NOVEMBER 2011:
Sarikei ialah salah sebuah bahagian (‘division’) dari 11 bahagian kesemuanya di Sarawak. Bandar Sarikei ialah ialah ibu bahagian Sarikei, terletak di muara Batang Rejang (Batang = Sungai). Sarikei juga terkenal sebagai bandar nenas kerana nenas termanis berasal dari kawasan ini. Dari segi sejarah, Sarikei juga terkenal sebagai pusat pemberontakan penduduk tempatan (Iban dan Melanau) terhadap pemerintahan Raja James Brooke di sekitar 1800-an. Aku singgah sekejap di sini dalam perjalanan ke Pakan sebuah pekan kecil dalam daerah Sarikei dan seterusnya lagi 1 jam ke Ulu Kota, sebuah kampung kecil perkampungan kaum Iban di tanah tinggi pendalaman Sarawak melalui jalan balak / tanah merah.

Tujuan perjalanan ialah menziarahi beberapa keluarga saudara kita (‘muallaf’) dari kalangan kaum Iban yang memeluk Islam di Rumah Julin, Ulu Kota. Mereka tinggal di rumah panjang dan selepas memeluk Islam, terpaksa keluar duduk berasingan selepas diusir dari rumah panjang kerana tidak ikut serta dalam amalan penduduk rumah panjang yang bukan Islam seperti minum tuak dan korban babi jika berlaku kematian di rumah panjang. Kaum Iban majoritinya adalah pagan — penyembah pokok, angin, sungai dan objek pelik-pelik. Sebilangan kecil ialah Islam. Kristian mula bertapak di kawasan ini. Bro Nuzul dari Kuching yang turut serta dalam projek ini memberitahu lebih mudah untuk convert Iban Pagan ke Islam berbanding Iban Kristian. Ini adalah kerana paganism tiada pegangan yang kukuh. Satu lagi ialah kerana misionari Kristian mempunyai modal dan network yang besar dan hebat. Dia seorang Melayu yang boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Iban (maklumlah isterinya orang Iban). Katanya nak masuk Islam mudah saja, tetapi nak pastikan mereka kekal dalam Islam bukanlah mudah terutamanya apabila lokasi yang jauh. Satu bentuk sistem tarbiyah berterusan perlu diwujudkan. Sebab itulah Yayasan Amal Miri – sebuah pertubuhan bukan kerajaan – membawa sekali JAIS, Baitulmal Sarawak dan HIKMAH, sebuah NGO Islam di Sarawak ke Ulu Kota. Atas inisiatif semua, sebuah surau yang diberi nama Surau Al Azhar di Ulu Kota untuk keperluan 30 orang saudara baru yang menetap di situ telah dibina.

Perjalanan dengan pacuan 4 roda dari Miri mengambil masa hampir 6 jam, melalui bandar Bintulu, Sibu dan Sarikei. Bertolak dari Masjid Piasau, Miri selepas solat Isyak, kami sampai di Sarikei jam 4 pagi, selepas berhenti rehat sekejap di Bintulu Iqrak Center (BIC). Sarikei dengan penduduk kurang dari 100,000 ialah bandar yang sederhana besar dan mudah di terokai. Jalan utamanya ialah Jalan Repok yang bermula dari jalan utama Kuching – Sarikei dan berakhir di pusat bandar, di mana terletak jeti bot penumpang ke Kuching dan Sibu melalui jalan air. Disitulah terletak pasar basah, pasar borong, rumah kedai. Plet kereta di sini bermula dengan QR (nombor terkini ialah QRG, contohnya QRG 7622). Kaedah pernomboran nombor plet kenderaan di Negeri Sarawak agak unik. Setiap bahagian (division) di Sarawak bermula dengan dua huruf di mana huruf pertama ialah Q, contohnya QM untuk Miri, QT untuk Bintulu, QL untuk Limbang, dsbnya). Aku tidak lama di Sarikei. Selepas solat Subuh di Masjid Muttaqin, kami bersarapan di waterfront dan seterusnya ke pasar mencari barangan untuk majlis kenduri pada malam hari di Ulu Kota sempena Maal Hijrah. Perjalanan masuk ke Pakan dan seterusnya Ulu Kota mengambil masa 2 jam melalui jalan balak.

Bagaimana untuk sampai ke sini?

Untuk datang saja-saja ke Sarikei memang susah. Jika ada memandu dari Miri atau Bintulu menghala ke Kuching, singgahlah sekejap di Sarikei. Namanya memang unik seunik penduduknya yang casual. Asal usul nama Sarikei tak diketahui. Mungkin pembaca yang tahu boleh kongsi.

Sarikei dihubungkan dengan sistem jalanraya yang baik dengan bandar-bandar besar seperti Sibu, Bintangor, Kuching, Bintulu dan Miri. Bas ekspres antara bandar-bandar ini juga tersedia. Sebahagian stretch jalan tidak rata dan anda akan rasa melambung-lambung tetapi masih boleh dilalui oleh kereta biasa. Sarikei ke kawasan pendalaman seperti Pakan dan Julau, anda memerlukan kenderaan 4WD kerana jalan tanah merah dan berbukit bukau. Satu lagi method pengangkutan ialah bot laju atau dipanggil ekspres air. Semua bot laju dari Kuching ke Sibu akan singgah di Sarikei. Sibu ialah laluan sungai utama ke Kapit.

Jalan tanah merah ke Ulu Kota, 1 jam dari Pakan, 2 jam dari Sarikei (itu pun kalau tak hujan)

Persimpangan ke Sarikei dari jalan utama Kuching-Sibu

Jalan Repok membawa anda terus ke pusat bandar Sarikei

Pasar Sungai Rejang terletak di hadapan terminal bot laju

Bot laju (ekspres air) menunggu penumpang ke Kuching, Bintangor dan Sibu melalui Sungai Rejang

Teksi menunggu penumpang yang baru sampai ke Sarikei dengan bot laju.

Penumpang mencari bot ke Bintangor di Terminal bot laju di Sarikei. Bintangor 15km dari sini.

Kapal kontainer menyusuri Sungai Rejang berdekatan Sarikei

Deretan rumah kedai di bandar Sarikei

Laksa Sarawak yang 'nyaman' di sebuah restoran dekat Sarikei Waterfront

Sarikei waterfront

Masjid Muttaqin masjid utama di Sarikei, Sarawak

Life is easy in Sarikei, Sarawak. After all life is short. Why rush?

Nenas Sarikei terkenal di seluruh Sarawak. Harga pun boleh tahan.

Rumah Mak Cik Timah nun jauh di bawah lembah di Ulu Kota.

Siti Nurbaya (kanan) dan Aisyah antara kanak-kanak Iban yang mana ibubapa telah memeluk Islam di Ulu Kota.

Umang atau nama Islamnya Saleh antara kaum Iban yang mendapat hidayah di Ulu Kota

Surau Amal Al Azhar di Ulu Kota, Paka, Sarikei

Ulu Kota terletak di tanah tinggi. Unload barangan yg dibeli di Sarikei untuk majlis kenduri sempena Maal Hijrah.

AKAN DATANG: Miri. Kenapa anda perlu datang ke bandaraya ke 2 terbesar di Sarawak ini?