Hari Raya Idil Fitri  tahun ini di Myanmar jatuh pada hari Isnin 21 September 2009, satu hari lewat dari di Malaysia. Kaedah penetapan 1 Syawal ialah dengan melihat anak bulan. Mungkin anak bulan tak kelihatan di sini. Aku tak kisah sangat sebab amalan Ramadhanku memang agak kurang tahun ini berbanding tahun lepas semasa di tanah air.  Kerja pejabat yang tak habis-habis.  Masjid yang jauh. Pemandu yang tak punctual. Semua itu antara alasan untuk justify my slackening this year. Bacaan Quranku hanya sampai surah Fathir sahaja, tak sampai pun surah Yaasin. Seorang sahabat menghantar email dengan attachment Quiz AlQuran dan sebaris mesej simple: “Dah juzuk berapa dah?”.
Brother Yunus, anak saudara Brother Ahmad, trustee Masjid Kokhine mengesahkan tarikh Hari Raya  dan waktu solat Eid ketika aku sampai di masjid untuk solat Taraweh terakhir pada Sabtu malam Ahad.   Kadar zakat fitrah tertampal di papan kenyataan masjid:   900 kyats untuk Hanafi dan 1000 kyats untuk Shafie. Aku tak sempat bertanya rasional perbezaan kadar. Mungkin bergantung kepada jenis beras yang dimakan. Kebanyakan expatriates Islam yang selalu mengunjungi masjid ini ialah dari Malaysia dan negara Arab seperti Arab Saudi dan Mesir. Kebanyakan mereka dari mazhab Shafie. Ditambah dengan status expatriates, kami dianggap lebih berada dari masyarakat Islam tempatan.

Masjid Kokhine pada pagi hari Raya penuh dengan umat Islam sehingga melimpah ke jalan raya di luar, iaitu Kabaye Pagoda Road. Tidak pernah aku melihat seramai itu sebelum ini. Bagi perantau seperti aku, suasana agak berbeza. Tiada takbir mendayu-dayu seperti di Malaysia.  Justeru itu tiada ruang untuk melayan perasaan gundah gelana kerana tiada keluarga bersama. Takbir tanpa lagu hanya dilaungkan oleh tuan imam ketika memulakan khutbah raya.  Solat Eid bermula jam 7pagi sharp. Seiapa yang terlewat walaupun 5 minit, alamat dia akan ketinggalan solat Eid. Solat Eid di sini agak berbeza dengan di Malaysia dari segi bilangan takbir. Pada rakaat pertama, mereka bertakbir 3 kali  sahaja sebelum membaca Fatihah. Kemudian tuan Imam membaca surah AlA’la. Pada rakaat ke dua, takbir  sebanyak 3 kali juga tetapi kali ini selepas membaca Fatihah dan surah. Tuan imam membaca surah al-Ghasiyah pada rakaat kedua. Bilangan takbir berbeza dengan amalan di Malaysia, iaitu 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali takbir pada rakaaat ke dua. Keunikan amalan pelbagai mazhab di bawah payung Ahlussunnah wal jamaah menyaksikan betapa Islam itu fleksibel dan mengambil kira budaya bangsa penganutnya.

Aku mengambil masa yang agak panjang untuk menghargai perbezaan ini. Ini bukanlah masalah pokok yang perlu dibahaskan.  Masing-masing ada nas untuk menjustifikasi amalan masing-masing. Khutbah Raya disampaikan dalam bahasa Myanmar dan selesai dalam masa 10 minit. Selepas itu aku bukan saja bersalaman, tapi peluk memeluk dengan mereka yang aku kenal iaitu keluarga Brother Ahmad, sambil mengucapkan tahniah kepada sesama sendiri kerana berjaya menyempurnakan puasa Ramadhan. Aku juga sempat berjumpa beberapa orang kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak pulang ke kampung halaman. Muka sepesen (satu fesyen) saja. Sedih sebab tak dapat berjumpa keluarga dan ibubapa di hari mulia. Aku faham.

Di luar masjid peminta-peminta sedekah berkeliaran di depan muka pintu menunggu jemaah keluar. Seorang tua yang tangannya terketar-ketar mengikut aku ke kereta sambil berkata: “Old man, old man. Nobody here”. Peminta sedekah di kota Yangon adalah pemandangan biasa terutama di persimpangan jalan utama, pasar-pasar dan masjid. Mereka menagih simpati dengan mendokong anak-anak kecil dan berlari menuju kepada kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat, kemudian mengetuk cermin kereta untuk menarik perhatian pemandu dan penumpang, sambil menunjuk kepada anak kecil yang di kendungnya dan membuat isyarat tiada wang dan belum makan lagi. Hati kita akan mudah tersentuh. Cerita kanak-kanak kecil yang dipinjam oleh peminta sedekah ’profesional’ dan diberi ubat tidur demi menagih simpati bukanlah cerita baru di sini. Cerita yang sama pernah didengar di Malaysia.

Saya akan sambung kisah peminta sedekah profesional dan amatur di Yangon dalam posting lain. Insyallah kalau umur panjang.