambil gambar, salah seorang daripadanya kata okay. Aku tanya tu sebab ditakuti tak boleh ambil, sebab kat Mekah/Madinah, mengambil gambar dikebanyakan tempat adalah amat dilarang sekali. Tapi kat sini boleh pula. Aku pun ambillah gambar dicelah-celah pagar tu. Gambar tu sepatutnya akan nampak satu tanah lapang dan di tengahnya ada dua longgokan batu yang memanjang. Satu adalah kubur Saidina Hamzah dan disebelah kirinya pula ialah Mus’ab Bin Umair. Tak jauh antara kubur mereka berdua ni, hanya 2 langkah saja kot. Kubur-kubur lain tak perasan pulak, mungkin ke belakang sikit ataupun tak diletakkan batu atau hanya diletakkan batu kecil saja. Tapi bila dicuci gambarnya tak berapa jelas, mungkin sebab terlalu bercahaya waktu tu.

 

Masa perang Uhud,  Rasulullah menyuruh supaya semua syuhada’ ni dikebumikan kat situ juga. Lebih kurang 70 sahabat syahid pada hari ini. Ada jenazah yang dah dibawa pulang ke Madinah, tapi Rasulullah menyuruh dibawa balik ke Uhud. Nanti dihari kiamat mereka akan dibangkitkan dari situ.

 

Berada di depan maqam syuhada’ ni pasti akan meruntun jiwa kita.  Waktu tu lebih kurang pukul 11 pagi. Cahaya matahari bersinar lembut dengan angin yang bertiup layu. Keadaan ini ditambah dengan kefahaman yang mendalam terhadap apa yang berada di depan mata kini, cukup mensyahdukan diri.Tak tau macam mana nak gambarkan. Aku nampak 2 kubur ini berdiri dalam keadaan yag cukup aman dan tenteram ditengah-tengah padang sambil ditiup angin yang lembut dan pancaran suria pagi. Mata hati  nampak mereka seolah-olah sedang terbaring tidur dengan aman sekali.

 

Mus’ab bin Umair sebelum islam adalah seorang anak manja dari kalangan jutawan Arab Mekah. Dia tampan dan menjadi perhatian wanita arab. Dulu, dia akan memakai pakaian yang paling mahal di Mekah. Minyak wangi yang dipakainya adalah yang terbaik waktu tu sehingga diceritakan kalau dia melalui satu lorong, orang kat belakangnya pasti akan tahu kehadirannya sebab terhidu wangiannya walaupun dia dah lama berlalu dari situ. Namun setelah dia masuk Islam, dia diseksa oleh keluarganya dengan tidak diberikan makan, dikurung dan sebagainya.

 

Sebelum Rasulullah pergi hijrah ke Madinah (setelah perjanjian Aqabah), Rasulullah telah mengantar Mus’ab sebagai duta dan pendakwah ke Madinah terlebih dahulu. Dia (dan seorang sahabat Ansar lagi) telah berdakwah di Madinah sehingga dikatakan tiada rumah pun di Madinah yang tidak dimasuki oleh mereka. Hikmah penghantaran Mus’ab ialah wajahnya yang mirip rupa Rasulullah. Sebab itulah sewaktu dia terbunuh di Uhud, orang kafir sangkakan yang Rasulullah telah terbunuh. Semasa nak mengkafankan jenazahnya (dengan kain yang dipakainya), tiada kain yang cukup untuk menutup keseluruhan tubuhnya. Bila ditarik ke atas, kaki akan nampak, bila ditarik ke bawah, kepala pulak akan nampak.

 

Keadaan ini membuatkan Rasulullah menangis, sedih mengenangkan bahawa dulu semasa di Mekah, Mus’ab amat mewah tapi bila masuk Islam dia tinggalkan semua tu, tidak berpatah balik kebelakang lagi dan terus berjuang sehingga syahid. Rasulullah pun mengarahkan bahagian yang tidak tertutup tu, ditutup dengan daun-daun kayu sahaja. Berakhirlah kisah hidup seorang sahabat hebat Rasulullah dengan penuh kesejahteraan. Betapa mulianya mereka mendapat pengiktirafan Rasulullah dan Allah di dunia dan akhirat. Pengiktirafan terhadap kemuliaan mereka ada disebutkan dalam surah Al-Ahzab. Bila mengenangkan kisah ini semua dan kini telah berdiri di depan jasadnya, masyaAllah, air mata jatuh juga. “Ya Allah, ampunilah kami, masukkan kami ke dalam golongan mereka ini, Amin”.

 

Setelah tu aku pun keluarlah dari tepi maqam tu, kemudian aku minta seorang budak ni ambil gambar aku. Lepas tu aku berlari naik ke puncak Bukit Rumat. Bukit ni taklah tinggi mana sangat sekarang ni. Mengikut catatan sejarah, Bukit Rumat ni dulu agak tinggi, tapi dah jadi rendah akibat aktiviti manusia dan sebagainya (aku ada ambil gambar dari punca bukit ni). Bukit Rumat adalah bukit yang agak rendah daripada Bukit Uhud. Ia terletak betul-betul depan Bukit Uhud. Ditengah-tengahnya adalah kawasan dataran dan disinilah berlaku pertempuran sengit antara tentera Islam dan kafir. Ia hanya batu-batu saja atau bukit batu.

 

Semasa peperangan Uhud, Rasulullah menempatkan di Bukit Rumat ni seramai 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair. Tujuannya ialah menjadi benteng bahagian belakang tentera Islam dan menjaga keselamatan tentera Islam dari atas.  Rasulullah telah berpesan, walau apa pun yang berlaku kat bawah tu, jangan turun sehingga diperintahkan. Bila berada kat atas bukit tu, memang akan nampak jelas dataran tempat berlakunya peperangan dibawahnya. Memang taktik Rasulullah amat bijak sekali. Namun setelah puak kafir dapat dikalahkan, jadi tentera Islam mula mengumpul harta rampasan yang ditinggalkan oleh orang kafir. Pemanah yag berada diatas Bukit Rumat tu pun dah lupa pesan Rasulullah dan turun untuk kutip harta sekali walaupun Abdullah Bin Jubair melarangnya. Seramai 40 orang telah turun, jadi tinggal hanya 10 orang sahaja kat atas tu.

 

Melihatkan keadaan ini Khalid B al-Walid (yang ketika itu masih kafir) yang mengetuai pasukan berkuda pun berpatah kebelakang dan pergi senyap-senyap dari belakang Bukit Rumat ni. Di telah berjaya sampai ke tempat pemanah tadi dan berlakulah pertempuran disitu. Ramai yang terbunuh termasuklah Abdullah bin Jubair. Kemudian mereka terus menyerang tentera Islam di bawahnya. Melihatkan ini, keadaan tentera Islam makin kucar-kacir....dan begitulah seterusnya kisahnya...waktu ni berlaku macam-macam. Antaranya Rasulullah dipukul di pipi, patah gigi, tertusuk besi kedalam pipinya dan sebagainya.

 

Hampir 11 orang sahabat syahid disini, dikeliling Rasulullah ketika mempertahankan Rasulullah disaat genting itu. Ada yang menjadikan dada sebagai perisai didepan Rasulullah, ada yang berdiri didepan Rasulullah dan sebagainya. Lalu tentera Islam berundur ke Bukit Uhud yang berada berhadapan Bukit Rumat. Begitulah rakaman sejarah yang ditulis dengan darah merah para syuhada’ Uhud. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah AliImran, bermula ayat 40. Allah nak bagi pengajaran, didikan dan ilmu kepada pejuang Islam sehingga akhir zaman dengan harga yang mahal iaitu nyawa dan darah Rasulullah dan sahabatnya. Supaya kita mengerti erti keikhlasan, ketabahan dan sunnah dalam perjuangan.

 

Bukit Uhud bagi aku amat sentimental sekali. Sudah puluhan tahun aku mendengar, membaca, mengkaji dan mengikuti sejarahnya, baru kini mampu bersua.

 

Aku duduk kat atas Bukit Rumat mengadap ke Bukit Uhud, iaitu tempat dan bekas jejak sahabat dulu berada. Kat sini aku berdoa lagi. Semoga dapat bersama dan menyambung perjuangan mereka yang telah pergi. Amin.

 

Aku turun dari bukit tu dan pi tengok orang-orang yang dok menjual tepi-tepi tu. Ada seorang ni jual buah kurma nabi, 100Riyal sekilo. Kurma tu memang gred yang terbaik. Dia ada bagi sebiji kat aku untuk rasa. Aku kemudian pergi ke satu kontena yang tertulis ‘hadiah utk jemaah haji’ -dalam bahasa Arab-. Aku tengok ada 2-3 orang dok tunggu tepi kaunter. Aku tengok mereka diberi risalah atau buku kecil. Aku pun pergi kesana dan minta buku-buku dalam bahasa Inggeris.

 

Lepas tu aku pergi semula kat mak yang ketika tu tengah tunggu tepi bas dengan kawan-kawan mak. Kami ambil gambar berlatarbelakangkan Bukit Uhud yang warnanya nampak kuning emas. Waktu tu angin agak kuat, jadi berdebu sikit. Lepas tu kami naik bas dan bertolak. Selamat tinggal Jabal Uhud, selamat tinggal wahai para syuhada’ Uhud, beristirehatlah kalian disana dengan penuh ketenangan. Semoga kita akan berjumpa lagi di alam yang lain.

 

Destinasi kami ialah Masjid Tujuh. Kami bertolak pulang. Kami melalui kawasan flat perumahan dan sebagainya. Katanya Universiti Madinah tak jauh dari sini. Kat Masjid Nabawi aku jumpa pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Madinah. Mereka tinggal berdekatan Bukit Uhud ni lah. Dari situ mereka hanya naik motor saja ke Masjid Nabawi. Maknanya dekat saja antara Bukit Uhud dan Masjid Nabawi serta rumah Rasulullah dulu.

 

Di tengah perjalanan, kat tepi jalan ada satu tebing bukit...  (bersambung)

 

____________________________________________________________________________________________________________

 

Nota: Buku melebihi 100 mukasurat ini akan diterbitkan tidak lama lagi. Penuh dengan pengalaman peribadi penulis, padat dengan foto-foto terkini mengenai tanah suci Makkah/Medinah. Pastikan anda mempunyai panduan ini sebelum berangkat menunaikan umrah dan ziarah.