life is short. do first thing first.

Chaung Tha Beach, MYANMAR

Chaung Tha Beach terletak 40 km ke barat Pathein (Bassein) di Ayeyarwaddy Division.  Perajalanan dari Yangon ke sini mengambil masa lebih kurang 5 ke 6 jam.  Chaung Tha Beach merupakan destinasi pelancongan tepi laut tersohor di Myanmar selain dari Ngapali Beach. Pantainya panjang dengan pasir yang halus dan seakan-akan berlumpur. Pohon kelapa dan kasuarina tumbuh di sepanjang pantai. Dari kejauhan kelihatan beberapa buah pulau pesisir pantai.

Banyak aktiviti komersial kecil-kecilan di sepanjang pantai. Penjaja membawa barang dagangan mereka di atas kepala menjual barang-barang handikraf dan makanan laut (seafood) dan akan menghampiri anda dengan barang jualan mereka. Ketam memang makanan laut popular di sini. Ketam hidup dijual dalam baldi-baldi besar yang diangkat dengan tangan dari satu tempat ke satu tempat.  Anda pilih bilangan dan saiz ketam yang disukai dan bayar harganya dan penjual akan memasak ketam tersebut mengikut selera anda. Bukan saja ketam, ada udang dan ikan-ikan laut, dan harganya memang berpatutan  – dijual mengikut bilangan dan saiz dan bukannya timbangan, dan boleh ditambah seekor dua lagi. Pendek kata, Chaung Tha ialah syurga makanan laut (seafood heaven). Anak-anak ketam dijual oleh kanak-kanak tempatan untuk dilepaskan ke laut. Harga seekor anak ketam hanyalah 200 kyats bersamaan 70 sen sahaja. Tapi jaga sepitnya.

Klik imej untuk saiz sebenar. Lalukan cursor atas imej untuk cerita di sebalik gambar.

Aktiviti-aktiviti riadah banyak sekali. Anda boleh menaiki kuda di tepi pantai dengan bayaran 1000 kyats (bersamaan RM3.40) selama  15-20 minit.  Kuda-kuda di sini dijaga dengan baik, dengan ekor panjang dan kulit kemerah-merahan seperti kuda lumba.  Anda boleh menyewa basikal. Anda boleh menyewa pelampung getah yang besar dan membawanya jauh ke tengah laut dan membiarkan ombak Lautan Andaman menolaknya balik ke tepi pantai. Anda boleh bermain beach volleyball dan beach soccer. Anda boleh membeli handikraf seperti topi daun kelapa dan kulit ketam atau udang yang besar dalam frem untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Terdapat banyak hotel berbagai bintang disini. Lawati tapak web ini  http://www.hotelsinmyanmar.com/myanmar-chaungthar-deluxe.htm.  Saya tinggal di Belle Resort sepanjang lawatan ini. Hotel lima bintang dengan kolam renang ini memang mahal (USD80++ untuk bilik deluxe menghadap laut). Saya di sini atas urusan rasmi jadi segala perbelanjaan dibayar Syarikat.

Chaung Tha ialah sebuah kampung nelayan di tepi pantai yang suram yang mana pelancongan menjadi industri utama di sini. Ini dapat dilihat dengan banyaknya hotel dan resort yang sedang atau sudah dibina atau diubahsuai.  Anda boleh melawat kawasan ‘pusat bandar’  atau lebih tepat kawasan pasar Chaung Tha hanya berjalan kaki dari resort anda atau menaiki beca 2-seater, satu seat menghadap ke depan dan satu seat lagi menghadap ke belakang.  Di kawasan pasar, ikan masin, sotong kering yang segar boleh dbeli, selain T-shirt sebagai kenangan ke sini. Tidak kelihatan masjid di kawasan ini.

UNTUK SAMPAI KE SINI

Malaysia Airline terbang setiap hari (kecuali Selasa dan Khamis) dari Kuala Lumpur ke Yangon, Myanmar. Dari Yangon ke Chaung Tha Beach anda boleh menaiki bas ekspres dan masa perjalanan 6 jam melalui jalan raya biasa (di Myanmar tiada lebuhraya seperti PLUS di Malaysia) yang mana hanya satu pertiga yang bertar sempurna.  Untuk tempahan hotel, anda boleh melawat laman web http://www.hotelsinmyanmar.com/myanmar-chaungthar-deluxe.htm.

Anda memerlukan visa untuk memasuki Myanmar.

Previous

A funeral in Yangon, MYANMAR

Next

SAJAK – Seorang Sufi Yang Menangis Di Tepi Perigi

1 Comment

  1. Salam

    Boleh tahan pantai tersebut.
    Saya pernah ke sana dengan isteri (warga myanmar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén