life is short. do first thing first.

Month: May 2017 Page 1 of 2

Here’s What Happens After You Die

http://www.sciencealert.com/this-is-what-happens-after-you-die

Mencari masjid dan makanan halal di Amsterdam / Mosque and halal food in Amsterdam

Kembara ini membawa aku ke Amsterdam di negara Belanda, juga dikenali sebagai Holland atau Netherlands. Orang Belanda dipanggil Dutch. Seingat aku masa belajar sejarah di sekolah menengah, Belanda pernah menyerang Melaka dan menakluki Tanah Melayu dari tahun 1641 sampailah …. (maap tak ingat)  dan selepas itu British mengambil alih. Sebelum Belanda, Portugis menyerang Melaka pada tahu 1511 di ketuai oleh Alfonso de Albuquerque.

Keunikan Amsterdam terusan-terusannya (canals). Sangat bersih dan sangat hidup dengan aktiviti. Ada penduduk Amsterdam tinggal dalam  rumah atas bot yang ditambat ke tebing terusan.

Seperti London dan Paris, Amsterdam juga mempunyai komuniti Islam yang besar. Pelancong yang mahu berjalan jalan di Eropah selalunya melawat 3 kota tersohor ini. Mungkin 4 kota, jika dicampur Brussel. Jarak antara kota-kota ini tidaklah terlalu jauh, boleh naik bas atau tren saja. Kami menaiki bas Eurolines dari stesen bas Victoria di London, menuju ke Paris dan seterusnya menuju ke Amsterdam.  Memang satu pengalaman yang menarik menaiki bas menyeberangi English Channel. Masa pergi Paris bas naik feri. Masa balik ke London bas naik tren yang melalui terowong bawah laut yang terkenal itu (Chunnel). Insyallah kalau aku rajin, akan ada posting mengenai pengalaman ini.

MASJID

Posting ini mengenai sebuah masjid di Amsterdam yang sempat aku singgah pada bulan Februari 2017. Masjid Al Fatih namanya.

Ini adalah pintu masuk ke masjid Fatih di Amsterdam.

Masjid Fatih tidak jauh dari Anne Frank House yang menjadi tumpuan pelancong di kota Amsterdam. Imej menunjukkan pelancong berbaris untuk membeli tiket melawat Anne Grank House. Siapakah Anne Frank ini, tanyalah En Google.

Masjid ini terletak di jalan utama yang dilewati tram. Aku menaiki tram dari Amsterdam Centraal untuk sampai ke sini, mengambil masa 15-20 minit dengan tram. Tram merupakan sistem pengangkutan awam di Amsterdam sangat convenient dan murah. Tram berkongsi jalan yang sama dengan kereta dan bas. Tetapi aku lihat penduduk Amsterdam memang suka menaiki basikal, lelaki dan perempuan, tua dan muda. Ada laluan khas untuk basikal.

Rata-rata jemaah masjid ini adalah orang-orang Turki.

Tram di kota Amsterdam. Penduduknya berbasikal di lorong basikal yang disediakan. Bangunan belakang ialah Madame Tussaud.

MAKANAN HALAL

Terdapat sebuah restoran halal di sebelah masjid. Juga ada sebuah lagi di seberang jalan, kebanyakannya menjual kebab, shawarma, grill dan makanan Timur Tengah.

Semasa berjalan menuju Amsterdam Sentraal untuk menaiki tren ke Amsterdam Arena (tempat kami menginap), aku singgah di dataran berhadapan Madame Tussauds, melihat dan merakam gelagat manusia yang bergambar dan memberi burung makan, kebanyakannya pelancong. Cuaca yang sejuk 2-3 Celcius diiringi angin kutub menyebabkan aku tak tahan lama duduk di kawasan terbuka. Aku berlari masuk ke muzium Ripley sebab tak tahan sejuk. Aku tak beli tiket masuk jadi aku berlegar di tingkat bawah saja. Di sini gratis. Di hadapan muzium di seberang jalan ini ada Nationaal Monument dan sebuah pusat membeli belah yang vogue iaitu  de Bijenkorf. Jalan ke depan sikit (dari muzium Ripley’s, aku singgah di sebuah makanan segera halal, Wok To Go. Ada logo halal di kaunter pesanan. Jalan depan lagi aku terjumpa Wok To Walk.

Incredible Hulk di muzium Ripley.

Restoran halal wok to go berdekatan Madame Tussauds di Amsterdam

Ada satu lagi restoran halal yang kami singgah yang berdekatan hotel aku menginap di Amsterdam Arena. Restoran ini menjual masakan Indonesia yang agak pedas. Tempe, tauhu, kacang panjang goreng dan sambal goreng dan lain lain. Lihat gambar di bawah. Sebenarnya pengaruh Indonesia terutamanya dalam bidang masakan memang kelihatan di Belanda. Maklumlah Indonesia adalah bekas jajahan Belanda.

Wow sedapnya. Lama tak rasa sambal pedas. Syahirah dan sepupunya Nadirah sedang menikmati hidangan di Amsterdam Arena.

Mencari masjid di Paris / Mosque in Paris

Seperti London, Paris ialah pusat tumpuan umat Islam di Eropah. Terdapat puluhan mungkin ratusan masjid termasuk musolla dan pusat Islam (Islamic center) di kota Paris. Jika di London ada Oxford Street di Paris ada Champs de Elysees, sebatang jalanraya yang wajib singgah jika anda mengembara ke Paris.

Salah satu rumah Allah yang terbesar ialah Masjid Grand (Grande Mosquee de Paris). Masjid ini agak hampir dengan Notre Dame Cathedral, satu lagi tempat tarikan pelancong di Paris.

Aku ke kota ini awal tahun 2017, dan sempat singgah di masjid ini buat kali ke 2. Kali pertama 2014.

Bagaimana untuk sampai ke masjid ini?

Ambil metro line 7 dan turun di stesen Place Monge. Dari stesen ini aku berjalan kaki 10 minit ke masjid ini. Lihat peta di bawah. Sistem metro Paris agak kompleks sebab terlalu banyak laluan.

Masjid ini sangat besar, berdiri megah di simpang jalan. Terdapat sebuah taman dengan fountain di luarnya dan sebuah dataran di dalam kompleks masjid. Oleh kerana aku sampai di musim sejuk, tiada banyak aktiviti di luar bangunan. Aku yakin kalau tiba musim panas tempat ini akan hidup dengan aktiviti. Tempat wuduk dan tandas terletak di basement dan agak jauh dari solat. Kemudahan untuk muslimat disediakan berasingan.

Dewan solat yang elegant dengan karpet tebal

Sebuah taman dengan fountain di dalam kompleks Grand Mosque, Paris

Dataran atau piazza dengan fountain di dalam Grand Mosque, Paris

Di seberang jalan terdapat sebuah taman bunga awam yang dikenali sebagai Jardin des Plantes. Malangnya di musim sejuk semua bunga dah mati. Kalau datang musim bunga atau panas pemandangan tentu cantik dengan bunga-bungaan berbagai warna.

Terdapat sebuah taman botani berhadapan masjid

Taman botani Jardin des Plantes di Paris

Syiar Islam megah berdiri di kota Paris

Muzium botani Jardin des Plantes, Paris

 

Masjid East London dan makanan halal / East London Mosque and halal food

Dalam posting terdahulu, aku ada menulis pasal masjid-masjid di sekitar Oxford Street di kota London. Masjid juga memainkan peranan sebagai pusat Islam (Islamic Center) atau pusat kebudayaan (cultural center)  dan dengan itu  dikenali dengan nama nama seperti itu untuk mengelakkan sensitiviti masyarakat setempat berikutan sindrom Islamphobia yang menebal di tempat tersebut.

Kali ini aku nak kongsi pasal satu masjid yang memang besar, selesa dan dikelilingi oleh banyak restoran halal di kota London. Jeng jeng ini dia Masjid East London!!

Masjid East London di Whitechapel. London

Sudah beberapa kali aku ke masjid ini. Pertama kali di bulan Disember di musim sejuk 2014. Terbaru 2017, bulan Februari. Musim sejuk jugak.

Keadaan di dalam Masjid East London.

Oleh kerana aku dari Victoria Station, aku naik London tube District Line (yang berwarna hijau dalam peta di bawah) dan turun di stesen Whitechapel.

Naik tube District Line dan turun di stesen Whitechapel untuk sampai ke masjid East London

Dari stesen Whitechapel, masjid ini hanyalah lebih kurang 5-10 minit berjalan kaki. Bila keluar ke jalan besar, aku belok ke kanan menuju ke masjid ini. Masjid ini terletak di sebelah kiri dan aku terpaksa menyeberangi jalan besar itu. Tak ingat nama jalan tu. Kiri kanan jalan besar itu terdapat banyak restoran halal dari kebab ke ayam goreng ke nasi beriani semua ada. Tak jumpa pulak masakan Melayu. Takpe yang penting halal. Harga pun berpatutan. Nasi putih dengan kari ikan dan kentang masala hanyalah 4 pound. OK lah tu. Nasi memang menimbung (kecek Ganu pulok doh!). Ikan tak tahu apa nama tetapi macam ikan tenggiri potong. Kari cair tetapi ada rasa. Bangladeshi restoran agaknya.

Ada sebuah hotel bajet di sebelah Masjid East London

Banyak restoran makanan halal dekat masjid ini.

Selepas solat maghrib / Isyak dan makan malam, aku naik bas dua tingkat untuk balik ke area Victoria Station.

NOTA: Satu lagi cara untuk sampai ke masjid ini ialah dengan menaiki bas merah London (London red bus) bernombor 25 dari Oxford Street.

Bagaimana untuk naik bas double decker ini? Insyallah tunggu posting akan datang.

Bagaimana untuk naik tube London?  Insyallah tunggu posting akan datang.

Masjid berdekatan Oxford Street London / Mosques nearby Oxford Street in London

London bandaraya tersohor di dunia fana ini. Semua orang tahu. Orang kampung dan orang bandar pun tahu. Dan aku pun tak nak cerita pasal London ini. Yang aku concerned ialah kat mana nak solat ketika sibuk bershopping di Oxford Street dan kawasan sekitarnya. Inilah pengalaman aku di London.

Oxford Street ialah syurga membeli belah di kota London. Jalannya yang sepanjang lebih kurang 2km menempatkan 400 – 500 kedai.   Dikatakan hampir setengah juta manusia mengunjungi jalan ini setiap hari menjadikannya antara shopping street paling popular di Eropah. Semua kedai berjenama antarabangsa ada di sepanjang jalan ini. Tak payah sebutlah satu persatu. Coach. Fossil. Michael Kors. Burberry. Itu baru beg tangan wanita. Nike. Adidas. Uniqlo. Topshop. Clarks. Orang putih kata you name it we got it! Kena sebut juga Primark dan SportDirect, kedai kegemaranku.

Dengan kedai sebegitu banyak, kadang kadang kita terlupa waktu solat yang dah nak habis.

Ada 3 masjid (sebenarnya banyak lagi) yang kita boleh singgah untuk menunaikan kewajipan solat yang berdekatan dengan Oxford Street. Pertama ialah Masjid yang terletak di daerah Fitzrovia di persimpangan Goodge Street dan Charlotte Street. Kadang kala dalam setengah website disebut Goodge Street Mosque.  Di sinilah juga terletak ibu pejabat Muslim World League.  Nak sampai ke sini, aku terpaksa detour dari Oxford Street dan jalan kaki selama 10-15 minit.

Yang kedua ialah SOHO Islamic Center (lihat peta di bawah).

Ketiga ialah Mayfair Islamic Center yang terletak di kawasan ekslusif kota London. Ianya lebih dekat dengan kawasan Hyde Park, Buckingham Palace atau Victoria, dari Oxford Street. Mayfair Islamic Center sangat compact, tetapi bersih dan selesa. Ianya terdiri dari beberapa tingkat, tingkat bawah ialah tempat wuduk.  Ruang solat dan wuduk muslimat juga disediakan. Aku pernah sampai ke masjid ini sekali dua.

Ladies section of Mayfair Islamic Center, London

Seorang musafir dari Malaysia di pintu masuk Mayfair Islamic Center, London. Namanya Wannor.

Kawasan wuduk muslimin di Mayfair Islamic Center, London

Dewan solat muslimin di Mayfair Islamic Center, London

Malaysia Hall ialah satu lagi opsyen untuk berehat, solat dan makan ala Malaysia. Tapi aku belum pernah sampai ke situ.Tiada dalam peta di bawah pun. Ianya terletak di utara Hyde Park dekat kawasan Bayswater. Opposite direction from Oxford Street. Tak jauh sebenarnya. Jalan kaki pun sampai dari kawasan Marble Arch, iaitu permulaan Oxford Street.

Pilihan terakhir kalau tak sempat juga cari masjid, ialah dengan bersolat di salah satu kedai cenderahati milik orang Islam yang menjual baju t-shirt dan lain-lain barangan untuk pelancong di Oxford Street. Ada satu kedai bersebelahan Chopstix yang pemiliknya seorang Islam dari Carribean. Bagi salam dulu dan mintak ruang untuk solat. Dia akan tunjuk sebuah stor kecil muat untuk seorang mendirikan solat. Tanya dia arah kiblat. Bilik air dan selipar disediakan.

Kalau tak sempat juga carilah fitting room di mana-mana kedai besar seperti H&M atau M&S yang kurang sibuk. Wuduk kena ambik dulu dalam bilik air. Periksa arah kiblat di Android app dalam telefon. Lepas tu pilihlah satu baju ke apa ke dan masuk dalam fitting room untuk “mencobanya.” Cara ini dah banyak kali kami buat masa road-trip mengelilingi Ireland 2014, selain dari solat di tempat meletak kereta.

Sebenarnya ada banyak masjid dan Islamic center di kotaraya London disebabkan ramainya penduduk dan pelancong beragama Islam. Begitu juga kedai makanan halal. Di mana ada masjid selalunya di situ ada kedai makanan halal.  Satu lagi masjid yang aku selalu gi ialah East London Mosque. Komuniti Islam dari India / Pakistan / Bangladesh ramai menetap di kawasan ini. Mereka adalah penduduk tetap London. Insyallah aku akan cerita pasal masjid ini dalam posting yang lain.

Semoga posting ini berguna untuk pengembara ke kota London dan Oxford Street. Shopping shopping juga, solat wajib didirikan di mana saja kita berada.

 

Page 1 of 2

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén