Masjid Nurul Ehsan di Piasau Jaya, Miri, Sarawak

30 Ogos 2010:

Malam ini aku solat Taraweh di Masjid Nurul Ehsan di Piasau Jaya. Ini sudah kesekian kali aku ke sini untuk solat Isyak, Taraweh dan kadang kadang Fajar, selepas aku pindah ke rumah sewa di Pujut 4, yang mana jaraknya kurang lebih 3 ke 4 km. AKu kira MAsjid ini yang paling dekat dengan rumah sewa aku, yang satu lagi ialah Masjid Lutong. Aku kira masjid ini hasil ilham arkitek minimalist disebabkan rekabentuk yang luas dan lapang lagi ringkas. Tandas jauh ke belakang dalam bangunan yang sama. Ruang makan dan ruang aktiviti terletak di antara tandas dan dewan solat yang melaut. Ruang solat dibahagi dua, untuk muslimat di belakang. Dewan solat bertingkap kaca sliding dengan frem aluminium yang besar dari aras pinggang hingga ke siling. Tingkap yang terbuka luas membolehkan angin malam bertiup ke dalam  dewan. DItambah lagi dengan banyaknya kipas angin di siling dan di dinding dan di lantai (standing fans), kesemuanya menjadikan solat taraweh lebih kyusuk (ye ke?) di masjid ini. Tempat parking kereta yang luas terletak di sekeliling masjid. Ramai penduduk Islam di sekitar kawasan perumahan Piasau Jaya ini.

Masjid Nurul Ehsan, antara masjid terbesar di Miri yang dikelilingi oleh taman-taman perumahan penduduk Islam.

 Pertama kali solah Taraweh di Sarawak, ada beberapa kelainan solat Taraweh di sini jika dibanding dengan di Semenanjung atau di Yangon, Myanmar.

Azan dimulai dengan Auzubillahiminishaitonirrajim, bismillahirrahmanirrahim dan selawat dengan nyaring, senyaring azan itu sendiri, barulah diikuti dengan kalimah azan biasa. Sepatutnya 3 kalimah sebelum azan itu dibaca dalam hati oleh muazzin, tak perlu didengari oleh jemaah, takut-takut dirasakan itu semua sebahagian dari azan dan wajib dilaung seperti itu. Memang betul kalimah itu maknanya baik-baik belaka tetapi ditakuti generasi muda (dan juga tua) yang baru nak belajar ugama itulah cara azan yang diajar Nabi (SAW).

Iqamat juga dimulakan dengan kalimah yang serupa, tetapi tiada selawat.

Untuk pemakluman solat taraweh, bilal akan memulakan dengan alfatihah dengan nyaring dan selawat sebelum semua bangun untuk mengerjakan solat taraweh.

Selawat kepada Nabi selepas Taraweh juga agak berbeza lafaznya. Jika di KL kita menyambut selawat bilal dengan menyebut “Sollullah assalamualaih” beramai-ramai, di sini disebut “Allahummasolliwasalim wa ba rik alaih”. Selawat memang banyak versi — walaupun kalimah slightly berbeza maksudnya tetap sama — memuji Rasul dan ahli keluarganya dan sahabat-sahabat, dan selawat di antara solat Taraweh hanyalah amalan sunat semata-mata. Teringat semasa di Yangon dulu, solat Taraweh sangat mudah. Lepas  beri salam, imam terus tegak berdiri untuk rakaat seterusnya, tanpa menyebut apa-apa di antara dua-rakaat solat. Masjid Kokhine di Kabaye Pagoda Road, Yangon, menggunakan 5 hafeez tempatan setiap sessi Taraweh, setiap hafeez menyempurnakan 4 rakaat.

SOlat Taraweh di sini (Piasau Jaya, Miri) dikerjakan 20 rakaat dan seperti masjid-masjid lain di seluruh nusantara hanya 25% jemaah bertahan sehingga ke akhir. Tiada hafiz di Masjid ini, hanyalah bacaan surah lazim — AlQadar di rakaat pertama dan surah berikutnya di rakaat kedua, dan begitulah seterusnya.