Jika anda sampai di Kemaman, Terengganu di waktu yang betul, singgahlah sekejap di restoran ini. Kedai makan ini dibuka pada awal pagi untuk sarapan pagi sehingga waktu makan tengahari sahaja.  Selepas itu ditutup. 

Pada waktu pagi, roti canai dengan kari ikan tenggiri sangat popular di sini. Maap tak sempat ambil gambar sebelum, hanya gambar selepas. Karinya memang sedap, pekat dan betul-betul ‘kaw’.  Jangan lupa pesan teh tarik yang kurang manis. Menu popular makan tengahari ialah nasi beriani.

Hidup perlu ringkas seperti ini.

Roti kosong dengan kari ikan tenggiri. (Gambar selepas, ikan sudah habis)

Kedai makan ini biasa sahaja terletak di bawah sepohon pokok besar di tepi jalan utama dari pekan Kemaman menghala ke Kijal. (selepas stesen minyak Shell).

Bagaimana untuk sampai ke sini?

Kemaman ialah perhentian utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai. Sebenarnya, Kemaman lebih dekat dengan Kuantan (50 kms sahaja) berbanding dengan Kuala Terengganu (150 kms). Bandar ke dua terbesar di Terengganu. Industri minyak dan gas berpusat di daerah Kemaman. Kemaman sebenarnya ialah nama sebuah daerah di Terengganu dan nama bandarnya ialah Chukai. Tetapi orang ramai lebih mengenali Kemaman sebagai sebuah bandar dan bukannya Chukai.