life is short. do first thing first.

Tag: Kedah

Masjid Jamek Kepala Batas, Alor Setar, Kedah

Ini kisah di bulan Januari 2020. Anak saudara bernikah nun jauh di utara. Kepala Batas, Kedah.

Kepala Batas terletak 20 km ke utara Bandaraya Alor Setar dan ianya sinonim dengan pekan airport. Di sinilah lokasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim untuk kegunaan orang-orang Kedah dan Perlis. Kepala Batas juga sinonim dengan TUDM. Di sini ada sekolah untuk bakal-bakal juruterbang helikopter dan pesawat tentera atau nama glamornya Kolej Tentera Udara.

Bagaimana nak mai ke masjid ini? Selepas keluaq dari plaza tol Kepala Batas, hangpa pusing kanan selepas lampu isyarat pertama. Sampai saja di lampu isyarat ke dua, masjid tu dok sebelah kanan. Senang kan!

Besaq dan luas dan selesa betoi masjid ni. Kalau hangpa lalu jalan ni singgahlah sembahyang di sini. Kedai makan pon banyak di depan masjid. Hati-hati lintas jalan. Tengok sendiri gambaq-gambaq di bawah kalau tak percaya no.

Masjid dilihat dari jalan besar.
Kubah yang diukir dengan ayat-ayat suci.
Karpet tebal. Kawasan mihrab imam.
Toodia anak menakan chek. Kacak bergaya. Dia keja di Kolompo. Bini dia orang Kepala Batas.
Masjid ini pun ada food bank untuk tolong asnaf

Masjid Andalusia, Sg Petani, KEDAH.

Baru ini masa pi kenduri di Sungai Petani Kedah, singgah di masjid ini untuk solat Zuhur / Asar.
Masjid ini terletak di Bandar Laguna Merbok di Sungai Petani.
Sangat dekat dengan tol plaza Sg Petani Utara.

Sg Petani ialah bandar kedua terbesar di negeri Kedah, terletak hampir 60km di selatan Alor Setar.

Pintu masuk utama
Minaret dan kubah dengan senibina yang unik
Ruang solat dengan karpet tebal dan berhawa dingin
Mihrab yang simpel
Dua orang jemaah. Sayalah tu hehe

Masjid 2 tingkat ini memang luas dan selesa di kawasan perumahan yang agak ekslusif di SP. Berhawa dingin dan dijaga rapi. Di belakang masjid ada dewan serbaguna untuk majlis perkahwinan dan lain2.

Kalau sapa lalu SP, boleh singgah di sini untuk solat dan iktikaf di rumah Allah ini.

Masjid Aman, alor star, kedah

image

Perjalanan hidup saya diteruskan.
Hari ini saya singgah di masjid ini di pinggir  bandaraya alor star menghadiri majlis akad nikah anak saudara di masjid ini. Seperti biasa, diluar waktu solat, masjid sunyi sepi, kecuali majlis akad nikah dan kematian dan maulidurrasul.

Masjid ini terletak di simpang empat yg sibuk ke kuala kedah, kangar dan exit ke lebuhraya PLUS. Utk sampai ke sini, exit di ALOR STAR SELATAN dari lebuhraya, dan dari plaza tol terus saja sehingga jumpa simpang ke kuala kedah.

>>> Posted from xperia x10 running WordPress for Android

Masjid Sg Baru, Gunung Keriang, Alor Star, Kedah

image

Cuti sekolah bulan june 2011 membawa aku ke masjid ini di tepi sawah padi yang mewarnai landskap negeri Kedah Darulaman. Tak jumpa rumah tempat kenduri kami terjumpa masjid ini. Terus parking utk solat jamak zuhur/asar. Terdapat tapak perkuburan di sebelahnya. Jalan masuk dari jalan utama perlu menyeberangi jambatan sempit merentasi sebuah tali air.

>>> Posted from xperia x10 running WordPress for Android

MALAYSIA / Alor Star, KEDAH – Kembali ke akar!

(Abu Adam kembali ke kampung kelahirannya  di Alor Setar, KEDAH pada bulan Disember 2009. Bercuti dan menziarah kaum kerabat yang masih ada dan masih dikenali dan menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya Nor Liyana, antara agenda beliau sepanjang 4 hari di sana. Baca ceritanya sepanjang perjalanan nostalgik melawat tempat-tempat yang menjadi tempat jatuh dan bangkit dan jatuh lagi dan bangkit lagi semasa usia muda. Pepatah lama tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain menghimbau memori silam.)

Exit 178 (Alor Setar Selatan)

Exit 178 (Alor Setar Selatan)

Alor Star sekarang adalah sebuah bandaraya di Malaysia dengan keluasan berganda dari Jitra di utara sehinggalah Kuala Kedah dan Pokok Sena di timur. Dengan penduduk hampir 300,000 sekarang, sejarah bandaraya ke 9 di Malaysia ini bermula pada tahun 1735 di mana Sultan Mohammad Jiwa membuka tempat ini.

Perjalanan dari Kuala Lumpur sangat mudah melalui Lebuhraya Utara Selatan. Hujung ke hujung, aku bermula di persimpangan PUTRAJAYA dan berakhir di persimpangan PENDANG (Kedah). Sewajarnya aku exit di persimpangan ALOR SETAR SELATAN dan terus ke masuk ke Jalan Lencong Barat tetapi kali ini aku exit satu persimpangan lebih awal. Selepas exit di Pendang, aku menyusuri Jalan Pendang-Kota Sarang Semut. KSS ialah bandar persinggahan yang tidak penting dan terletak di laluan lama Alor Star -Sungai Petani. Tiada pelancong berhenti di sini kecuali mereka yang ingin ke Pendang dan Sala (tempat kelahiran Menteri Besar Kedah di bawah pimpinan PAS sekarang). KSS hanya dikenali sebagai KOTA oleh penduduk tempatan. Sejarah nama bandar ini tentu menarik tetapi aku tidak tahu.

Jalan lama KSS- Alor Star memang historik. Terusan Wan Mat Saman terletak seiring di sebelah kiri dengan jalan raya menuju ke utara. Pada zaman dahulu, terusan air ini — terpanjang yang dikorek secara manual di Malaysia dari Alor Star sehinggalah Gurun —  menjadi sumber air kepada sawah-sawah padi yang melaut di kiri dan kanan jalan raya. Tetapi sekarang bila jalan raya dibesarkan, terusan sejarah ini menjadi semakin sempit dan mengecil apabila menghampiri ke Alor Setar.   Wan Mat Saman dan jasanya semakin dilupakan, kecuali terdapat sebuah sekolah rendah di Tandop yang dinamakan sempena nama beliau. Plot-plot sawah padi semakin kecil bila mana harta pusaka dibahagi-bahagikan dan oleh kerana waris-waris tidak lagi berminat mengusahakan bendang, plot tersebut dijual begitu sahaja. Kapitalist datang dan mula membangunkan taman-taman perumahan dan gedung dan kedai di atas tapak sawah padi.

Selepas 5 km meninggalkan Kota Sarang Semut, aku sampai di Simpang Empat. Seperti namanya, terdapat empat simpang di bandar ini — menuju Alor Star, Sungai Petani, Tokai dan Kangkong. Tokai ialah sebuah bandar di laluan keretapi Butterworth – Alor Setar. Keretapi komuter yang berhenti-henti berhenti di sini. Dulu bas UTC no 8 menjadi raja jalan dari Tokai ke Alor Star. Sekarang diganti dengan syarikat bas MARA atau HBR. Dulu terdapat sebuah gerai mee rebus Ariffin yang dihidang dalam mangkok besar hanya dengan harga sekitar 60 sen.  Tokai menjadi entry point ke kawasan ‘jelapang padi’ Kedah seperti Bukit Raya, Pendang, Tanah Merah dan Kubur Panjang. Tokai dihuni pesawah padi dan mereka duduk di rumah bertiang tinggi dan di halaman rumah mereka terdapat jentera berat seperti Kubota, traktor dan tak kurang kereta Proton model baru Exora dan Kia Forte. Kangkong ialah sebuah kampung di muara berlumpur menghadap Selat Melaka. Terdapat sebuah warung bihun sup yang tersohor sejak zaman berzaman di sini.  Bihun sup Kedah berwarna kuning (selepas dicelup dengan air kunyit)  dan dihidang dengan sup cair dalam mangkok kecil.  Sos cili yang unik memberi rasa dan aroma yang menyucuk hidung.  Hanya sup daging (dan lemak) lembu tempatan digunakan di restoran ini. Daun sup dan lobak masin dihiris halus menaikkan selera. Kandungan kolestrol memang tinggi tetapi sekali sekala tidak menjadi masalah. Jangan hari-hari. Pekan nat di Simpang Empat ialah setiap hari Khamis, dan masih berterusan hingga hari ini. Kedai runcit Pek Hong tempat arwah ayah membeli keperluan dapur masih lagi berdiri teguh sebaris dengan bangunan lama di sepanjang jalan besar. Di sebelahnya terdapat satu restoran mamak yang tak berapa mamak. Mee goreng dan roti canai  memang popular di situ suatu masa dahulu. Penumpang berkeliaran kat sini sambil menunggu bas kembali ke Alor Star. Sekarang satu blok rumah kedai baru dibina di hadapan dan bas berhenti di sana. Balai Polis Simpang Empat masih tegak berdiri.

Meneruskan perjalanan ke bandaraya Alor Star, aku sampai ke Kampung Batu 4 1/4, kira-kira 4 1/4 batu dari pusat bandaraya. Inilah kampung kelahiran dan tempat dibesarkan. Rumah pusaka peninggalan arwah ayah masih lagi tersergam di pinggir terusan Wan Mat Saman yang semakin sempit, walaupun dihuni oleh penyewa yang aku tak kenal. Air sungai ini masih keruh seperti dahulu tetapi tidak banyak sampah sarap seperti dahulu. Aku dibesarkan di rumah ini dan di kampung ini sehingga usia remaja. Selepas peperiksaan SPM aku  meninggalkan kampung ini demi menyambung pelajaran di luar negara. Kanada menjadi negara keduaku untuk lima tahun berikutnya. Kampung Batu 3 dikenali sebagai Tandop dan di sinilah aku menerima pelajaran awal peringkat sekolah rendah. Tandop juga merupakan kawasan perindustrian ringan di kelilingi oleh kawasan perumahan yang giat membangun, antaranya StarGate yang sedang dalam pembinaan berhampiran plaza tol Alor Star Selatan. Tandop terletak di penghujung tol plaza Alor Star Selatan, merupakan persimpangan utama ke Kuala Kedah dan Kangar (melalui Jalan Lencong Barat) dan pusat bandaraya (melalui Lebuhraya Sultan Abdul Halim).  Sawah padi menghijau kelihatan di kanan dan kiri jalan bila mana tiada bangunan.

Aku meneruskan perjalanan ke pusat bandaraya menyusuri Lebuhraya Sultan Abdul Halim. Aku melepasi Sekolah Menengah Teknik di Batu 2 dan sampai di Simpang Kuala, satu lagi persimpangan utama di bandaraya Alor Star. Membelok ke kiri aku menghala ke arah Kuala Kedah. Maktab Mahmud ialah sekolah aliran ugama yang terletak di sebelah kanan dan selepas persimpangan Jalan Pegawai, aku sampai di Sekolah Menengah Keat Hwa di sebelah kiri. Inilah sekolahku peringkat menengah. Dewan utama dengan logo sekolah segitiga masih kelihatan dari jalan utama. Jalan masuk yang panjang yang dahulu dikelilingi oleh sawah padi kini dibarisi rumah kedai dan perumahan mewah di sebelah kanan. Sawah padi masih lagi kekal di kiri jalan masuk.

Seterusnya aku menyusuri jalan-jalan kenangan ke pusat bandaraya Alor Star.  Jalan-jalan utama masih lagi sama di tempat mereka yang lama. Alor Star tanpa jalan-jalan ini bukanlah Alor Star. Jalan Langgar, Jalan Pegawai, Jalan Stadium, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Tun Razak, Jalan Putra, Jalan Kancut, Jalan Kuala, Tongkang Yard. Landmark tambahan di bandaraya ini yang aku perasan ialah Menara Alor Star, Holiday Villa, UNITAR, Giant, Souq alBukhary dan TESCO.  Yang tiada lagi di tempatnya ialah stesen bas Jalan Langgar, stesen bas baru (Jalan Sultan Badlishah) dan stesen bas MARA — semuanya sudah dipindahkan ke Stesen Bas Shahab Perdana,  yang menjadi pusat bas-bas ekspres ke seluruh negara  dan bas tempatan. Hospital Besar Alor Setar tiada lagi di tempat lamanya berdekatan Penjara — kini sudah dipindah ke Jalan Langgar menjadi Hospital Sultanah Bahiyah, dan anda boleh melihat kompleks hospital ini dengan jelas dari lebuhraya PLUS.

Stesen bas Jalan Langgar seumpana KL Sentral pada pertengahan 80an — rumah kepada syarikat bas United Transport Company (UTC)  yang menguasai laluan Alor Star – Butterworth dan semua bandar dan kampung di antaranya seperti Guar Cempedak, Gurun dan Sungai Petani.  Dari sinilah aku mengambil bas UTC nombor 2 atau 6 atau 8 untuk balik ke rumah setiap hari selepas sekolah.  Kini syarikat bas tersebut sekali dengan stesennya diambil alih oleh MARA.

Jalan Lencong Barat dan jalan-jalan sambungannya termasuk Jalan Sultanah (dulu dikenali sebagai Jalan Day) mengelilingi bandaraya Alor Star seperti Middle Ring Road (MRR) di Kuala Lumpur.  Taman-taman perumahan seperti Taman Uda, Taman Muhibbah dan SM Dato Syed Omar

Masjid Zahir dengan senibina Moorishnya berserta bangunan-bangunan bersejarah di hadapannya seperti Wisma Negeri, Balai Nobat, Balai Besar menjadi tarikan pelancong-pelancong veteran. Kompleks Pekan Rabu diubahsuai setaraf dengan statusnya. Di seberang jalan, terdapat deretan bangunan yang menempatkan bank-bank tersohor dan syarikat-syarikat separuh gergasi. Kedah Supermarket bersambung dengan deretan itu. Menyeberangi Jalan Sultan Badlishah, aku sampai ke Restoran Rose yang terkenal dengan nasi lemak dan roti canai. Arwah ayah selalu singgah di restoran ini bila mana dia ada urusan di bandar. Kini terdapat Bank RHB disebelahnya.  Di blok belakang, masih berdiri Bangunan Ukir yang suatu masa dulu macam Pertama Complex di KL. Golongan pelajar dan pekerja ofis sering photostat buku dan nota sekolah di sini, termasuk urusan surat menyurat, kerana di sini juga terdapat sebuah pejabat pos. Pada waktu itu Bangunan Ukir juga menjadi hentian Bas Bandaran. Penumpang yang ingin ke Stesen Bas Baru akan naik Bas Bandaran yang berwarna kuning (seperti bas mini di KL). Stesen Bas Baru menjadi pusat hentian bas menuju utara seperti Anak Bukit, Jitra, Changloon, Kodiang dan Kangar.  Stadium  Dato Syed Omar menghadap Jalan Tunku Ibrahim. Itu semua cerita 80-an. Sekarang sudah berubah. City Plaza dan Hotel Holiday Villa  mendominasi landskap Jalan Tunku Ibrahim hari ini.

Bersebelahan Pekan Rabu, Panggung Empire dan gerai mee sup dan mee ‘tonggek’nya yang pernah menjadi tempat berpleseran pelajar-pelajar sekolah termasuk aku, kini sudah berubah. Susasana sudah moden. Harga mee sup daging sudah naik 5 kali ganda. Mee ‘tonggek’  yang popular di kalangan pelajar sekolah-sekolah di sekitar bandaraya ini suatu masa dahulu, sudah berubah sifat. Arakian dinamakan tonggek ialah kerana pada zaman dulu semasa makan mee di sini, kena duduk atas bangku kayu panjang. Jadi posisi punggung agak kebelakang untuk seimbangkan badan — tiada meja disediakan, satu tangan pegang pinggan mee satu lagi pegang sudu.

Kolej Sultan Abdul Hamid (atau KSAH) terletak di Jalan Langgar menuju ke bandar Langgar. (Langgar ialah sebuah pekan kecil lebih kurang 15 km dari bandaraya Alor Star, ianya terkenal sebagai makam di raja, tempat persemadian kaum kerabat Sultan Kedah.  Terdapat juga Langgar di  Kota Bharu Kelantan).  Sekolah Menengah (dan juga Rendah) Sultanah Asma juga terletak di jalan Langgar.  Alumni KSAH yang terkenal ialah dua bekas Perdana Menteri iaitu Tuanku Abd Rahman dan Dr Mahathir. Sekarang sebuah sekolah premier, tetapi dahulu KSAH terkenal dengan gelagat nakal pelajarnya dari pencapaian akademik pada waktu itu.  Dulu pelajarnya hanya perlu berjalan kaki ke stesen bas Jalan Langgar, tetapi sekarang terdapat ‘flyover’ tinggi merentasi trek keretapi. Stesen keretapi Alor Star — masih sunyi seperti dahulu — terletak  berhampiran. Mungkin tidak banyak tren berhenti di sini sekarang ini. Masa sudah berubah. All-girl Sekolah Sultanah Asma pula ialah antara sekolah terbaik di Malaysia dan baru-baru ini dianugerah salah satu antara 20 high performing schools di Malaysia.

Aku sempat melewati sekolah lamaku SM Keat Hwa Cawangan Kg Baharu di belakang Bangunan Persekutuan. Disinilah aku belajar Bahasa Mandarin dengan kawan-kawan seperti Yow Kim Yu, Lee Kim Nor, Chong Swe Kee, Mohd Kilau Mansor Tobeng, Latiff, dan lain-lain  semasa belajar di Tingkatan 2A3 dan 3A3.  Aku harap satu masa nanti insyaallah mungkin boleh berjumpa lagi. Di sekolah inilah aku belajar sebahagian pasal prinsip hidup, nationalism, Islam dan cinta monyet, dan banyak lagi selain dari Bahasa Mandarin.

AKAN DATANG :  KUALA KEDAH — pintu masuk ke Pulau Langkawi.

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén